bot dadah

5 operator bot pelancong Mersing kantoi dadah

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KEKESALAN Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini membabitkan kejadian pengemudi bot pelancongan di Mersing yang positif dadah membawa kepada tangkapan lima lagi suspek selepas saringan air kencing dilakukan semalam.

Mereka antara 92 operator bot pelancongan di daerah itu yang diarah membuat ujian saringan tersebut dalam Op Gelora Khas Bersepadu Benteng Covid-19 yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi dilakukan bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Laut itu juga dilancarkan apabila Mersing bakal menerima kehadiran ramai pelancong yang akan menggunakan perkhidmatan bot ekoran kebenaran rentas negeri.

Katanya, lima individu tersebut yang berusia 22 hingga 33 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamin dan ditahan serta disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mersing memiliki lebih 45 pulau termasuk lima pulau utama yang menyediakan penginapan seperti Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur dengan 95 operator yang mempunyai kira-kira 200 bot berdaftar dengan Majlis Daerah Mersing (MDM).

“Maka, kita turut mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan pelancong dan pengguna bot selamat melalaui ujian saringan air kencing dan ujian saringan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar di IPD Mersing, malam tadi.

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim bertitah, baginda melihat sendiri sebuah bot yang dipandu secara berbahaya sebelum mengarahkan pihak berkuasa membuat pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan itu membawa kepada penahanan dua lelaki yang merupakan tekong bot dan awak-awak yang positif methamphetamin ketika membawa penumpang menaiki pengangkutan air itu berhampiran Pulau Rawa.

Susulan itu baginda bertitah agar semua agensi penguatkuasaan meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas kerana situasi itu sangat memalukan industri pelancongan negeri Johor.

Ayob Khan berkata, mana-mana operator bot pelancong yang memperbaharui lesen tanpa menjalani ujian saringan air kencing akan dibatalkan lesen mereka oleh Jabatan Laut.

Katanya, polis akan memastikan operasi itu berterusan bagi memastikan operator bot mematuhi peraturan ditetapkan khususnya dalam konteks penyalahgunaan dadah yang boleh membahayakan penumpang-penumpang.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak mahu tindakan diambil hanya selepas berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Kita hendak pastikan perairan Mersing jadi tempat selamat buat pengunjung, Polis Kontinjen Johor dan IPD Mersing serta Pasukan Polis Marin juga akan buat pemeriksaan di jeti-jeti bagi memastikan operator yang beroperasi telah hadir membuat ujian saringan.

“Sesiapa yang tidak buat ujian saringan air kencing tidak akan dibenarkan menjalani operasi bot dan pemeriksaan itu kita akan buat secara berterusan bagi memastikan mereka bebas pengaruh dadah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *