Oleh RIZQI ZABIDI
ANAK jenis apakah yang tergamak mengelar leher ibunya selain memotong cuping telinga wanita yang menanggung segala kesusahan sepanjang mengandungkannya selama sembilan bulan 10 hari?
Seorang warga emas maut akibat dikelar di leher oleh anak kandungnya sendiri yang merupakan seorang penagih dadah serta pesakit mental di rumah mereka di Kampung Batu 5, Sik, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat mangsa, Sarah Jon, 70 ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar di leher selain kecederaan di tangan serta telinga.
Menurutnya, suspek yang berusia 31 tahun pula bertindak membunuh diri tidak lama selepas kejadian itu berlaku.
“Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 6.30 hingga 7 pagi. Hasil temu bual bersama ahli keluarga dan jiran, kedua-dua mereka dipercayai telah tinggal berdua di rumah tersebut sejak 10 tahun lalu.
“Kedua-duanya dikatakan memang selalu bergaduh terutamanya melibatkan soal wang. Selain mayat mangsa, kami turut menemukan peralatan menghisap dadah selain baki dadah jenis syabu berhampiran pintu masuk utama rumah tersebut” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada tanda-tanda rumah itu dipecah masuk.
“Terdapat kesan kelar sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter di leher mangsa. Suspek dipercayai menggunakan pisau tumpul dalam kejadian itu bagaimanapun senjata tersebut masih belum ditemukan,” katanya.
Mengulas mengenai kematian suspek, Adzli berkata lelaki itu yang merupakan pesakit mental dan memiliki enam rekod jenayah lampau dipercayai menunggang motosikal sejauh satu kilometer dari rumah tersebut sebelum berhenti di tepi jalan.
“Apabila sebuah lori tangki lalu di situ, dia tiba-tiba masuk ke tengah jalan mengakibatkan sebahagian badannya hancur akibat dilanggar,” katanya.
Tambahnya setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.
Leave a Reply