Tag: vaksin

  • 57 guru KAFA Selangor tolak vaksin boleh dibuang kerja

    57 guru KAFA Selangor tolak vaksin boleh dibuang kerja

    SEBANYAK 57 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang masih enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 walaupun telah digantung tugas berdepan risiko ditamatkan perkhidmatan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    Beliau berkata, tindakan tersebut perlu diambil bagi mengelak pelajar-pelajar KAFA terdedah kepada risiko dijangkiti COVID-19.

    “Kita sudah maklumkan ini lebih awal dan menyarankan agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil langkah-langkah termasuk mengadakan konsultasi, beri amaran dan surat mengenai risiko ini (penggantungan dan penamatan perkhidmatan).

    “Selepas beberapa proses, mereka ini betul-betul tegar walaupun sudah diulang beberapa kali mengenai risiko yang bakal dihadapi mereka. Kita hormati pendirian mereka tetapi untuk langkah tertentu yang membawa risiko kepada anak-anak dan guru lain di sekolah, kita tidak mahu ambil risiko,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dalam Perkongsian Data Kuantiti dan Kualiti Air antara Lembaga Urus Air Selangor dengan agensi berkepentingan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.

    Menurutnya, guru-guru berkenaan telah diingatkan mengenai perkara penamatan perkhidmatan itu sejak Ogos dan September tahun lepas.

    “Bagaimanapun, tindakan itu bukanlah dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya mengikut proses tatatertib penjawat awam,” katanya.

    Amirudin berkata guru KAFA yang digantung tugas berkenaan boleh kembali bertugas sekiranya mereka mematuhi arahan jabatan untuk mengambil vaksin.

    Semalam, media melaporkan 57 guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan mulai Mac ini. – BERNAMA

  • Pendaftaran PICKids lepasi angka sejuta

    Pendaftaran PICKids lepasi angka sejuta

    PENDAFTARAN Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kini melepasi sejuta individu iaitu 28 peratus bagi kohort kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun selepas tiga minggu pelaksanaan program itu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berharap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ bagi mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

    “Harap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sebab kadar kemasukan hospital kanak-kanak mula meningkat. Daftarkan anak anda untuk #PICKids hari ini!” menurut hantaran itu.

    Beliau turut berkongsi infografik pendaftaran PICKids setakat semalam yang menyaksikan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi diikuti Pulau Pinang dan Putrajaya.

    Setakat semalam, sebanyak 513,393 individu atau 14.5 peratus populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui program itu yang mula dilaksanakan pada 3 Feb lepas.

    Menerusi satu lagi ciapan, Khairy berkata, lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan dalam menggalakkan lebih ramai penerima yang layak menjalani saringan kesihatan percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) berbuat demikian.

    Beliau berkata, hanya 561,000 daripada 4.9 juta rakyat Malaysia yang layak telah menjalani saringan kesihatan percuma di bawah skim PeKa B40.

    “Lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan terutama dalam kalangan komuniti yang terpinggir.

    “Butiran lanjut boleh didapati di @protecthealthco (ProtechHealth Corporation). Marilah kita sama-sama mencegah NCD (penyakit tidak berjangkit),” katanya. – BERNAMA

  • 79 peratus kematian ibu hamil positif COVID-19 tidak terima vaksin

    79 peratus kematian ibu hamil positif COVID-19 tidak terima vaksin

    SEBANYAK 79 peratus daripada 191 kes kematian akibat komplikasi jangkitan COVID-19 dalam kalangan ibu hamil pada tahun lepas, terdiri daripada mereka yang tidak menerima suntikan vaksin.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kematian dalam kalangan ibu hamil yang dilaporkan sejak pandemik COVID-19 melanda negara, turut melibatkan 83 peratus daripada mereka yang mempunyai komorbiditi.

    Namun menurutnya, bagi tahun ini sehingga 15 Feb, tiada kes kematian melibatkan ibu hamil disebabkan oleh jangkitan COVID-19 dilaporkan.

    “Liputan vaksin yang tinggi iaitu 94.7 peratus pada umur 18 tahun ke atas telah tercapai pada Oktober 2021 dan ini menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

    Beliau berkata, sejumlah 18,277 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan ibu hamil dilaporkan dari Mac 2020 sehingga Januari tahun ini.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata, kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta 11 negeri lain adalah di bawah 50 peratus setakat 20 Feb, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata, negeri-negeri itu adalah Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Perak; Selangor; Negeri Sembilan; Pahang; Terengganu; Kelantan; Sabah dan Sarawak.

    “Katil ICU yang disediakan di Putrajaya adalah enam dan hanya mencatatkan satu penggunaan manakala bagi Labuan sebanyak tujuh katil disediakan dan tidak mencatatkan sebarang penggunaan,” katanya.

