Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SEORANG pemotong rumput di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini mendakwa atas tiga pertuduhan merogol adik iparnya yang berusia 12 tahun dalam kejadian pada Februari dan Julai lalu.

Tertuduh yang berusia 36 tahun dan juga merupakan bapa kepada dua orang anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan keji itu di sebuah bilik di Kampung Kelulut, Marang pada pukul 9 malam, Februari lalu di mana perhubungan dengan kanak-kanak perempuan di bawah umur tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau berkahwin dengannya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi sama pada malam 20 hingga 31 Julai lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan pada 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada masa sama, tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu pada setiap awal bulan.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here