LIMA kereta baharu jenis Honda terbakar hampir seratus peratus selepas treler yang membawa kereta berkenaan, mengalami kebakaran di Kilometer 227.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung insiden berkenaan pada 5.24 petang.

“Kejadian berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang membawa enam kereta dari kilang Honda menghala ke Pulau Pinang, mengalami masalah teknikal di bahagian brek sehingga menyebabkan kebakaran di bahagian belakang treler itu.

“Ia kemudiannya merebak pada lima kereta terbabit, sebuah lagi kereta pula terbakar 10 peratus. Insiden itu mengakibatkan kesesakan sepanjang tiga kilometer dan semua lorong ditutup sepenuhnya bagi operasi pemadaman api kira-kira satu jam lebih,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu dan punca sebenar serta jumlah kerugian masih disiasat.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here