DATUK Seri Anwar Ibrahim mesti mendedahkan siapakah ketua-ketua parti yang memberi surat sokongan terhadapnya ketika mengumumkan beliau mempunyai sokongan ‘meyakinkan, kukuh dan kuat’ bagi membentuk kerajaan baharu pada 23 September 2020.

Seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini, Presiden PKR itu masih menyimpan lagi surat sokongan terhadapnya walaupun peristiwa yang menggemparkan dunia politik negara tersebut telah hampir dua bulan berlaku.

“Bila saya sebut sokongan convicing (meyakinkan), formidable (kukuh), walaupun diperolok-olokkan, itu berdasarkan surat ketua-ketua parti yang memang jumlahnya itu ‘convincing dan formidable’.

“Itu dua tahun lalu. Saya masih pertahankan surat itu ada,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian, The Vibes dan Malaysiakini di pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya, semalam.

Walaupun Anwar mendakwa mempunyai sokongan mencukupi daripada Ahli-ahli Parlimen, beliau masih lagi gagal menjadi Perdana Menteri sehingga hari ini.

Pada 23 September 2020, negara digemparkan dengan dakwaan Anwar bahawa beliau sudah mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen sekali gus membolehkannya mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau bagaimanapun, dalam sidang media tersebut, Anwar tidak menyatakan jumlah sebenar Ahli Parlimen yang menyokongnya serta mendedahkan identiti mereka.

Pada masa yang sama, beliau mendakwa mempunyai dokumen bagi membuktikan sokongan yang diterimanya adalah mencukupi.

Anwar turut membayangkan kerajaan yang bakal dibentuk dianggotai majoriti Ahli Parlimen Melayu dan Islam, menyebabkan tercetus spekulasi ia melibatkan UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sejak insiden memalukan itu, Anwar sering dijadikan ‘bahan lawak’ kerana dakwaan beliau mempunyai sokongan yang ‘meyakinkan, kukuh dan kuat’ belum dibuktikan secara konkrit sehingga sekarang.

Satu-satunya jalan keluar yang boleh diambil Anwar adalah mendedahkan nama-nama ketua parti politik yang menyokongnya dahulu serta menyiarkan salinan surat-surat sokongan terbabit.

Selagi tindakan itu tidak dilakukan, tiada siapa yang akan mempercayai kata-kata Anwar kecuali penyokong-penyokong fanatiknya yang sanggup menelan bulat-bulat apa yang beliau katakan termasuk menurunkan harga minyak selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here