INDONESIA menegaskan pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta ke negara itu adalah dalam bidang kuasa kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, jurucakap Kementerian Luar Indonesia Teuku Faizasyah berkata, negara itu tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia berhubung pelantikan berkenaan.
“Kami sedar tentang pelbagai ulasan dalam media tempatan yang dikaitkan dengan dinamika politik domestik Malaysia. Kita tidak sepatutnya masuk ke dalam politik domestik Malaysia.
“Pelantikan duta adalah kuasa negara berkaitan melalui proses dalaman dan juga negara destinasi,” katanya lapor akhbar TEMPO.
Teuku Faizasyah menjelaskan, setiap calon duta besar secara umumnya akan diminta mendapat persetujuan daripada negara penerima.
“Di Indonesia, pelantikan duta perlu ada proses tambahan, iaitu perbincangan di Parlimen,” katanya.
Tajuddin menggantikan Datuk Zainal Abidin Bakar, yang berkhidmat sebagai Duta ke Indonesia sejak 2018. Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dijangka memulakan tugas bulan ini.