    Beliau berkata, antara negeri yang mencatat kadar peratusan penggunaan katil ICU yang rendah ialah Negeri Sembilan iaitu lapan peratus; Sarawak (13 peratus); Pahang (14 peratus); Kedah (15 peratus); Putrajaya (17 peratus); dan Terengganu (20 peratus).

    Beliau berkata, secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19.

    Namun begitu, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes, katanya sambil memberitahu tiga negeri menunjukkan peratusan penggunaan katil ICU lebih 50 peratus iaitu Johor (70 peratus); Kuala Lumpur (65 peratus); dan Melaka (50 peratus).

    Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 26,832 kes COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,221,680 dan daripada jumlah kes baharu itu, 1,438 kes dimasukkan ke hospital.

    Beliau berkata, bagi kes baharu, 133 daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 26,699 terdiri daripada kategori satu dan dua.

    “Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

    Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 18,459 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,937,655. – BERNAMA

  • Dos penggalak mungkin tak cukup, WHO syor bangunkan vaksin baharu

    Dos penggalak mungkin tak cukup, WHO syor bangunkan vaksin baharu

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Selasa bahawa vaksin COVID-19 semasa mungkin perlu dikemas kini untuk perlindungan berterusan terhadap varian baharu, termasuk Omicron.

    Kumpulan Penasihat Teknikal WHO mengenai Komposisi Vaksin COVID-19 (TAG-CO-VAC), melibatkan 18 pakar berkata, walaupun vaksin terkini memberikan perlindungan tinggi daripada terkena jangkitan teruk dan kematian disebabkan varian yang dibimbangi (VOC), vaksin baharu bagi mencegah jangkitan dan penularan perlu dibangunkan, kata Xinhua.

    Sementara itu, komposisi vaksin COVID-19 semasa mungkin perlu dikemas kini bagi menghalang virus daripada terus berubah.

    Pakar telah menggalakkan pengeluar vaksin COVID-19 menyediakan data berhubung prestasi terkini vaksin khususnya terhadap Omicron, sebelum memutuskan perubahan terhadap komposisi vaksin yang mungkin diperlukan.

    Pakar turut menekankan kepentingan akses global terhadap vaksin COVID-19 bagi membendung varian Omicron. – BERNAMA

  • Tiada vaksin tamat tempoh dibekal kepada PSV, PPV

    Tiada vaksin tamat tempoh dibekal kepada PSV, PPV

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memantau secara berterusan bekalan dan tarikh luput vaksin COVID-19 yang diterima oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

    Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A. Halim berkata, pemantauan tersebut dilakukan dengan mengguna pakai Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terlibat dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    “Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada beberapa kiriman dan video yang dimuat naik dan ditularkan di media sosial berhubung dakwaan vaksin COVID-19 yang diberikan kepada penerima, sama ada telah luput atau hampir luput.

    Norhaliza menjelaskan, penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan pengilang pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu.

    Katanya, tempoh jangka hayat vaksin akan berubah sekiranya terdapat perubahan suhu penyimpanan dan tarikh luput baharu diberikan kepada produk tersebut berdasarkan permohonan pelanjutan jangka hayat yang dikemukakan pengilang kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

    “Pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin tersebut hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori.

    “Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar,” katanya.

    Norhaliza berkata, NPRA meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty (Pfizer) daripada enam kepada sembilan bulan, vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran China (daripada sembilan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada enam kepada 12 bulan).

    Beliau berkata, NPRA juga meluluskan pelanjutan tempoh jangka hayat bagi produk vaksin Convidecia dari enam kepada 12 bulan pada 17 Dis tahun lepas.

    “KKM komited memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 yang dibekalkan kepada penduduk dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

    “Penilaian manfaat risiko bagi vaksin COVID-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

  • Kekeliruan punca individu tanpa vaksin lepas pemeriksaan

    Kekeliruan punca individu tanpa vaksin lepas pemeriksaan

    MUNGKIN terdapat kekeliruan antara agensi kerajaan yang sepatutnya melakukan pemeriksaan terhadap individu tanpa vaksin yang bebas keluar masuk ke negara ini melalui lapangan terbang antarabangsa.

    Memetik laporan BH, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jabatan Imigresen tidak seharusnya dipersalahkan dalam isu ini.

    Menurut beliau, setiap individu yang melalui pemeriksaan pasukan berkenaan akan membawa bersama pas pelepasan.

    “Sepatutnya sebelum mereka ambil ‘boarding pass’ (pas pelepasan), di situlah harus ada pemeriksaan sama ada pengembara ini sudah mendapatkan vaksin atau belum sebelum melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen.

