SETIAP kali melalui jalan Sultan Zainal Abidin, mata penulis sudah pasti akan meliar ke arah persisir muara sungai Terengganu yang kini semakin berubah wajah dengan pembangunan yang agak pesat.

Bagi masyarakat luar, pandangan mata tentunya tidak akan berkedip sebaik melihat keunikan drawbridge atau jambatan angkat yang terdapat di kawasan berkenaan, iaitu terletak di sekitar Kampung Tanjung selain projek pasaraya mega Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

Namun, bukan jambatan ikonik itu yang penulis perhatikan, sebaliknya mencari nama-nama kampung yang suatu ketika dahulu pernah dijadikan sebagai penempatan masyarakat di situ.

Malah, ramai generasi sekarang tidak lagi mengenali nama-nama kampung yang dahulunya dikenali sebagai Tanjung.

Ini kerana, kebanyakan kampung tersebut ada yang sudah menjadi lautan dan ada pula yang ‘berkubur’ dalam lipatan sejarah di sebalik pelbagai projek pembangunan.

Antaranya ialah Kampung Hujung Tanjung, Tanjung Batu Satu, Tanjung Surau Pasir, Tanjung Mengabang, Tanjung Jamban Hijau, Tanjung Pantai Teluk, Tanjung Surau Che Mat Tokey dan Tanjung Kelab Pantai.

Hanya nama Kampung Tanjung Kapor dan Tanjung Surau Haji Mat Kerinci sahaja yang sehingga ini masih menjadi sebutan manakala lain-lainnya seperti sudah ditelan zaman.

Ramai yang tidak ‘terperasan’ bahawa lokasi sekitar drawbridge itu suatu ketika dahulu sebenarnya pernah menjadi penempatan bagi penduduk Kampung Hujung Tanjung dan sekitarnya.

Kebanyakan kampung terbabit lenyap akibat dihanyut arus deras akibat banjir air laut pada musim tengkujuh yang akhirnya penempatan tersebut bertukar menjadi lautan.

Peristiwa itu agak sinonim dengan penulis kerana ketika kejadian itu berlaku penulis yang masih usia remaja sedang berjinak-jinak dalam dunia kewartawanan.

Pada hari Khamis 4 Disember 1986, penulis membuat tinjauan di Kampung Tanjung Pantai Teluk yang terletak berhampiran dengan muara sungai Terengganu, tiba-tiba bertukar menjadi lautan.

Tragedi menyayat hati itu berlaku setelah kawasan perumahan tempat tinggal 546 orang penduduk di situ ditenggelami banjir air laut.

Ekoran tragedi berkenaan menyebabkan 104 buah rumah dihanyutkan arus deras ke dalam laut.

Kejadian itu berlaku selama empat hari, bukan sahaja melibatkan kerugian harta benda, tetapi lebih menyayat hati tapak rumah penduduk turut dihanyut ke laut sehingga 150 meter dari tapak asal.

Kebanyakan penduduk terbabit bekerja sebagai nelayan,peniaga dan buruh.

Dalam kejadian itu, air laut turut menghanyutkan taman selera Tanjung serta sebuah balairaya termasuk kelas Tadika yang menjadi tempat kanak-kanak di kampung tersebut belajar.

Selepas projek benteng pemecah ombak dibina di persisir pantai berkenaan, akhirnya kejadian banjir air laut tidak lagi kedengaran sehingga sekarang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here