TIGA buruh kontrak warga Myanmar hanya mengangguk faham atas pertuduhan menculik rakan senegara mereka untuk mendapatkan wang tebusan RM3,000 pada bulan lalu ketika didakwa di Mahkamah Majistret Munisipal Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh iaitu Abdul Rahim Ali Husson, 38; Taher Ahmad Mustafa Ahmad, 45, dan Mostaque Ahmed Rofiq Ahmed, 36, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menculik seorang lelaki warga Myanmar, Saddik Mohammad Jalil, 26, dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM3,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di 175, Kampung Masjid Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 8.10 malam pada 21 hingga pukul 8.25 malam pada 24 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan 3 Disember depan ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan sembilan suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang lelaki warga Myanmar di hadapan sebuah kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada wanita warga tempatan memaklumkan pekerjanya berusia 26 tahun dilarikan dua lelaki dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here