    “Ketika melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen pula, apabila kita sudah melakukan pemeriksaan berkaitan dokumentasi perjalanan dan individu itu memiliki pas pelepasan, maka kita akan benarkan dia lalu,” katanya selepas menghadiri Program Mekar anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini.

    Hamzah menambah, kejadian seumpama itu iaitu pemeriksaan berkaitan individu yang sudah divaksin atau sebaliknya, adalah sesuatu perkara yang di luar jangkaan dan tidak pernah berlaku sebelum ini, namun akan diperbaiki secepat mungkin.

    “Kita faham ini berkaitan sedikit kekhilafan dan kita sedang menentukan siapa barisan hadapan (agensi kerajaan) yang seharusnya boleh menentukan sama ada individu atau pengembara boleh diberi pas pelepasan atau tidak.

    “Kita akan bincang semula dengan semua syarikat penerbangan supaya jika selepas ini mereka dapat memperbaiki lagi proses pemberian pas pelepasan kepada mana-mana individu atau penumpang, sebagai contoh sebelum pas pelepasan diberikan pekerja di kaunter penerbangan boleh memeriksa sama ada individu itu sudah divaksin atau belum,” jelasnya.

    Beliau turut menyelar pihak tertentu yang cuba menyalahkan agensi kerajaan apabila ada individu positif virus Omicron dan tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19 bebas keluar masuk dari negara ini, kerana ia sesuatu yang tidak dijangkakan.

  • Penjawat awam tolak vaksin kena tindakan tatatertib

    Penjawat awam tolak vaksin kena tindakan tatatertib

    KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menyeru kepada semua penjawat awam agar patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November ini.

    Beliau berkata, tindakan tatatertib boleh diambil kepada penjawat awam yang enggan memberi kerjasama menerima vaksin.

    “Kalau mengikut pekeliling dan dari segi peraturan, penjawat awam harus patuh dengan apa yang telah diputuskan oleh pihak ketua jabatan masing-masing.

    “Dalam konteks ini, memang akan ada tindakan mungkin diambil sekiranya mereka masih enggan untuk divaksin.

    “Jadi, pada kesempatan ini, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk memberikan kerjasama memastikan diri mereka lengkap divaksinasi sebelum tarikh yang ditetapkan oleh JPA,” katanya selepas menerima dos penggalak di pusat pemberian vaksin Klinik Kesihatan Membedai dekat Labuan, hari ini.

    Mohd Zuki berkata selepas kesemua negeri beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), operasi di semua pejabat kerajaan akan dibuka semula.

    “Untuk mengelakkan ketidakselesaan, apabila tidak divaksin dan datang ke pejabat, ia akan memberikan kesan atau anggapan negatif dalam kalangan mereka yang telah divaksin…penjawat awam di Labuan yang telah menerima vaksin melebihi 90 peratus, iaitu sama dengan peratusan seluruh negara,” katanya.

    Ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.

    JPA menerusi kenyataan akhbar pada 30 Okt lepas memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

    Menurutnya, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa PPN. – BERNAMA

  • Diskriminasi vaksin: Malaysia runding dengan Arab Saudi

    Diskriminasi vaksin: Malaysia runding dengan Arab Saudi

    MALAYSIA masih berunding dengan kerajaan Arab Saudi supaya tidak mengenakan diskriminasi vaksin bagi individu yang mahu ke negara itu bagi urusan mengerjakan umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    “Kita masih berunding dengan Arab Saudi supaya tidak ada diskriminasi vaksin sebab kita dapati semua vaksin COVID-19 (yang digunakan Malaysia) adalah berkesan dan selamat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya, hari ini.

    Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan hanya menerima empat jenis vaksin COVID-19 iaitu keluaran Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna sahaja bagi individu yang mahu ke negara berkenaan.

    Pada Julai lepas, negara itu mengumumkan individu yang sudah lengkap dos Sinovac dan Sinopharm diterima masuk ke negara itu dengan syarat menerima dos penggalak yang diiktiraf di Arab Saudi.

    Khairy dalam pada itu berkata, satu ciri baharu dalam MySejahtera akan disediakan bagi membolehkan individu memohon dos penggalak untuk memenuhi syarat negara lain termasuk bagi urusan mengerjakan umrah atau menunaikan haji.

    Khairy sebelum ini memaklumkan individu yang mahu menunaikan umrah tetapi tidak menerima jenis vaksin ditetapkan Arab Saudi boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan suntikan penggalak menerusi aplikasi MySejahtera bermula bulan depan.

    Pada majlis berkenaan, KKM menerima sumbangan sejumlah 81 unit katil elektronik bernilai RM2 juta daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Program A’fiat TH 2021 bagi menambah keperluan katil unit rawatan rapi (ICU) di beberapa hospital terpilih.

