PENULIS  tertarik apabila Ahmad Zahid Hamidi membidas tindakan Perikatan Nasional (PN) menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika rakyat berdepan isu ekonomi kini.

Beliau menegaskan tindakan politik yang dilihat berbaur ugutan dan menuntut jawatan yang timbul secara tiba-tiba tidak seharusnya mewarnai arena politik negara.

Dalam situasi sekarang katanya politik yang dimainkan harus berpijak kepada realiti rakyat.

Paling menarik beliau berkata, “perlu lebih realistik menilai keperluan semasa. Yang diperlukan ialah usaha memulihkan ekonomi semasa, kerajaan yang lebih dengan mandat rakyat…”

Penulis tidak pasti adakah kenyataan Zahid dibuat oleh beliau atas dasar berpijak pada realiti semasa rakyat atau  terlupa untuk ‘mencerminkan diri’ adakah apa yang beliau katakan itu benar-benar dimaksudkan atau retorik.

Malang sekali sebagai seorang Presiden parti Zahid sepatutnya lebih bijak menilai dengan teliti  isu jawatan TPM tersebut.

Sebenarnya Muhyiddin Yassin hanya mengingatkan kembali perjanjian antara PN dan Perdana Menteri, tidak timbul sama sekali soal tindakan politik berbaur ugutan. Malah Zahid pun dah kata perjanjian itu tidak melibatkan parti-parti politik jadi kenapa Zahid dan UMNO mahu menyibuk?

Zahid tidak sepatutnya bercakap sedap mulut sahaja tanpa mengkaji terlebih dahulu betulkah apa yang diketengahkan oleh Muhyiddin berbaur ugutan.

Apakah mengingatkan sebuah perjanjian yang sudah termeterai dianggap berbaur ugutan? Apakah yang dimaksudkan dengan ‘berbaur ugutan’ itu? Adakah Muhyiddin pernah berkata akan tarik sokongan kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri jika tuntutan tidak dipenuhi?

Soal itu tidak wujud sama sekali tetapi malangnya Zahid cuba menggambarkan seolah-olah politik berbaur ugutan itu berlaku.

Percayalah Muhyiddin dan PN bukannya seperti Zahid dan kawan-kawannya yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Walaupun mungkin Ismail Sabri tidak akan memenuhi tuntutan Bersatu termasuklah bagi jawatan Menteri Perladangan dan Komuniti yang sah-sah kuota Bersatu, Muhyiddin dan PN tidak akan melakukan tindakan politik yang boleh menyusahkan rakyat.

Sebaliknya yang tak habis-habis melakukan tindakan politik ketika rakyat tengah susah ialah segelintir pemimpin UMNO yang mendesak PRU diadakan secepat mungkin. Dan sebelum ini menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Jadi tidak timbul soal seperti mana pandangan dangkal Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu Ismail Sabri membubarkan Parlimen jika Bersatu mendesak jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Penulis faham individu seperti Asyraf Wajdi yang tak pernah menang mana-mana pilihan raya mahukan PRU-15 diadakan segera  kerana merasakan BN akan menang besar tetapi adakah tindakan itu akan menguntungkan rakyat? Adakah dengan pilihan raya ekonomi negara akan segera pulih?

Tindakan mengadakan pilihan raya ketika kedudukan ekonomi sekarang sebenarnya menjemput petaka kepada negara ini.

Penulis juga faham, segelintir pemimpin UMNO sudah tidak sabar lagi mahu menguburkan parti Bersatu yang ternyata menjadi saingan utama mereka sekarang.Kalaulah Bersatu dan PN bukan saingan, kenapa pula pemimpin-pemimpin UMNO semakin rancak menghala segala senjata mereka kepada Bersatu?

Amat jarang sekali kita mendengar pemimpin UMNO menyerang pemimpin Pakatan Harapan terutamanya PKR, mungkinkah ia ada kaitan jajaran politik baharu yang didedahkan oleh Tajuddin Rahman baru-baru ini?

Apapun Zahid tidak perlu terlalu ghairah mahu campur tangan dalam isu TPM sehingga beliau melihat ia peluang terbaik untuk membubarkan Parlimen.

Daripada dok menyibuk urusan yang sememangnya semua orang tahu ia ada hak prerogatif Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah lebih baik jika Zahid menunjukkan keberanian dengan mengadakan pemilihan UMNO.

Tidak payah membuang masa mahu menunggu keputusan permohonan menangguh pemilihan yang dikemukakan kepada RoS yang pastinya akan dipolitikkan oleh UMNO jika keputusan RoS tidak menyebelahi mereka. Apa UMNO nak takut sebab Zahid pun sudah berhujah “UMNO sebagai parti tertua negara serta parti terbesar orang Melayu yang sudah melalui pelbagai konflik, akan sentiasa lebih matang dan bijaksana dalam menguruskan apa-apa saja ‘sepak terajang’ politik,”

Justeru kalaulah UMNO sudah matang dan bijaksana kenapa takut sangat sehingga UMNO dilihat melakukan pelbagai helah tidak mahu pemilihan diadakan sebelum PRU. Ahli-ahli UMNO pasti sudah bijak dan matang untuk memastikan pemilihan berjalan dengan tertib tanpa mencetuskan apa-apa perpecahan yang akan memudaratkan parti.

Lagi pula memandangkan Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri sudah pasti beliau adalah individu tunggal yang harus dicalonkan sebagai Presiden UMNO seperti mana ditegaskan oleh Nazri Aziz.

Jadi Zahid tunggu apa lagi, buatlah pemilihan bukan tak habis-habis nak menyibuk urusan PN dengan ‘menyerang’ Muhyiddin dan Bersatu…itu politik tidak bijak namanya serta menunjukkan  beliau sendiri tidak faham apa itu realiti politik!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here