Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini adalah untuk mengesahkan akuan bersumpah yang menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen yang dicalonkan sebagai perdana menteri.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia bagi membolehkan Seri Paduka menentukan sama ada akuan bersumpah berkenaan dibuat secara sukarela atau lain-lain.

“Kalau saya sendiri, saya sukarela cadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri dan saya yakin dengan keupayaan beliau.

“Saya difahamkan sebelum ini hanya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja yang dijemput (ke Istana Negara) dan mereka yang menyokong calon kedua daripada maklumat yang saya ada, mereka tidak dijemput menghadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato Onn hari ini.

Terdahulu, sekumpulan Ahli Parlimen UMNO termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menaiki bas menuju ke Istana Negara bagi sesi menghadap Al-Sultan Abdullah.

Ismail Sabri dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan selepas memperolehi sokongan majoriti ahli Parlimen yang diputuskan melalui surat akuan ahli-ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjaya memperolehi sokongan mengatasi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peluang Ismail Sabri dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin cerah apabila beliau dikatakan menerima sokongan daripada 114 Ahli Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen dari UMNO bersepakat menyokong pencalonan beliau.

Difahamkan, Ahli-ahli Parlimen dari parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) juga memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu.

Hari ini, Ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN), PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan menghadap Seri Paduka di Istana Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here