
APABILA bercakap mengenai zaman kegemilangan filem Hindi, ia mempunyai pertalian agak rapat dengan masyarakat di negara ini, khususnya orang Melayu.
Malah, suatu ketika dahulu pengaruh filem Hindi atau lebih dikenali dengan panggilan Hindustan turut dijadikan sebagai gaya hidup dalam kebanyakan masyarakat di sini.
Antaranya termasuklah memilih gaya rambut ala Hema Malini, Zeenat Aman dan Asha Parekh bagi golongan wanita.
Manakala golongan lelaki pula dikaitkan dengan wajah kacak seperti Raj Kapoor, Shammi Kapoor, Shashi Kapoor, Dev Anand, Dharmendra dan Rajesh Khana.
Sekitar tahun 1970an dahulu, penulis pernah mendengar perkataan daripada orang tua-tua mengatakan ‘comel sungguh anak pak Brahim tu, muka macam heroin filem Hindustan’, ada tahi lalat macam Hema Malini.
Kalau ingin pasangan hidup juga dikatakan memilih yang ada mirip wajah atau gaya seperti hero atau heroin filem Hindustan.
Industri filem India dikatakan mula berkembang pada tahun 1930an, namun ledakannya mula tercetus dalam kalangan peminat di Malaysia selepas 30 tahun kemudian.
Ia berlaku selepas penerbitan filem- filem box office seperti Sangam, Bobby, Andaz, Love In Tokyo dan An Evening In Paris, Haati Meri Saati dan Kaati Paatang.
Filem-filem ini terutama Sangam dan Bobby berjaya menjadi fenomena baharu dalam kalangan masyarakat di negara ini sehingga ada di antara sanggup menonton secara berulangkali di pawagam.
Filem Sangam berkisar percintaan tiga segi dibintangi oleh Raj Kapoor, Vyanthimala dan Rajeendra Kumar.
Bobby pula yang berkisar kepada percintaan terhalang dibintangi gabdingan Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia.
Jika diimbas kepada sejarah industri filem India, kebanyakan pelakon yang melalui zaman berkenaan berjaya menggegarkan setiap pawagam termasuk diluar India.
Sebagai contoh ialah sambutan terhadap filem Kal Aaj Aur Kal terbitan dan arahan Prithviraj Kapoor, iaitu orang yang bertanggungjawab mencipta nama dalam keluarga Kapoor.
Selepas kejayaan filem tersebut, keluarga Kapoor semakin berpengaruh sebelum tiga anaknya iaitu Raj Kapoor, Shammi Kapoor dan Shashi Kapoor meneruskan kerja-kerja bapanya.
Raj Kapoor berjaya menjulang nama keluarganya melalui filem Sangam, Bobby, Satyam Sivam Sundaram dan Mera Nam Joker.
Shammi pula menguatkan lagi kedudukan keluarga Kapoor menerusi filem Junglee, Pagla Kahin Ka, An Envening In Paris, Andaz dan Manoranjan.
Manakala Shashi pula terkenal menerusi filem-filem Jaab Jaab Phool Khile, Pyar Ka Mausam, Jahan Pyar Mile, Deewar, Kaala Patthar dan Janoom Kalyug.
Sewaktu menjadi Wartawan Hiburan, penulis pernah bertemu dan menemubual dengan Shammi, Shashi dan Rishi Kapoor yang mengadakan konsert khas di Kuala Lumpur pada tahun 1993 lalu.
Shammi pernah memberitahu, kehadiran generasi baharu dalam keluarga Kapoor seperti Randhir, Rajiv, Karisma dan Kunal ketika itu belum mampu untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan datuk mereka, Pathviraj.
Namun begitu, disaat industri filem India sedang mencari arah, pada tahun 1990an muncul pula Surinder dan Boney Kapoor yang menhasilkan filem berjudul Roop Ki Rani Choron Ka Raja pada tahun 1993.
Filem yang menggandingkan bintang utama Anil Kapoor dan Sridevi itu turut mencatatkan box office.
Penerbitan filem itu dibuat ketika industri filem India dikatakan berada pada zaman gerhana selepas terhasilnya filem-filem seperti Qurbani, Roti Kapada Aur Makaan, Saudagar Saudagar Saudagar dan Ram Balram sebelum ia melalui zaman kemerosotan.
Namun, ia bangkit semula dengan kemunculan filem filem seperti Kuch Kuch Hota Hai lakonan Shahrukh Khan dan Kajol serta
Baadshah lakonan Shahruhkhan dan Twinkle Khanna.
Pada pertengahan 1990an, pengaruh filem Hindi yang kemudian dikenali pula sebagai Bollywood kembali menjadi ‘trending’ kepada peminat fanatik di negara ini terutama golongan remaja.