Terimalah kenyataan UMNO bukanlah satu-satunya parti Melayu

PENULIS ‘teruja’ apabila seorang pemimpin UMNO  menggesa MIC menerima kenyataan bahawa ia bukanlah satu-satunya parti politik yang mewakili komuniti India.

Kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr.Puad Zarkashi  kepentingan gabungan itu harus menjadi keutamaan yang mengatasi segala-galanya dan wajar MIC mengalu-alukan kehadiran parti baharu ke dalam Barisan Nasional (BN).

“MIC kalau komited kepada demokrasi mesti meraikan kepelbagaian. Jangan sekat sokongan masyarakat India kepada BN melalui parti lain seperti Makkal Sakti, MIUP dan IPF,” katanya merujuk kepada Parti India Bersatu Malaysia dan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia.

Baguslah Puad mempunyai semangat seperti itu kerana dalam usaha mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kekuatan semua pihak harus digabungkan. Bagaimanapun jangan semangat itu hanya berkisar soal komponen BN sahaja.

Apa kata kalau Puad juga menerima kenyataan bahawa UMNO bukanlah satu-satunya parti politik yang mewakili orang Melayu. Selain Pas yang menjadi rakan kepada UMNO melalui Muafakat Nasional (MN), Pas juga adalah anggota Perikatan Nasional (PN) berikutan persahabatan dengan parti Bersatu.

Oleh itu dalam apa juga perancangan politik yang bertujuan meraih sokongan orang Melayu, maka ketiga-tiga parti Melayu tersebut harus digabungkan dalam satu pasukan seperti mana sekarang mereka berada dalam sebuah kerajaan yang dipimpin oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau sebelum ini di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jika gabungan ketiga-tiga parti itu dapat dilakukan sudah tentulah ia akan menggerunkan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang apabila turun ke gelanggang PRU-15. Atas sebab itulah segelintir pemimpin-pemimpin UMNO tidak harus ‘terlalu taksub’ untuk menolak Bersatu .

UMNO tidak harus begitu yakin boleh berjuang sendirian tanpa sokongan parti-parti Melayu lain kerana berdasarkan prestasi parti itu sejak 2008, sokongan kepada UMNO semakin berkurangan dan pelaksanaan undi 18 akan menjadi cabaran terbesar untuk meraih sokongan.

Begitu juga kebergantungan UMNO untuk mengharapkan Pas akan kekal bekerjasama dalam Muafakat Nasional. Memang Pas akan berbuat demikian tetapi ia bukan bermaksud akan meninggalkan Bersatu.

Justeru langkah beberapa pemimpin UMNO yang baru-baru ini mendesak supaya Pas membuat pilihan sama ada bersama UMNO atau Bersatu, boleh dianggap ‘politik tidak cerdik’.

Pas bukanlah sebuah parti picisan sebaliknya Pas adalah salah sebuah parti Melayu terbesar yang ada ketika kekuatannya boleh mengatasi UMNO. Oleh itu tidak perlulah pemimpin UMNO memberi pilihan kepada Pas kerana kalaupun Pas meninggalkan UMNO mereka tidak akan rugi apa-apa, sebaliknya UMNO yang rugi.

Lagi pula Pas sejak awal lagi sudah bertegas akan memperkukuhkan Muafakat Nasional, mempertahankan Perikatan Nasional, maknanya Pas mahu berkawan dengan kedua-dua parti Melayu tersebut iaitu UMNO dan Bersatu.

‘’Mesyuarat terakhir Pas Pusat masih mengekalkan sikap parti, ‘memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN’, bermakna Pas konsisten mahu kekal atas komitmen jajaran politik perpaduan ummah yang dituntut agama. Memartabat dan memperkasakan kuasa politik umat Melayu Islam adalah keutamaan,’’ kata seorang pemimpin Pas kepada penulis melalui aplikasi WhatsaApp.

Kalaulah ada pemimpin UMNO yang terus mahu memberikan tekanan kepada Pas supaya membuat pilihan, percayalah usaha tidak akan berjaya. Adalah lebih baik jika mereka berusaha bagaimana mahu mencari persefahaman dengan Bersatu demi memperkukuhkan kuasa politik orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah bertekad untuk tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 perlu memikirkan semula keputusan tersebut dan mencontohi politik damai yang ditunjukkan oleh Ismail Sabri dan Muhyiddin.

Walaupun memahami sentimen politik dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO namun kedua-dua pemimpin itu tidak pernah terganggu untuk saling sokong menyokong antara satu sama lain dan bekerjasama dalam sebuah kerajaan.

Kedua-dua mereka memahami dalam keadaan apa sekalipun parti-parti Melayu harus bersatu dan bekerjasama jika mereka berhasrat terus berkuasa selepas PRU-15.

Penulis percaya di peringkat akar umbipun, majoriti ahli-ahli UMNO tidak mahu berbalah dengan Bersatu kerana ia tidak akan mendatangkan keuntungan kepada orang Melayu secara keseluruhannya. Memang benar ada tindak tanduk politik tidak menyenangkan sejak penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional pada Mac tahun lalu melibatkan kedua-dua parti. Tetapi soalnya sampai bilakah parti-parti Melayu mahu berpecah belah?

Sama ada UMNO, Bersatu mahupun Pas masing-masing ada kekuatan tersendiri dan boleh mewujudkan satu kekuatan luar biasa dalam pilihan raya tetapi jika salah satu parti ini ditinggalkan akibat politik kebencian dan dendam kesumat, percayalah kesudahannya mereka boleh tercampak dalam situasi ‘ menang sorak kampung tergadai’.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *