KEADAAN air paip yang keluar sehingga bertakung di hadapan rumah akhirnya membongkar penemuan mayat seorang lelaki yang sudah membengkak.

“Pada mulanya saya berasa agak pelik melihat keadaan air paip yang bertakung keluar dari dalam rumah mangsa,” kata seorang peniaga kedai makan Mohd Rozlan Deraman sebelum menemui mayat jirannya yang membengkak, hari ini,lapor Harian Metro.

Mayat Anuar Yusof, 52, ditemukan dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah di Kampung Lubuk Panjang Bukit Besi, Dungun pukul 8.30 pagi ini.

Mohd Rozlan, 55, yang tinggal bersebelahan rumah mangsa berkata, kali terakhir dia menemui mangsa pada pagi khamis lalu ketika dia minum di kedainya.

“Dia memang tinggal bersendirian di rumah itu. Pagi khamis dia datang minum dan seperti biasa, arwah akan bergurau dengan saya dan penduduk kampung serta tidak menunjukkan perbuatan pelik.

“Pada hari sama pukul 7 malam, saya ada mendengar dua kali mangsa menjerit dan saya tidak ambil peduli dan menganggap mungkin kerana mangsa bosan,” katanya.

Menurut Mohd Rozlan,beberapa minit selepas itu, dia ternampak mangsa keluar dari rumah dengan menunggang motosikal.

Beliau berkata, sejak dari itu, dia tidak lagi melihat mangsa dan ketiadaannya sepanjang tiga hari menimbulkan rungutan daripada kawan- kawannya.

“Pada Sabtu, saya dan pelanggan kedai terhidu bau busuk dan kami semua sangka bau itu adalah sampah atau bangkai haiwan di kawasan semak,” ceritanya.

Katanya, pagi ini, dia mengambil keputusan memeriksa di sekitar kawasan kedai sebelum mendapati air mengalir begitu banyak dari rumah mangsa.

“Saya sangkakan mangsa terlupa menutup paip dan saya bersama rakan, Mohd Redzuan Mohd. Zain, 44, pergi ke rumahnya,” katanya.

Ujarnya, selepas sahutan tidak dijawab, mereka cuba mengintai di celah tingkap sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Saya buka pintu depan rumahnya yang tidak berkunci dan ketika itu kami dapati bau mayat sangat kuat sebelum segera menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai buruh di kilang kayu di Bukit Besi dipercayai meninggal sejak beberapa hari lalu.

“Keluarga mangsa sudah dihubungi dan mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here