Menonton rodat hingga pagi, penonton baling rokok ke arah Mak Inang

JAM sudah menunjukkan pukul 2 pagi, embun jantan mula menitis ke bumi, namun ia tidak sedikitpun melunturkan semangat penonton untuk terus berhibur.

Malah, disebalik kedinginan malam itu akhirnya bertukar menjadi hangat apabila bunyi paluan tar oleh Pengadi diikuti tarian dan nyanyian (kitab hadrah) oleh Pelenggok lelaki semakin rancak.

“Ya La Mu Yahayun…
Muyya.. La Na Qayyum…
Mu Yahaye…Allah Qalu La Bitaya
Ni…Ashallilana…Lana Ladihama
Bia Duniwa, Allah Niwa…Ladunia

Sebaik Pengadi mula perlahankan paluan tar dan Pelenggok pula merendahkan nada nyanyian, maka keluar pula sekumpulan wanita yang dipanggil sebagai Mak Inang menyanyikan lagu berbentuk pantun.

“Hai mudik ke hulu bersamalah yang lah rakit (2X)
Sambil merakit memancing ikanlah toman…Ya Allah (2X)
Negaralah cantik budayalah yang menarik (2X)
Itulah tanda Terengganu lah Darul Iman…Ya Allah (2X).

Begitulah betapa unik dan popularnya persembahan rodat yang merupakan kesenian tradisi Terengganu paling terpengaruh suatu ketika dahulu.

Apa yang menarik, sewaktu Mak Inang menyanyi dan menari, beberapa penonton akan membaling beberapa batang rokok ke arah mereka.

Penulis difahamkan semua bahagian badan Mak Inang boleh dibaling rokok kecuali mata.

Ketika masih kecil, keluarga pernah membawa penulis menyaksikan persembahan rodat di majlis-majlis keraian seperti perkahwinan, berkhatan dan juga pesta pantai.

Ketika itu tidak banyak bentuk hiburan bergerak yang ada untuk dinikmati oleh penduduk kampung khususnya anak-anak muda.

Jadi, penduduk tiada pilihan lain untuk berhibur kecuali dengan menyaksikan persembahan tradisional seperti rodat, wayang kulit dan Mak Yong.

Seingat penulis, boleh dikatakan setiap daerah di Terengganu ketika itu mempunyai kumpulan rodat sendiri.

Antaranya ialah Kumpulan Rodat Surau Panjang, Pengkalan Binjai Kemaman, Kampung Chepoh Kuala Telemong, Kubang Buyong, Teluk Pasu, Bukit Parit, Bukit Payung, Tanjung Demong, Seberang Takir dan Batu Hampar, Manir.

Kesenian rodat ketika dulu-dulu dipersembahkan selepas waktu Isyak sehingga memasuki awal pagi di mana penulis pernah tertidur di bangsal rodat akibat terlalu mengantuk.

Tarikan utama persembahan rodat ketika itu adalah tertumpu kepada Mak Inang.

Pengaruh Mak Inang sebenarnya cukup kuat menyebabkan ada dalam kalangan penonton yang cuba ‘memburu cinta’ terhadap golongan berkenaan.

Ada yang sangup berhabis duit dan tidak pulang ke rumah hanya semata-mata meminati Mak Inang Rodat.

Selain itu, rodat menjadi tarikan ketika itu mungkin disebabkan tidak banyak hiburan yang ada pada tahun 1960an dan 1970an.

Bagaimanapun rodat kini semakin terhakis ditelan zaman dan banyak kumpulan sudah terbubar.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *