PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, beliau gagal menjadi Perdana Menteri ekoran keengganannya campur tangan dalam sistem kehakiman untuk membebaskan ahli politik yang berdepan perbicaraan jenayah di mahkamah.
Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, beliau pada mulanya sudah mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Anwar berkata, beliau seterusnya membentangkan senarai prinsip kepada mereka yang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Ia termasuk syarat bahawa dasar kerajaan tidak boleh dikompromi, bahawa mereka akan menolak sentimen perkauman yang sempit dan rasuah, serta mematuhi tadbir urus baik dan tidak boleh merampas kepimpinan negara.
“Paling tegas saya lakukan adalah tidak bersedia untuk campur tangan urusan badan kehakiman yang semestinya bebas dan berwibawa.
“Kerana kita juga ada pengalaman dengan badan kehakiman ini. Syarat-syarat kalau disenangi pendirian saya, ok.
“Kalau nampak tidak boleh terima, tidak sokong, itu masalah mereka.
“Pokoknya begini, kerana syarat itulah saya gagal menjadi perdana menteri, tapi saya tidak boleh khianat amanah rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama Malaysiakini, The Vibes dan Sinar Harian di pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya, semalam.
Pada 23 September 2020, negara digemparkan dengan dakwaan Anwar bahawa beliau sudah mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen sekali gus membolehkannya mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walau bagaimanapun, Anwar tidak menyatakan jumlah sebenar Ahli Parlimen yang menyokongnya serta mendedahkan identiti mereka.
Pada masa yang sama, beliau mendakwa mempunyai dokumen bagi membuktikan sokongan yang diterimanya adalah mencukupi.
Kerajaan PN terus bertahan sehingga 21 Ogos 2021 namun Anwar masih lagi tidak menjadi Perdana Menteri selepas itu.
Seperti yang diketahui umum, ramai pemimpin UMNO dikategorikan sebagai kluster mahkamah namun tidak pasti sama ada mereka termasuk dalam senarai Ahli Parlimen yang menyokong Anwar.
Kluster mahkamah UMNO turut didakwa sebagai dalang yang memainkan peranan untuk menumbangkan kerajaan PN ketika negara masih bergelut dengan krisis pandemik COVID-19.
Leave a Reply