SELEBRITI kontroversi, Zarina Anjoulie atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan penyalahgunaan dadah, Jun lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mahyun Yusof.
Mengikut kertas pertuduhan, personaliti berusia 34 tahun itu didakwa menggunakan dadah jenis Methamphetamine di sebuah rumah di Kampung Chalet di Nilai pada 29 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 24 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh diwakili peguam Fadhli Sutris dan Ahmad Faiz Munawar.
Aktres kontroversi itu sebelum ini dilaporkan media ditahan oleh sepasukan polis kerana dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Chalet, Nilai.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman, wanita itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dicekup sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang membuat serbuan ke rumah berkenaan.
Leave a Reply