anwar PH kitar semula PKR Sabah

Diamlah Anwar, kamu sendiri calon PM kitar semula

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memperlekehkan Kabinet baharu sebagai Kabinet kitar semula.

Mungkin Anwar tidak sedar bahawa sindiran kitar semula itu sebenar kena tepat ke batang hidungnya sendiri.

Seluruh dunia sudah tahu bahawa Anwar merupakan bakal Perdana Menteri yang paling lama di dunia.

Muka beliau diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri dari pakatan pembangkang semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat dan ketujuh serta era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, Ahli Parlimen Port Dickson dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu masih menjadi calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH) selepas Muhyiddin meletak jawatan.

Terbukti calon Perdana Menteri kitar semula itu tidak mempunyai nombor apabila akhirnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik mengetuai pentadbiran kerajaan baharu.

Tidak mustahil Anwar akan dikitar semula sebagai calon Perdana Menteri PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Apakah PH sudah ketandusan tokoh untuk ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri?

Ramai pemimpin muda dalam PH sendiri yang mula mempersoalkan kewajaran mencalonkan Anwar.

Ada yang secara terbuka menggesa PH mengubah strategi memenangi hati rakyat termasuk melantik pemimpin lain menggantikan Anwar sebagai Pengerusi PH.

Mereka mula sedar bahawa ketaksuban Anwar terhadap jawatan Perdana Menteri merupakan faktor yang menyebabkan akar umbi dan penyokong semakin bosan dengan PH.

Semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, ramai juak-juak Anwar dengan yakinnya mendakwa masanya sudah tiba untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.

Keyakinan yang kosong bak padi hampa itu masih berterusan sehingga kini.

Namun, sekiranya sejak 1998 lagi, Anwar yang terpalit dengan kes salah laku moral tidak berjaya merealisasikan angan-angannya sebagai Perdana Menteri, adakah selepas 23 tahun, peluangnya semakin cerah?

Rakyat juga semakin bosan dengan gelagat antik Anwar yang berterusan mendakwa jawatan Perdana Menteri adalah milknya.

Maka tidak hairanlah apabila sekumpulan pemimpin muda dalam PH kini berani mempersoalkan kewajaran mencalonkan semula Anwar sebagai Perdana Menteri.

Mereka sebenarnya bimbang, jika ketaksuban Anwar itu tidak ditangani segera, pasti akan menyebabkan PH terus gulung tikar pada PRU-15.


Comments

One response to “Diamlah Anwar, kamu sendiri calon PM kitar semula”

  1. […] Diamlah Anwar, kamu sendiri calon PM kitar semula […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *