MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu kaedah dan mekanisma untuk melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik perlu dibincangkan secara mendalam sebelum dilulus serta dilaksanakan.
Jelas beliau, ini kerana pihaknya tidak mahu keputusan yang tidak menentu dalam hal tersebut.
Katanya, perkara itu amat penting bagi memastikan undang-undang berkenaan berkesan untuk jangka masa panjang bagi mengelak berlakunya kelonggaran dalam RUU berkenaan.
“Kaedah dan mekanisme ini harus difikirkan dengan lebih mendalam, sebab sesuatu yang hendak kita lakukan, kita tidak mahu ada ‘flip flop’…sekarang boleh guna, esok tidak boleh guna.
“Kita kena pastikan RUU itu boleh digunakan sampai bila-bila,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment Bagi Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan (MRT AADK) di Kajang, hari ini.
Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) pada Khamis bermesyuarat mengenai cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan RUU Sumbangan Politik dan turut disertai Hamzah sebagai anggota.
Selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan mesyuarat jawatankuasa itu bersetuju secara dasar dengan cadangan berkenaan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, penelitian serta cadangan kaedah serta mekanisme menguat kuasakan RUU berkenaan perlu diketuai satu pasukan yang mempunyai kepakaran.
“Sesuatu yang kita lakukan daripada segi polisinya baik tapi daripada segi perinciannya harus diberikan kepada sesuatu pasukan bukan hanya daripada agensi tetapi juga daripada kalangan mereka yang berpengalaman.
“Kita ambil mereka yang sudah praktikkan di negara-negara luar, kita buat lawatan, maka selepas itu barulah kita adakan sesuatu yang boleh diguna pakai pada masa-masa hadapan,” katanya.