Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEORANG lelaki yang mengalami masalah mental dihadap ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh bapa kandungnya minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Nur Amin Azmail, 28, yang juga seorang penganggur mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan kes, tertuduh didakwa dengan pengetahuannya telah cuba membunuh bapa kandungnya, Azmail Mohd Salmon, 66, iaitu dengan bertindak menikam pada bahagian leher mangsa, menggunakan sebilah pisau.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di hadapan Pasar Bachok, pada pukul 10.40 pagi, 24 Ogos lalu.
Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
Pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Wan Nurul Hanini dalam pendakwaan memaklumkan, tertuduh mendapat rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak lima tahun lalu dan masih menerima rawatan manakala temu janji akan datang ialah pada 6 Oktober depan.
“Oleh itu, saya mohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan psikiatri serta tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan dan 30 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Leave a Reply