Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG remaja lelaki maut manakala rakannya mengalami kecederaan parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang empat lampu isyarat Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) 4 di Kulim, Kedah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.12 petang mengakibatkan mangsa, Mohammad Shaharuddin Shah Iran, 17, yang menunggang motosikal tersebut, menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.
Katanya, pembonceng motosikal tersebut, Mohamad Daniel Haikal Kasturi, 17, pula mengalami kecederaan parah di kepala, dada dan patah kedua-dua kakinya.
“Siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua remaja lelaki itu yang datang dari arah Kulim Utama menghala ke Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) untuk pulang ke Penanga, Pulau Pinang, telah melanggar lampu isyarat merah.
“Keadaan tu mengakibatkan motosikal tersebut telah dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda berkenaan yang datang dari arah Hospital Kulim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu yang berusia 45 tahun dan bekerja sebagai seorang mekanik bagaimanapun tidak cedera.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup di situ mengesahkan lampu isyarat di laluan motosikal tersebut, memang berwarna merah sewaktu kejadian itu berlaku.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke jabatan kecemasan hospital sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurutnya, kes tersebut masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Leave a Reply