Oleh RAHIMI MOHAMAD

DUA sindiket dadah yang aktif melakukan kegiatan penyeludupan dan pengedaran di Johor tumpas setelah polis melancarkan tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru pada Selasa dan Rabu minggu lepas.

Dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, pasangan suami isteri antara lima dalang sindiket yang ditahan bersama kira-kira 35 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah berjumlah lebih RM1.1 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki Indonesia berusia 39 dan 49 tahun dalam sebuah kenderaan kira-kira 3 petang berhampiran kedai makan di Kota Tinggi, Selasa lalu

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan jenis Honda CRV menemukan 14.5kg ganja bernilai RM36,392 yang berada dalam bonet kenderaan tersebut.

“Modus operandi sindiket dadah ini adalah dengan menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal Julai lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, hasil saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Malah, warga Indonesia terbabit pula tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan disyaki sudah berada di negara ini secara haram sejak lima tahun lalu sebelum kedua-dua suspek direman selama seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam operasi berasingan, kita telah melancarkan dua serbuan dalam operasi khas bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang di sekitar Johor Bahru, Rabu lalu. Pada serbuan pertama, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah ditangkap bersama sejumlah dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Susulan itu, polis telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri berusia 53 dan 59 tahun,” katanya

Menurut Ayob Khan, hasil saringan awal mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan rekod mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Modus operandi sindiket dadah yang beroperasi sejak Ogos lalu itu pula adalah dengan menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal yang dijadikan stor pembungkusan dadah untuk aktiviti ‘private party’ dan pusat hiburan di sekitar Johor Bahru.

“Hasil tangkapan itu, polis merampas 21.18kg serbuk ekstasi, 78.6 gram (g) ketamin, 1.8g syabu, 90 pil ekstasi dan 170 pil eramin 5 selain merampas sebuah kereta mewah jenama BMW dan merampas wang tunai RM3,495,” ujarnya.

Ketiga-tiga suspek terbabit turut direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.

Ujar beliau, Dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi itu boleh digunakan oleh seramai 85,838 orang penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here