TOK Chey setuju bahawa kita tidak boleh gembira dengan musibah dihadapi Najib Razak setelah dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana kes salah guna kuasa dan songlap wang RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Cuma apa yang rakyat puas hati ialah kebenaran akhirnya tertegak setelah sekian lama kes itu cuba disorokkan dan cubaan melengahkannya melalui pelbagai strategi ternyata gagal.

Keputusan Mahkamah Persekutuan juga melegakan banyak pihak apabila sistem kehakiman negara kita bebas daripada segala pengaruh dan menjalankan fungsi yang sepatutnya dilakukan dalam menegakkan keadilan. Tetapi apabila UMNO tidak dapat menerima kenyataan bahawa Najib bersalah hingga menganjurkan satu majlis untuk membela Najib dan mewujudkan persepsi bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat keadilan amatlah tidak masuk akal.

Majlis Taklimat Khas Presiden UMNO yang dianjurkan di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) semalam tidak ubah seperti majlis untuk menjatuhkan maruah parti itu ke tahap paling rendah.

Adalah tidak munasabah parti yang kononnya memperjuangkan Melayu dan Islam itu masih mahu membela Najib sedangkan sepanjang empat tahun perbicaraan, sudah cukup terang dengan bukti nyata menunjukkan Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu bersalah.

Memang tidak dapat dinafikan Najib mempunyai sumbangan ketika menjadi PM, tetapi ia tidak dapat mengatasi penyelewengan dan kemusnahan yang telah dilakukannya terhadap wang rakyat.

Tidakkah penyokong UMNO lupa bagaimana wang rakyat berbilion ringgit diselewengkan dengan pelbagai tindak-tanduk yang amat dahsyat hingga kecoh satu dunia? Penganjuran majlis semalam yang diselangi dengan air mata sebenarnya hanya mampu meraih simpati pentaasub UMNO tetapi di mata rakyat kebanyakannya ialah adalah drama semata-mata untuk menutup fakta sebenar berkaitan kes rasuah Najib.

Desakan berkali-kali agar Najib diberi pengampunan diraja juga adalah amat mengecewakan kerana Najib belum lagi menjalani dua pertiga hukumannya dan dia juga masih berdepan dengan empat lagi prosiding mahkamah.

Selain itu, memanggil bekas peguam Najib, Shafee Abdullah menggunakan pentas politik untuk menjelaskan mengenai kes yang telah diputuskan oleh mahkamah adalah tidak bertanggungjawab.

Tok Chey lihat tindakan Shafee yang masih mempertahankan Najib dengan mengatakan ia adalah derma Arab adalah tidak wajar kerana alasan itu telah ditolak mahkamah.

Sepatutnya Shafee sebagai seorang yang arif soal undang-undang perlu menghormati keputusan institusi kehakiman dan tidak mewujudkan persepsi terhadap apa yang telah diputuskan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Begitu juga teriakan bubar dan ‘boo’ terhadap PM ketika ini yang juga Naib Presiden UMNO jelas menunjukkan bahawa UMNO amat terdesak untuk PRU15 bagi menyelamatkan pemimpin tertentu daripada mengikut Najib ke penjara.

Tatkala UMNO galak berteriak mahukan PRU15 diadakan segera, Tok Chey terfikir apa yang membuatkan parti itu terlalu yakin untuk menang sedangkan sokongan rakyat terhadap UMNO sebenarnya sudah merosot teruk.

Lihatlah komen-komen ‘genuine’ rakyat di media sosial yang kecewa dengan tindakan UMNO yang lebih cintakan pemimpin terlibat penyelewengan dan rasuah berbanding sayangkan rakyat yang bencikan kepada penyelewengan.

Rata-ratanya kesal dengan tindakan pemimpin UMNO ketika ini mengheret kes peribadi masing-masing menjadi perjuangan parti sehingga kerap kali mendesak PRU15 diadakan segera.

Apa yang Tok Chey rasa, UMNO terlebih yakin mereka akan diterima rakyat sedangkan situasi sebenar sentimen seluruh negara adalah sebaliknya apabila rakyat sudah serik pemerintahan negara diserahkan kepada pemimpin yang terlibat kleptokrasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here