Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

AGENSI Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 yang disyaki melanggar syarat sah lesen di kedudukan 10.37 kilometer tenggara Pulau Kendi, kira-kira pukul 10.30 malam semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Pertiwi/ Op Benteng telah mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan gelap disyaki sedang beroperasi menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas B1 yang berpangkalan di Teluk Bahang itu dikendalikan tiga kru warga tempatan berumur 45 tahun hingga 53 tahun.

Katanya, turut berada di atas bot itu termasuk tekong dan seorang kru warga Thailand yang memiliki dokumen permaustatin tetap berumur 60 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan

Menurutnya, bot berkenaan bersama tekong serta tiga kru, peralatan menangkap ikan dan ikan campur seberat kira-kira 100 kilogram (kg) disita dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Ujar beliau, Maritim Malaysia Pulau Pinang dua hari lalu juga telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C atas kesalahan yang sama.

“Sehubungan itu, kita memberi amaran kepada pemilik bot nelayan tempatan agar mematuhi syarat sah lesen menangkap ikan yang dikeluarkan dan tidak akan berkompromi kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau meminta orang awam melaporkan sebarang penemuan atau kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here