AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan pernah menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.
Walau bagaimanapun, Malaysiakini yang memetik The Edge melaporkan, sumber yang tidak dinamakan mengatakan bahawa kerajaan telah menolak tawaran itu.
Laporan itu yang disiarkan malam tadi juga mendakwa seorang bekas Peguam Negara mewakili Jho Low dalam rundingan dengan kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak mengetahui tentang perkara itu.
Jho Low dikaitkan sebagai dalang di sebalik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan telah didakwa tanpa kehadiran di mahkamah Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.
Dia kini dalam pelarian dan lokasinya tidak diketahui umum.
Pada 2018, Jabatan Kehakiman AS telah mendakwa Jho Low dengan konspirasi untuk mengubah berbilion dolar daripada dana kekayaan negara Malaysia, dan konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika.
Di Malaysia, Jho Low dan rakan sekutunya berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion. Dia juga menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berasingan dengan pembantunya, Eric Tan Kim Loong sebanyak AS$125.97 juta.
Pada 2020, SPRM membawa satu lagi pertuduhan terhadap Jho Low dan rakan-rakannya, kali ini didakwa terlibat dalam konspirasi jenayah bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM60,629,839.43.
Jho Low berulang kali mendakwa dia tidak bersalah dan pada wawancara 2020 dia mendakwa dia hanyalah perantara dalam urusan 1MDB.
Leave a Reply