KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengarahkan sebuah taska tutup sementara selepas tular dakwaan seorang ibu mengatakan anaknya berusia setahun dianiaya.
Menerusi satu kenyataan KPWKM berkata, hasil siasatan pada 29 Mac lalu mendapati pusat yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Taska 1984.
“Pengusaha diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan segera dan dalam proses penutupan sementara untuk tujuan menyediakan persekitaran selamat serta meningkatkan kualiti pengasuhan.
“Dalam isu keselamatan kanak-kanak, kita melalui JKM merujuk Akta Kanak-kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka dan menjadi tanggungjawab pengusaha taska memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska,” katanya lapor Free Malaysia Today.
Beberapa hari lalu, seorang wanita menggunakan akaun Facebook El Ameerah berkata, dia dimaklumkan guru bahawa anaknya digigit seorang kanak-kanak sehingga cedera di bahagian telinga, pipi dan tangan.
Lebih mengejutkan, katanya, dia diberitahu anaknya bersama kanak-kanak lain berusia satu hingga dua tahun ditempatkan dalam bilik “isolasi” ketika bayi lebih kecil sedang tidur.
Namun, pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati anaknya diletakkan dalam bilik kosong tanpa alas itu sejak pagi bersama empat kanak-kanak lain.
Tanpa mendedahkan nama taska itu, wanita terbabit berikrar akan berjuang membela anaknya dengan mengambil tindakan undang-undang.
KPWKM berkata, pihaknya melalui JKM bekerjasama dengan polis bagi memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya dalam kes terbabit.
SEBANYAK 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang musim tengkujuh atau monsun timur laut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, telah siap siaga mendepani bencana itu dengan semua barangan keperluan bagi kegunaan mangsa banjir ditempatkan di depoh simpanan seluruh negara dan hanya menunggu arahan untuk dihantar ke PPS yang memerlukan.
Beliau berkata bagaimanapun, timbul sedikit kegusaran apabila 35 peratus PPS yang dikenal pasti adalah pusat pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini.
“Jadi kita sama-sama berdoa agar banjir tidak berlaku dalam masa terdekat atau pada masa yang sama dengan hari mengundi nanti,” katanya kepada pemberita di Pentas PRU15 Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen Kuala Langat di sini hari ini.
Turut hadir calon PN bagi Parlimen Kuala Langat iaitu Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi empat negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor serta Sarawak. – BERNAMA
SEBANYAK 96 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung lebih 22,000 mangsa banjir di sekitar ibu negara dan Putrajaya sedia diaktifkan sebagai persiapan menghadapi bencana itu sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia adalah sebahagian daripada 6,010 PPS di seluruh negara yang berupaya menempatkan lebih 1.6 juta orang yang sedia digerakkan pada musim banjir.
“JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) memberi fokus kepada empat perkara iaitu perlindungan, makanan, kaunseling dan pendaftaran di PPS.
“Dalam soal penyediaan makanan, penggunaan makanan bungkusan ‘retort’ digunakan di PPS sebagai persediaan awal bagi menjamin mutu dan kesegaran serta memastikan sifar bakteria,” katanya ketika berucap merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS di sini hari ini.
Seramai 250 peserta terdiri daripada warga kerja JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia , Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Majlis Perwakilan Penduduk menyertai program itu di Pusat Komuniti Sentul sebagai kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Rina berkata program itu bertujuan memberi maklumat dan pendedahan berkaitan pengurusan bencana secara lebih cekap, bersepadu dan berkesan kepada petugas terlibat.
Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dilaporkan mengenal pasti sejumlah 36 titik panas berisiko banjir di ibu kota antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Kampung Kassipilay, Kampung Puah dan Kampung Chubadak.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKM Datuk Shaharuddin Abu Sohot ketika ditanya berkenaan persiapan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada musim banjir, berkata pihaknya sedia berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pengendalian lokasi memandangkan PPS dan pusat mengundi lazimnya menggunakan tempat yang sama.
“Belum ada pelan yang khusus tapi kita akan berunding kalau tempat diperlukan untuk urusan pilihan raya,” katanya. – BERNAMA
BERIKUT adalah penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) hari ini.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan bahawa agensi itu membuka permohonan secara dalam talian (online) yang menawarkan bantuan sebanyak RM500 sebulan kepada semua warga emas bagi 2022 seperti tular di media sosial.
