rafizi anwar

Rafizi bakal ganti Anwar? Tidak semestinya, kata Fahmi

KEMENANGAN Rafizi Ramli dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini tidak semestinya memberi laluan mudah kepada beliau untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

“Tidak semestinya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kemenangan Rafizi itu mengukuhkan tanggapan bahawa bekas Ahli Parlimen Pandan itu berpotensi menggantikan Anwar.

Fahmi memberi contoh di mana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyandang jawatan nombor dua PKR mulai November 2010 hingga Februari 2020 namun beliau tidak menjadi Presiden.

Selain itu, Dr Syed Husin Ali yang menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR mulai 1999 hingga 2010 juga gagal mencapai kedudukan tertinggi dalam parti itu.

Soal pengganti Anwar mula timbul berikutan kemenangan Rafizi yang dilihat mahu melakukan perubahan besar-besar terhadap dasar dan hala tuju PKR terutamanya dari segi hubungannya dengan parti-parti pembangkang yang lain.

Fahmi menambah, sekarang bukan masa untuk membincangkan soal peralihan tetapi persediaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Semasa pemilihan parti, pintu terbuka besar untuk siapa sahaja yang mahu mencabar Anwar, tetapi tiada yang buat.

“Sekarang, kita mesti benarkan mengambil peluang untuk membina parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 dengan pelbagai sebab.

“Dia masih jadi pengikat (dalam pembangkang) dan dia dapat tarik banyak sokongan,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *