Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr. Karim Deraman berazam untuk mengatasi masalah pencemaran di kawasan tersebut sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Yang Dipertua Pas Kawasan Gelang Patah itu mahu memastikan taraf hidup penduduk di DUN Tiram yang rata-ratanya B40 terbela selepas sekian lama didedahkan dengan pencemaran dari sisa buangan kilang.

Menurut beliau, beberapa perkara mahu dilakukan sekiranya menang di kerusi DUN Tiram yang berada dalam Parlimen Tebrau.

“Perkara utama adalah untuk meningkatkan infrasturkur iaitu selari dengan Ikrar PN. Kita mahu perbaiki jalan dan laluan utama di kawasan Cahaya Baharu, Kota Masai dan Kampung Pasir Putih.

“Sebabnya kalau kita lihat jalan yang sedia ada sempit dan sesak, boleh dilihat setiap hari antara pukul 6.30 hingga 7 pagi, aliran trafik di laluan berkenaan sangat sibuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita ketika berkempen di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini.

Jelasnya, apabila menang nanti PN akan realisasikan manifesto atau Ikrar PN dengan membawa masalah ini kepada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk diselesaikan.

“Perkara kedua yang akan dilakukan adalah mencari penyelesaian pencemaran kilang-kilang di daerah ini yang berada di bawah DUN Tiram.

“Masalah lebih 5,000 kilang di daerah ini ialah tidak mempunyai mempunyai kilang khas atau pusat pelupusan sisa kimia,” katanya.

Disebabkan masalah itu katanya, terdapat kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab membuang sisa berkenaan ke sungai dan laut berdekatan sekali gus mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here