Oleh RIZQI ZABIDI

HANYA satu daripada 180 farmasi yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, didapati menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga siling ditetapkan kerajaan sejak 5 September lalu.

Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, farmasi tersebut yang terletak di daerah Kubang Pasu bagaimanapun diberi tempoh seminggu untuk membuat pelarasan harga seperti ditetapkan kerajaan.

Katanya, pengusaha farmasi tersebut diminta berbincang untuk mendapatkan rebat dari pihak pembekal kerana mendakwa kit kendiri yang dijual, merupakan stok lama yang diperolehi dengan harga mahal.

“Lain-lain farmasi didapati mematuhi harga siling ditetapkan. Malah ada juga yang menjual pada harga lebih rendah.

“Rata-rata pengusaha farmasi mendakwa jualan kit kendiri itu sangat menggalakkan sejak harga siling ditetapkan hingga ada yang berjaya menjual sebanyak 500 unit sehari. Itu sudah tentu sesuatu yang baik untuk semua orang menjalankan ujian Covid-10 sendiri, dengan cara lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di farmasi-farmasi yang beroperasi di Simpang Kuala, Alor Setar, hari ini.

Tambahnya, rata-rata pengusaha farmasi itu memaklumkan mereka tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bekalan dengan pelbagai pilihan jenama turut ditawarkan kepada pengguna.

“Setakat ini kita berpuas hati dengan pematuhan pengusaha farmasi. Begitu pun selepas ini, pemantauan akan diteruskan lagi di beberapa lokasi bagi memastikan pengguna dapat memiliki kit tersebut pada harga ditetapkan.

“Jika ada penjual yang berdegil, mereka boleh dikenakan penalti sebanyak RM100,000, penjara tak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun hingga RM50,000 bagi kesalahan individu.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda hingga RM500,000 atau dikompaun hingga RM250,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here