Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

ADA bermacam-macam pandangan pakar ekonomi mengenai keadaan ekonomi Malaysia ketika ini apabila Ringgit makin melemah dan mencecah ke paras terendah iaitu RM4.39 berbanding satu Dolar Amerika Syarikat (AS).

Memang benar bukan Ringgit Malaysia sahaja yang terkesan apabila Dolar AS mengukuh, tetapi harus diingat bahawa kepercayaan pihak luar terutamanya pelabur asing terhadap situasi di Malaysia memainkan peranan besar dalam mengukuhkan Ringgit.

Semenjak skandal 1MDB memalitkan segala macam masalah kepada Malaysia, negara ini yang dulunya dihormati kini seperti sudah tidak ada kekuatan lagi.

Ia dikukuhkan lagi dengan segala pendedahan melibatkan pemimpin politik negara bermula daripada siri tangkapan kes rasuah hinggalah kepada kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Daripada sekecil-kecil nilai sogokan hinggalah kepada nilai ratusan juta penyelewengan, laporan mengenai kes itu boleh dikatakan kerap dilaporkan di media massa.

Maka, ketika ini amat ketara negara kita semakin hari semakin jauh ke belakang berbanding negara jiran tetangga dari aspek kemajuan kerana masih terpalit dengan isu integriti yang belum menampakkan jalan penyelesaian.

Laporan Transparency International misalnya yang mendedahkan mengenai satu tinjauan pemberi rasuah (Bribe Payers Survey) mendapati  Malaysia mendapat markah paling teruk dalam tinjauan berkenaan.

Dalam kaji selidik melibatkan kira-kira 3,000 eksekutif dari 30 negara, 50 peratus daripada mereka mengatakan ‘Ya’ apabila ditanya sama ada mereka kehilangan kontrak pada tahun lalu kerana pesaing memberi rasuah.

Amat memalukan juga kerana Malaysia mencatatkan peratusan lebih tinggi berbanding Mexico (48 peratus) yang terkenal sebagai negara sarat dengan jenayah dan pembunuhan akibat kartel dadah.

Indonesia pula yang sebelum ini terkenal dengan kes rasuah yang telah lama wujud mencatatkan 47 peratus, dan China (27 peratus).

Jepun pula disenaraikan sebagai tempat paling tidak rasuah di dunia untuk menjalankan perniagaan, dengan hanya 2 peratus daripada responden mengatakan mereka telah kehilangan kontrak akibat rasuah.

Negara jiran Malaysia iaitu Singapura berada di tempat kedua paling bersih, iaitu 9 peratus.

Selain itu, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah juga makin serius apabila merosot daripada tangga 57 ke tangga 62 pada tahun lalu.

Berdasarkan kedudukan itu, Malaysia mencatatkan skor 48 berbanding skor 51 peratus berbanding tahun sebelumnya menjadikan negara ini dalam kelompok negara yang bergerak ke arah lebih rendah yang mencerminkan situasi tidak bagus bagi indeks rasuah.

Selain data-data yang dinyatakan, situasi yang berlaku ketika ini juga menunjukkan bahawa isu rasuah yang berlaku dalam negara amat parah apabila individu yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah berkaitan kes rasuah masih bebas bergerak dan disanjung penyokong taksubnya.

Najib petisyen rayuan SRC

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan label ‘national embarassment’ kerana telah didapati bersalah kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd masih tanpa segan silu ke sana ke mari meraih sokongan rakyat.

Najib yang sedang berhadapan dengan perbicaraan kes mahkamah berkaitan 1MDB juga aktif di media sosial, berkempen dan mengkritik orang lain seolah-olah tidak ada apa yang berlaku terhadap dirinya.

Begitu juga dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih mahu memegang jawatan Presiden UMNO walaupun sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan melibatkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi dan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd.

Maka, tidak hairanlah pihak luar memandang rendah kepada nilai integriti pemimpin dan rakyat negara ini kerana masalah rasuah di negara ini masih tidak dapat diperangi dengan bersungguh-sungguh.

*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here