MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu hari ini menjatuhkan hukuman denda RM7 juta terhadap 25 nelayan asing warga Vietnam kerana menceroboh dan merompak hasil laut negara iaitu ikan dan gamat di perairan Kelantan menggunakan empat bot berasingan.

Hukuman diputuskan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan yang dikemukakan, lapor Sinar Harian.

Kesemua mereka berusia 24 hingga 53 tahun pembuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Vietnam.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menangkap hasil laut iaitu ikan dan gamat tanpa permit sah daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dalam perairan Malaysia di Tok Bali, Pasir Puteh dan Kuala Besar, Kota Bharu antara 23 Februari dan 25 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan Seksyen 24(1) akta yang sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 dibaca bersama Seksyen 52 (1) (a) (i) dan (ii) akta yang sama.

Hukuman Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 memperuntukkan denda tidak lebih RM6 juta setiap orang dalam hal empunya atau nakhoda dan RM600,000 setiap kru.

Seksyen 52(1)(a)(i) dan (ii) Akta Perikanan 1985 yang memerintahkan vesel (termasuk peralatan) yang digunakan dilucuthakkan dan hasil semua tangkapan juga dilucuthakkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Haryati Abdullah dan tujuh tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan, manakala 18 tertuduh lagi tidak diwakili peguam.

Mahkamah mengenakan denda RM200,000 hingga RM600,000 untuk setiap tertuduh.

Tertuduh-tertuduh turut diarah menjalani hukuman penjara enam hingga lapan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Kesemua tertuduh bagaimanapun tidak menjelaskan denda tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here