    “Sumbangan ini bukan sahaja akan digunakan di unit ICU malah di unit lain yang sama penting bagi menguruskan kes bukan COVID-19 dalam fasa transisi kita keluar dari pandemik ini,” kata Khairy yang menzahirkan penghargaan kepada TH atas sumbangan berkenaan.

    Menurut menteri itu, sumbangan tersebut merupakan lanjutan daripada Program A’fiat TH 2020 di mana TH menyumbang 57 mesin hemodialisis kepada 42 hospital kerajaan dengan nilai sumbangan hampir RM2 juta. – BERNAMA

  • KKM teliti video tular dakwa individu mati lepas divaksin

    KKM teliti video tular dakwa individu mati lepas divaksin

    SEMUA pihak diminta bertenang dan tidak menimbulkan kebimbangan awam susulan rakaman video tular mendakwa beberapa individu meninggal dunia selepas menerima vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Menerusi satu ciapan di Twitter rasminya, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti perkara berkenaan dan akan memberikan maklum balas dalam masa terdekat.

    “Pihak KKM mengambil maklum akan video tular di media sosial berkenaan dakwaan kesan sampingan susulan pemberian vaksin melalui program vaksinasi remaja.

    “Pihak KKM memandang serius perkara ini dan pihak KKM juga sedang mendapatkan fakta yang terperinci bagi setiap isu yang dibangkitkan di dalam video tersebut,” katanya dalam ciapan itu.

    Video tular berdurasi satu minit 40 saat itu memaparkan seorang wanita mendakwa beberapa individu termasuk dua pelajar sekolah menengah di Ipoh, Perak dan seorang remaja di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia akibat vaksin COVID-19.

    Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata. dakwaan mengenai dua pelajar sekolah di Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima vaksin COVID-19 seperti didakwa dalam video berkenaan adalah tidak benar.

    Sementara itu, Dr Noor Azmi dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan KKM mendapati kedua-dua pelajar berusia 17 tahun di Ipoh itu masing-masing menghidap kencing manis jenis 1 dan penyakit jantung kongenital.

    “Seorang remaja perempuan merupakan pesakit penyakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin. Pelajar ini dijangkiti COVID-19 dan meninggal pada 18 Ogos sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

    “Seorang remaja lelaki menghidap penyakit jantung kongenital. Pelajar ini dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk. Bantuan pernafasan dan resusitasi diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 Sept dan belum menerima vaksin COVID-19,” menurut kenyataan itu.

    Beliau berkata hasil siasatan itu turut mendapati tiada kematian melibatkan remaja selepas vaksinasi seperti dilaporkan di Lahad Datu, Sabah.

    Dalam pada itu, wanita dalam video itu juga mendakwa dua anak seorang wanita sedang mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI) di Ipoh.

    Merujuk perkara itu, Dr Noor Azmi berkata KKM mendapati dua beradik berusia 16 dan 18 tahun itu mengalami kesan sampingan vaksin Comirnaty dan dimasukkan ke hospital swasta di Ipoh dan semakan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati laporan kesan sampingan mereka masih belum diterima.

    Beliau menasihati ibu bapa atau penjaga memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty memandangkan AEFI boleh berlaku dan kebanyakan kes adalah kesan ringan.

    “KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami AEFI untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.

    Sebelum mengeluarkan maklumat awam, pastikan sumber maklumat yang ingin dikongsi disahkan terlebih dahulu dengan sumber sahih atau pihak bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA

  • 323,000 rakyat Terengganu terima dos ketiga vaksin

    323,000 rakyat Terengganu terima dos ketiga vaksin

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SERAMAI 323,000 rakyat di Terengganu dikenal pasti bakal menerima dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong, daripada jumlah tersebut membabitkan 31,000 petugas barisan hadapan kesihatan diikuti 104,000 warga emas dan 188,000 golongan komorbiditi.

    “Kita jangkakan pemberian dos ketiga akan dimulakan selepas mendapat arahan pelaksanaannya di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada orang asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Hulu Terengganu, hari ini.

    Turut hadir pada program pemberian vaksin jenis CanSino kepada 372 orang asli itu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

    Selain pemberian vaksin Covid-19, program yang mendapat kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu turut melibatkan saringan penyakit kusta dan pemeriksaan pergigian.

    Dr Kasemani memberitahu, proses suntikan dos ketiga dijangka dilakukan di pusat pemberian vaksin (PPV) klinik kesihatan atau hospital memandangkan PPV awam dan integrasi akan ditutup pada 15 Oktober depan.

    “Dari segi bekalan vaksin dos ketiga, kita tidak menghadapi sebarang masalah kerana mempunyai jumlah yang mencukupi,” ujar beliau.