JKM menegaskan bahawa pemakluman berkenaan yang tersebar itu merupakan kenyataan palsu dan orang ramai dinasihati tidak mudah percaya dengan maklumat palsu, sebaliknya menjadi warga digital bijak dan bertanggungjawab.
Orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu dan merujuk sumber di laman portal rasmi www.jkm.gov.my untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai skim bantuan yang ditawarkan oleh JKM. – BERNAMA
PENERIMA bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun ini dijangka mencecah 550,000 orang daripada 517,414 penerima bantuan tahun lepas dengan mengguna pakai Paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 sebagai kelayakan permohonan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jangkaan pertambahan penerima itu adalah selari dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan kelayakan permohonan bantuan kebajikan dengan menggunakan PGK Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini.
Rina berkata, kira-kira 71 peratus atau RM1.772 bilion daripada RM2.5 bilion perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tahun ini akan disalurkan kepada bantuan kebajikan di bawah JKM bagi membantu mereka yang memerlukan untuk kelangsungan hidup.
“Kementerian menjangka menerima banyak permohonan daripada mereka yang terkesan. Untuk itu, saya telah minta supaya pemprosesan perlu dipercepat dengan menggunakan teknologi yang memudahkan mereka (penerima),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPWKM di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Rina berkata hasil tinjauannya terhadap mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) mencadangkan agar penyampaian bantuan makanan yang sudah siap dibungkus menggunakan teknologi “retort”.
Tinjauannya mendapati PPS cukup dengan makanan dan barangan keperluan asas, namun terdapat pembaziran dari segi makanan kerana makanan siap masak yang dibungkus mudah rosak atau basi.
“Sudah tiba masanya untuk kita memperluaskan lagi penggunaan makanan dengan bungkusan teknologi retort atau penstrilan, ia menjadikan makanan tahan lebih lama, segar dan mudah disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, Rina berkata, untuk tahun 2022, kementerian akan terus memfokuskan kepada usaha memperkukuhkan mutu perkhidmatan, memastikan keberkesanan program yang dirancang dan memperkasa golongan wanita secara lebih komprehensif.
Beliau berkata, enam agensi kementerian iaitu JKM, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) akan digembleng bersama untuk memastikan fokus untuk tahun ini dapat dicapai.
“Untuk tahun ini, kita tak nak bergerak dalam silo. Sebagai contoh, apabila berlaku banjir dulu kita hanya nampak JKM, tapi sekarang saya nak gerakkan semua (agensi) membantu mangsa banjir,” katanya. – BERNAMA
BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang boleh digambarkan apabila melihat seorang lelaki yang menggunakan kerusi roda sambil mengayuh dengan tangan menggunakan tongkat di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Dia gigih mencari kotak, botol serta barangan terpakai untuk dijual di kedai barangan lusuh demi mencari sesuap nasi.
Kisah malang, Mohd Tharim Mohd Said, 53, bermula Ogos tahun lalu apabila dia terjatuh dari tingkat tiga ketika melakukan kerja-kerja mengecat.
“Tahun lalu ketika mengecat di Kampung Baru, paip yang saya pijak patah dan saya terjatuh.
“Akibat kemalangan itu, saya mengalami cedera parah. Patah tulang pinggul, pinggang, peha dan kaki,” katanya ketika ditemui di lorong belakang bangunan Jalan Sultan Ismail berhampiran Maju Junction Mall.
GIGIH..Mohd Tharim Mohd Said,53, menaiki kerusi roda sambil mengayuh dengan tangan menggunakan tongkat agar boleh bergerak untuk mencari kotak, botol serta barangan terpakai demi mencari sesuap nasi ketika ditemui di sekitar Jalan Sultan Ismail, disini semalam. GAMBAR: Warta Rakyat
Dia terlantar selama hampir dua bulan di hospital selepas mengalami kemalangan itu.
Selepas dibenarkan keluar hospital, Mohd Tharim kembali ke bilik sewa dan mendapati pintunya dikunci oleh pemiliknya dan dia tiada tempat tinggal lagi.
Kehidupannya mula berubah selepas dia tidak lagi mampu berkerja kerana keadaannya yang sudah tidak seperti dahulu.
Mohd Tharim kemudian terpaksa meminta sedekah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman
“Beberapa bulan juga saya terpaksa meminta sedekah, dengan wang hasil dari meminta sedekah, selain makanan dan lampin, saya kumpul dan dapat membeli sebuah kerusi roda dengan hasil derma orang ramai.
