SEORANG pengembala lembu berusia 29 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Munisipal Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita pada 28 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. Kirubakaran selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aziana Azib.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan bunuh sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, Lee Ling Tee, 40.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Permatang Ara, Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, Pulau Pinang antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 28 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Sementara itu di mahkamah sama, Kirubakaran mengaku bersalah bagi dua pertuduhan lain iaitu memasukan dadah jenis amphetamin dan methamphetamine ke dalam tubuh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal, Pulau Pinang kira-kira pukul 1 pagi pada 29 Ogos lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 8 November ini sementara menunggu laporan patologi dan bedah siasat manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia ditemui maut dipercayai dirogol dan diliwat dengan mayatnya disorok di bawah katil di tingkat bawah sebuan rumah teres dua tingkat 28 Ogos lalu.

Kejadian itu disedari rakannya yang mencarinya di rumah kira-kira pukul 7.30 malam selepas mangsa gagal dihubungi selain tidak hadir pada pertemuan mereka seperti dijanjikan pukul 3 petang.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki untuk siasatan lanjut dan siasatan awal mendapati lelaki itu mendakwa memecah masuk kediaman wanita berkenaan pukul 2 pagi dan merogol serta meliwatnya.

Suspek juga mendakwa menyumbat mulut wanita itu dengan seluar dalam mangsa dan menutup mulutnya dengan tangan selepas mangsa menjerit dan melawan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here