TOK Chey pernah menyatakan sebelum ini bahawa Presiden PKR, Anwar Ibrahim wajar mengikut langkah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang mengumumkan persaraan daripada arena politik.

Antara sebabnya ialah semenjak Anwar mengemudi PKR dari luar penjara, PKR dilihat makin berpecah dan hilang arah tujuan.

Bukan Tok Chey seorang sahaja yang berpandangan begitu, ramai lagi melihat PKR lebih kuat jika bukan Anwar yang mengemudi parti berkenaan mutakhir ini.

Anwar hanya boleh menjadi simbol perjuangan tetapi bukan bertindak sebagai pengatur strategi dalam menggerakkan parti itu untuk terus maju ke hadapan dan diterima oleh pengundi atas pagar. Populariti beliau juga semakin hari semakin merosot dan PKR sendiri menerima tamparan hebat mengalami prestasi buruk apabila bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.

Tidak cukup dengan tamparan-tamparan itu, dalam Kongres Nasional Ke-16 yang berakhir semalam di IDCC, Shah Alam dapat dilihat bagaimana pengaruh Anwar makin jatuh. Beliau tidak dilihat sebagai seorang pemimpin yang boleh disegani dengan pencapaiannya dalam politik.

Bagaimana seorang Timbalan Presiden baharu, Rafizi Ramli yang dahulunya ‘merajuk’ kembali semula ke pentas politik boleh mengkritik Presiden secara terbuka.

Di mana letaknya rasa hormat seorang orang kanan yang baru diumumkan jawatan secara rasmi terhadap ketuanya apabila boleh bertindak sedemikian Ini menunjukkan yang aura Anwar sudah tiada dan tindak-tanduk Rafizi menjelaskan segala-galanya.

Misalnya pada Jumaat, Rafizi tanpa berselindung meminta perwakilan PKR memilih 26 nama yang disenaraikannya untuk menjadi Majlis Perwakilan Pusat (MPP).

Tidakkah tindakan tersebut hendak menunjukkan yang Rafizi mahu melebarkan pengaruhnya melalui pemimpin MPP yang pro kepadanya.

Bagaimana dengan pemimpin pro Anwar, tidakkah mereka layak untuk memegang jawatan MPP?

Buktinya dalam pengundian tersebut, 13 daripada 20 MPP yang dipilih perwakilan adalah dalam ‘cai’ yang dikemukakan Rafizi dan ia boleh diibaratkan hampir menguasai jawatan tersebut. Begitu juga dengan jawatan penting lain seperti Naib Presiden, kebanyakan yang dipilih adalah daripada kem Rafizi.

Pengulangan mantera ‘kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok’ juga menunjukkan yang Anwar tidak ‘fit’ untuk menggalas jawatan Presiden.

Janji yang menjadi bahan gurauan dan ejekan rakyat sebelum ini diulang siaran mengundang kepada ejekan yang lebih besar selepas ini. Ini kerana alasan Anwar tidak dapat menunaikan janji itu kerana beliau bukan Perdana Menteri adalah satu alasan untuk melepaskan diri daripada dipersalahkan.

Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, PKR adalah komponen yang besar dan dominan, maka tidak munasabah seorang Presiden tidak mampu mempengaruhi Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri dengan bilangan kerusi parti yang kecil untuk menunaikan janji tersebut.

Tambahan pula, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail ialah seorang Timbalan Perdana Menteri. Oleh itu, dengan mengulangi janji berkenaan, ia sebenarnya akan menjadi senjata makan tuan kepada Anwar. Bahkan, janji untuk menurunkan harga minyak pada masa sekarang adalah bukan satu daya penarik yang besar buat rakyat.

Ada isu yang lebih besar, lebih berat yang menghimpit rakyat memerlukan solusi menyeluruh dan bukannya penurunan harga minyak petrol sahaja. Masalah ringgit yang menguncup, pesta kenaikan harga barang, beban kos sara hidup, inflasi dan cabaran mendatang yang lebih besar dalam aspek keupayaan rakyat meneruskan kehidupan adalah isu lebih menyeluruh yang sepatutnya diberi perhatian.

Maka, dengan apa yang dapat dilihat secara tersurat, Anwar sepatutnya sedar bahawa zamannya sudah berlalu dan beliau sewajarnya memberi peluang kepada pemimpin lain untuk mencorakkan PKR sesuai dengan keadaan semasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here