Walaupun hidup dalam keadaan daif namun Mohd Tharim Mohd Said,53, tetap bersyukur kerana masih ada lagi orang ramai serta badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi membantu menghulurkan makanan bagi meneruskan kehidupan ketika ditemui di Jalan Sultan Ismail, disini semalam.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Saya rasa kekok dan malu untuk meminta sedekah. Kini saya berdikari dengan mencari barang-barang yang boleh dikitar semula seperti kotak, surat khabar, tin, botol dan lain-lain lagi,” jelasnya.
Ditanya mengenai keluarganya, Mohd Tharim berkata, dia kini hidup sebatang kara selepas berpisah dengan isterinya.
Kini dia terpaksa menggunakan kerusi roda sambil menarik dua lagi kerusi roda lain yang dijadikan sebagai tempat menyimpan barang-barang lusuh untuk dijual.
Dia hanya mampu memperolehi pendapatan sekitar RM15 hingga RM20 sehari hasil menjual barangan terpakai yang dikutip di sekitar Kuala Lumpur.
Dengan menggunakan wang itulah Mohd Tharim membeli makanan serta lampin untuk kegunaan seharian.
Mohd Tharim Mohd Said,53, mengharapkan agar ada yang sudi membantu bagi menggantikan kerusi rodanya yang telah usang bagi memudahkan bergerak mencari kotak, botol serta barangan terpakai demi mencari sesuap nasi ketika ditemui di lorong belakang bangunan sekitar Jalan Sultan Ismail, disini semalam.
GAMBAR: Warta Rakyat
Dia juga kini tiada tempat tinggal dan menjadikan kawasan bangunan dan kaki lima di belakang lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai tempat tidur.
“Walaupun keadaan saya seperti ini, saya tetap bersyukur masih ada lagi orang ramai serta NGO yang membantu menghulurkan bantuan makanan.
“Saya cuma mengharapkan sekiranya ada yang sudi membantu bagi menggantikan kerusi roda yang telah usang untuk memudahkan bergerak untuk mencari barangan kitar semula,” katanya.
Mohd Tharim pernah memohon bantuan kebajikan daripada sebuah agensi kerajaan namun masih belum menerima maklum balas sehingga kini.
Mohd Tharim Mohd Said,53, terpaksa menarik kerusi rodanya yang tersangkut di jalan yang berlopak dengan menggunakan tongkat ketika mencari kotak, botol serta barangan terpakai untuk dijual di kedai barangan lusuh demi mencari sesuap nasi ketika ditemui di lorong belakang bangunan sekitar Jalan Sultan Ismail, disini semalam.
GAMBAR: Warta Rakyat
ORANG ramai digalakkan mengemukakan permohonan bantuan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara dalam talian khasnya semasa penularan pandemik Covid-19 ketika ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu dapat mengurangkan kehadiran pemohon ke pejabat JKM daerah terutama di zon merah dan berisiko tinggi.
Menurutnya, JKM menyediakan sebanyak 11 jenis bantuan khusus untuk golongan memerlukan.
“Setakat Julai tahun ini, JKM sudah mengagihkan bantuan kepada penerima berjumlah RM1.5 bilion di seluruh negara,” katanya hari ini.
Antara bantuan disediakan JKM ialah, bantuan kanak-kanak (BKK), Bantuan Warga Emas (BWE); Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU); Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB); Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dan Bantuan Am (BA) (Negeri dan Persekutuan).
Selain itu, terdapat juga Bantuan Latihan Perantis (BLP); Bantuan Anak Pelihara (BAP); Geran Pelancaran (GP) (One-Off); Tabung Bantuan Segera (TBS)(One-Off) dan Bantuan Alat Tiruan/Sokongan (BAT) (One-Off).
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Bantuan Jabatan Kebajikan di laman sesawang http://ebantuanjkm.jkm.gov.my.
Mengulas lanjut, Rina berkata, Sabah merupakan negeri penerima bantuan tertinggi JKM iaitu RM174 juta yang diikuti Johor (RM 152 juta); Sarawak (RM 143 juta); Kelantan (RM 127 juta) dan Selangor (RM126 juta).
Permohonan tahun ini ujarnya dijangka meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM1.8 bilion.
“Peningkatan ini disebabkan ramai dalam kalangan M40 yang memohon kerana hilang pekerjaan, sumber pendapatan dan memerlukan bantuan,” katanya.