MAHKAMAH Tinggi Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang pemandu lori selepas didapati bersalah memukul rakannya hingga maut demi mempertahankan maruah isteri dan anak-anak.

Keputusan terhadap tertuduh S. Saravanan,44, diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Maidzurah Mohamed, lapor Sinar Harian.

Tertuduh yang sebelum ini didakwa atas Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (b) kanun sama.

Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, tertuduh didapati telah menyebabkan kematian P.S. Satiaseelan, 41, dengan mengetahui perbuatannya mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 10.30 malam di Tasek Taman Murai Jaya, Durian Tunggal pada 6 Ogos 2019.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Maidzura pada penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor hujahan yang membuktikan pergaduhan tercetus bukan dimulakan tertuduh namun oleh mangsa yang mana hubungan persahabatan mereka telah terjalin sejak lebih 10 tahun lalu.

Tindakan tertuduh yang membuat pengakuan bersalah serta-merta dan tampil melaporkan kepada pihak polis pada hari sama kejadian juga membuktikan tertuduh bukanlah seorang penjenayah.

Mengikut fakta kes juga, ketika kejadian tertuduh dan mangsa berada dalam keadaan mabuk dan bergaduh selepas mangsa dikatakan cuba mengeluarkan kenyataan menyentuh maruah isteri dan anak-anak tertuduh.

Tertuduh dikatakan memukul mangsa menggunakan topi keledar dan bukan senjata tajam sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima rawatan di Hospital Melaka.

Mangsa kemudian mengambil keputusan melarikan diri dari hospital dan tertuduh bertindak membawa rakannya itu ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan serta menyediakan makanan untuknya.

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman kerana kecederaan dialami akibat pergaduhan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamd Rasad, manakala tertuduh diwakili peguam S. Paul Krishnaraja.

Mengambil kira semua fakta dan hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut daripada tarikh ditangkap iaitu 18 Ogos 2019 dan memerintahkan semua eksibit dilupuskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here