PAKATAN Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan PAN dijangka hanya mampu memenangi kira-kira 80 kerusi sahaja pada Pilihan Raya Umum (PRU-15).
Unjuran itu dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Beliau menganggap angka itu adalah yang paling realistik selepas prestasi buruk PH dan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Memandangkan peluang untuk PH kembali berkuasa selepas PRU-15 adalah agak tipis, Rafizi berpandangan, PH patut berusaha memastikan ia kekal utuh sebagai blok pembangkang terbesar.
Walau bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pandan itu enggan mengakui hakikat bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal menyatupadukan PH sejak beliau mengambil alih teraju pakatan pembangkang itu daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Satu hakikat pahit yang terpaksa ditelan penyokong tegar Anwar termasuk Rafizi adalah PH berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-14 di bawah kepimpinan Dr Mahathir.
Walhal, di bawah naungan Anwar, PH dan parti-parti komponennya kalah teruk pada PRN Johor, Melaka, Sarawak dan Sabah.
PRN Johor turut menyaksikan perpecahan yang amat teruk dalam kem PH apabila PKR memutuskan untuk bertanding menggunakan logonya sendiri.
Mungkin ketaksuban melampau terhadap Anwar menyebabkan Rafizi tidak dapat melihat bahawa pemimpin kesayangannya itu merupakan punca masalah dalam PH.
Rejim PH yang dipimpin Dr Mahathir pun tumbang ekoran desakan bertubi-tubi agar jawatan Perdana Menteri diserahkan segera kepada Anwar selepas bekas banduan itu diberi pengampunan diraja dan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Mereka seolah-olah memandang remeh terhadap kebijaksanaan politik Dr Mahathir yang secara mengejut mengumumkan peletakan jawatan sehingga menyebabkan Kabinet terbubar.
Akibatnya, Anwar dan penyokong tegarnya terpaksa melopong apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk dengan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PKR juga semakin tunggang-langgang apabila Anwar kembali menjadi Presidennya.
Ramai orang kuat parti termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Badrul Hisham Shaharin telah meninggalkan PKR yang semakin tidak tentu hala di bawah Anwar.
Melihat kepada situasi PKR dan PH yang berantakan di bawah Anwar, sasaran 80 kerusi Parlimen yang diletakkan oleh Rafizi adalah sukar untuk dicapai.
Faktor yang paling penting adalah, seperti pada PRN Johor dan Melaka, rakyat pasti menolak PH yang terbukti gagal melunaskan janji-janji populis mereka selepas berkuasa dahulu.
Satu-satunya cara bagi memastikan PH kekal sebagai pembangkang yang bertaring adalah dengan menyingkirkan Anwar pada pemilihan PKR yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Hanya Rafizi yang mampu melakukannya. Itu pun jika beliau benar-benar ikhlas mahu memulihkan semula PKR yang kini ibarat ‘hidup segan, mati tak mahu’.
Leave a Reply