KAMARAZAMAN Yaakob kini bukan lagi Presiden sementara Parti Tindakan Rakyat Malaysia (Mira) selepas digugurkan daripada jawatan tersebut baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu masih menyandang jawatan Presiden Penaja Parti Kuasa Rakyat (Kuasa).

Memetik laporan Malaysiakini, Presiden sementara Mira yang baharu, K Palanisamy menjelaskan, tindakan itu diambil ekoran isu teknikal berdasarkan perlembagaan parti.

“Keputusan itu diambil pada mesyuarat pimpinan tertinggi parti dua hari lalu. Ini kerana permohonannya untuk meluluskan parti Kuasa masih dalam proses di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Menurut perlembagaan parti, seorang individu tidak boleh memegang jawatan presiden dalam dua parti politik berbeza pada satu masa.

“Maka, secara lantikan Kamarazaman sebagai presiden sementara menjadi batal dan tidak sah,” katanya.

Beliau memberitahu, Mira akan mengadakan mesyuarat agung tergempar dalam masa terdekat untuk memilih pucuk pimpinan baharu.

Pada 21 Disember lalu, Kamarazaman dilaporkan akan mengambil alih Mira setelah dilantik sebagai presiden sementara.

Keputusan itu merupakan sebahagian daripada langkah ke arah penggabungan Mira dan Kuasa..

Mira merupakan rakan strategik Pakatan Harapan (PH) ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum meninggalkan gabungan setelah ia ditumbangkan pada Februari 2020.

Sejak itu, Mira memilih jalan tidak memihak manakala Kuasa yang masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah mengumumkan pendekatan mesra BN.

Palanisamy yang juga bekas ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC sebelum ini berkata bahawa nama Mira akan dikekalkan sehingga membuat permohonan di RoS untuk menukarkannya kepada Kuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here