Oleh RIZQI ZABIDI

SERBUAN dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari unit D7 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman berjaya merampas lebih dua kilogram (kg) dadah jenis heroin di Kampung Sungai Division, Sungai Petani Kedah baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, ACP Mohd. Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, Khamis lalu turut menahan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 23 tahun.

“Hasil pemeriksaan di sebuah pondok berdekatan ladang kelapa sawit telah menemukan 439 bungkusan kecil plastik lutsinar bahan disyaki dadah jenis heroin seberat. 2.05 kg serta peralatan membungkus dadah.

“Selain itu dua bilah pedang turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM14,000.

“Hasil ujian urin mendapat seorang daripada mereka positif dadah jenis THC manakala seorang lagi negatif,” katanya.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Muda turut menyita harta suspek iaitu satu rantai berwarna kekuningan yang dianggarkan bernilai RM5,000.

“Kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 27 Ogos lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.,” ujarnya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here