Oleh Wartawan WartaRakyat

POLIS Pulau Pinang masih mengenal pasti identiti tiga mangsa rentung dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbakar selepas melanggar sebatang pokok di Jalan Masjid Negeri, Jelutong, pada awal pagi Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, tiga keluarga yang mendakwa waris mangsa hadir untuk membuat pengecaman mayat kira-kira pukul 1.30 petang semalam.

Bagaimanapun katanya, polis masih perlu menunggu pengesahan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada individu yang mendakwa waris berkenaan sebelum tindakan lanjut dapat diambil.

Jelas beliau, keputusan ujian DNA itu diperlukan selepas pengecaman mayat oleh tiga keluarga berkenaan tidak dapat membuktikan mereka merupakan waris kepada kesemua mangsa.

“Ini kerana barang peribadi yang diperoleh daripada ketiga-tiga mangsa tidak mencukupi selain tiada ciri-ciri pengenalan khas pada kesemua mangsa yang boleh membantu pengecaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Soffian, pihak forensik telah mengambil sampel DNA daripada setiap waris si mati untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan identiti mayat. 

Tambahnya, ketiga-tiga mayat kini disimpan di bilik peti sejuk Jabatan Forensik sehingga pengesahan DNA mayat diperolehi sebelum mayat dapat diserahkan kepada ahli keluarga.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi Isnin lalu, tiga ditemui rentung di dalam kereta jenis Toyota Vios yang terbakar selepas dipercayai melanggar sebatang pokok di Jalan Masjid Negeri, Jelutong.

Pegawai Operasi Balai Bomba Jalan Perak, Sha’ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.55 pagi.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta telah terbakar dengan ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam kereta terbabit tidak sempat menyelamatkan diri dan disahkan maut di lokasi kejadian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here