REMAJA Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang didakwa didera pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dan lima lagi individu hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, bagi sesi pengecaman.

Harian Metro melaporkan, selain Bella, mereka yang hadir adalah lima remaja dan kanak-kanak berusia antara tiga hingga 17 tahun.

“Kami masih menunggu kehadiran enam individu termasuk kanak-kanak untuk pengecaman. Pengecaman akan dilakukan oleh tiga saksi,” kata Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad sebelum perbicaraan kes Siti Bainun bermula.

Tiga saksi perbicaraan yang hadir untuk sesi pengecaman itu adalah Suhana Zam, 40; Zurianty Sudin, 39; dan Yasmin Nahar Mahmood, 19.

Sesi perbicaraan pada hari ini bersambung dengan pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan terhadap saksi kelapan, Suhana Zam, 40.

Sebelum ini, media melaporkan Bella yang kini menetap di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban, Negeri Sembilan, dua kali tidak dapat hadir ke mahkamah.

Dia sepatutnya hadir ke mahkamah pada 31 Mei dan 13 Jun lalu, namun ditangguhkan selepas dilaporkan tidak sihat.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here