Mohon bantuan JKM secara dalam talian – Rina

ORANG ramai digalakkan mengemukakan permohonan bantuan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara dalam talian khasnya semasa penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu dapat mengurangkan kehadiran pemohon ke pejabat JKM daerah terutama di zon merah dan berisiko tinggi.

Menurutnya, JKM menyediakan sebanyak 11 jenis bantuan khusus untuk golongan memerlukan.

“Setakat Julai tahun ini, JKM sudah mengagihkan bantuan kepada penerima berjumlah RM1.5 bilion di seluruh negara,” katanya hari ini.

Antara bantuan disediakan JKM ialah, bantuan kanak-kanak (BKK), Bantuan Warga Emas (BWE); Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU); Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB); Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dan Bantuan Am (BA) (Negeri dan Persekutuan).

Selain itu, terdapat juga Bantuan Latihan Perantis (BLP); Bantuan Anak Pelihara (BAP); Geran Pelancaran (GP) (One-Off); Tabung Bantuan Segera (TBS)(One-Off) dan Bantuan Alat Tiruan/Sokongan (BAT) (One-Off).

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Bantuan Jabatan Kebajikan di laman sesawang http://ebantuanjkm.jkm.gov.my.

Mengulas lanjut, Rina berkata, Sabah merupakan negeri penerima bantuan tertinggi JKM iaitu RM174 juta yang diikuti Johor (RM 152 juta); Sarawak (RM 143 juta); Kelantan (RM 127 juta) dan Selangor (RM126 juta).

Permohonan tahun ini ujarnya dijangka meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM1.8 bilion.

“Peningkatan ini disebabkan ramai dalam kalangan M40 yang memohon kerana hilang pekerjaan, sumber pendapatan dan memerlukan bantuan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *