cangkul bunuh warga emas

Kejam! Warga emas maut dibelasah batang cangkul

SEORANG warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan batang cangkul dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Abi Tok Hashim, di Kangar kira-kira 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa Yeen Baai, 72, ditemukan terbaring di hadapan pintu bilik rumah itu oleh adiknya yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.

Wari berkata, selepas kejadian bunuh itu, adik mangsa didatangi seorang lelaki berusia 34 tahun yang dikenalinya.

“Adik mangsa memberitahu polis bahawa suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk ketika itu telah meminta untuk melihat keadaan mangsa kerana kepalanya berdarah.

“Saksi bersama lelaki itu kemudian pergi ke rumah mangsa yang jaraknya lebih kurang 30 meter dan memasuki rumah itu sebelum menemukan mangsa terbaring dengan kesan darah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, saksi turut melihat serpihan sebatang cangkul yang telah patah di sisi mangsa sebelum bertindak menghubungi polis. 

Wari berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah itu dan kerap didatangi suspek yang ingin meminta rokok daripadanya.

“Mangsa akan melayan suspek dan membenarkan suspek masuk ke rumah dan menghisap rokok bersama. Punca kejadian dipercayai disebabkan isu meminta rokok dan duit oleh suspek,” katanya.

Katanya, suspek yang juga seorang penganggur telah ditahan tidak lama selepas itu dan mengakui terlibat dalam kejadian tersebut.

“Suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau direman enam hari bermula hari ini,” katanya. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *