SEMUA calon PAS yang bertanding pada PRN Melaka 20 November ini perlu mengambil sumpah baiah seperti mana calon-calon parti itu pada pilihan raya terdahulu.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sumpah baiah itu bagi memastikan semua calonnya tidak mengkhianati parti selepas menang pilihan raya atas sokongan dan tiket PAS.

“PAS konsisten menentang agenda lompat parti jika menang, tidak seperti PH yang kononnya menentang agenda itu tetapi tiba-tiba di Melaka mereka terima orang yang lompat parti.

“Yang timbulkan masalah di Melaka sekarang ialah mereka yang lompat parti, jadi rakyat Melaka bolehlah menilai orang yang buat masalah pada rakyat tiba-tiba diterima jadi calon dalam pilihan raya,” katanya yang bertegas akan tetap meneruskan kerjasama dengan UMNO menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.

PAS bakal bertanding di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, PRN Melaka akan menjadi kayu ukur penentu hala tuju parti PAS bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, PRN Melaka yang dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu, amat penting dalam menentukan perancangan dan masa depan PAS bersama perikatan berkenaan.

“PAS akan perkasakan kekuatan parti bersama-sama dengan PN sebab PAS adalah komponen dalam gagasan itu.

“Keputusan PRN Melaka akan jadi sebahagian perancangan PAS pada masa depan dan saya fikir ramai yang nak tengok keputusan PRN Melaka sebagai petunjuk (kerjasama pada PRU-15),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here