Tag: UMNO

  • UMNO tidak mampu menang PRN Melaka secara solo

    UMNO tidak mampu menang PRN Melaka secara solo

    MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadualkan berlangsung Khamis ini pasti menjadi tumpuan ramai.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut akan membincangkan tentang kemelut yang melanda parti itu di Melaka.

    Selain daripada isu percakaran dalam kalangan pemimpin UMNO di negeri itu, MKT UMNO juga sewajarnya mempertimbangkan pelawaan daripada parti-parti Melayu dan Islam yang lain untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekiranya ia diadakan.

    Ramai pemerhati politik berpandangan, kegagalan UMNO, Bersatu dan PAS untuk mencapai kata sepakat bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru di kerusi-kerusi majoriti Melayu pasti mengundang padah.

    Sekiranya UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu dan PAS gagal dalam misi mendapatkan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, rejim Pakatan Harapan (PH) akan berkuasa semula di negeri itu.

    Hari ini, aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin yang lebih mesra dengan gelaran Chegu Bard berkongsi fakta yang menarik tentang kerusi-kerusi DUN majoriti Melayu di Melaka.

    Sebanyak 11 daripada 28 kerusi DUN di Melaka mempunyai majoriti pengundi Melayu melebihi 70 peratus dan kesemuanya pasti menjadi tumpuan ketiga-tiga parti.

    DUN Kuala Linggi mempunyai 74 peratus pengundi Melayu manakala Tanjung Bidara (94 peratus), Ayer Limau (91 peratus), Lendu (78 peratus), Taboh Naning (80 peratus), Sungai Udang (80 peratus), Pantai Kundor (80 peratus), Ayer Molek (88 peratus), Telok Mas (74 peratus), Serkam (90 peratus) dan Sungai Rambai (84 peratus).

    Dua lagi kerusi DUN dikatakan mempunyai majoriti tipis pengundi Melayu iaitu Rembia (67 peratus) dan Gadek (61 peratus).

    Pada pandangan Chegu Bard, gabungan parti-parti Melayu boleh menang di 13 kerusi terbabit sekiranya pertembungan tiga penjuru tidak berlaku.

    Katanya, lima lagi kerusi DUN di kawasan DUN yang mempunyai demografik pengundi bercampur boleh dielakkan daripada jatuh ke tangan PH jika parti-parti lain dalam kerangka BN dan PN disatukan.

    Sasaran 18 kerusi bagi membolehkan parti-parti gabungan PN dan BN menguasai semula Melaka yang diunjurkan oleh Chegu Bard itu tidak mustahil dicapai.

    Dengan syarat, UMNO bersedia untuk duduk semeja dan bekerjasama dengan Bersatu dan PAS dalam menentukan pembahagian kerusi secara strategik.

    Pucuk pimpinan UMNO seharusnya sedar bahawa parti itu tidak mampu bersendirian menentang PH yang gerak kerja dan strateginya lebih tersusun.

    Lebih-lebih lagi, rakyat Melaka agak kecewa kerana mereka diheret dalam kancah kemelut politik yang disebabkan oleh pergeseran sesama pemimpin UMNO Melaka.

    Sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO benar-benar ikhlas ingin menebus kesilapan yang dilakukan, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah mempertimbangkan tawaran yang dihulurkan oleh Bersatu dan PAS.

    Langkah itu tidak akan menyebabkan UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang lemah. Sebaliknya, jiwa besar pemimpin-pemimpin UMNO untuk berganding bahu bersama dengan Bersatu dan PAS menjelang PRN Melaka akan membuka langkah dalam usaha mempertautkan ikatan kerjasama parti-parti politik Melayu dan Islam di negara ini.

  • Surat gugur keahlian 2 bekas ADUN UMNO sudah diserahkan

    Surat gugur keahlian 2 bekas ADUN UMNO sudah diserahkan

    UMNO telah menyerahkan surat rasmi pengguguran keahlian dua bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Ahmad berkata, surat itu diserahkan kepada Ketua UMNO Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, kelmarin dan diterima dua ADUN berkenaan yang juga sebelum ini ahli UMNO bahagian itu semalam.

    Kedua-dua mereka adalah bekas ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron dan Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan.

    “Mengikut dua fasal dalam Perlembagaan UMNO, mereka berdua telah tergugur daripada keahlian UMNO,” katanya pada sidang media di bilik media Bangunan Parlimen hari ini.

    DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ADUN iaitu Idris dan Nor Azman serta Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) – mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

    Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ADUN daripada UMNO yang telah mengkhianati kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) akan dipecat. – BERNAMA

  • Keahlian UMNO Idris, Nor Azman gugur automatik

    Keahlian UMNO Idris, Nor Azman gugur automatik

    KEAHLIAN dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO di Melaka iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) gugur secara automatik.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pengguguran keahlian secara automatik itu berlaku kerana mereka terlibat dalam gerakan menumbangkan kerajaan negeri Melaka.

    “Kedua-dua mereka sudah secara terbuka menyatakan tidak lagi bersama kerajaan negeri.

    “Apabila dinyatakan dalam sidang media secara terbuka mereka bersama dengan parti tidak membentuk kerajaan dan meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik akan tergugur haknya sebagai ahli UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di Melaka, hari ini.

    Kerajaan negeri Melaka dilaporkan tumbang apabila empat ADUN menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Selain Idris dan Nor Azman, dua lagi wakil rakyat ialah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

    Rauf yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka turut menyelar Idris dan Norhizam yang semalam menyatakan mereka tidak terlibat dalam komplot menjatuhkan kerajaan negeri.

    “Saya ingin melihat apakah tokoh-tokoh yang sedemikian, yang pagi cakap lain, petang cakap lain dan akhirnya bersama dengan parti pembangkang untuk meruntuhkan kerajaan yang selepas merdeka, inilah satu-satu kerajaan yang dibina yang mana dalam DUN 100 peratus diwakili ADUN-ADUN berbangsa Melayu.

    “Kita tidak rasis, malang MCA kalah, malang MIC kalah, maka kerajaan yang dibentuk untuk kita bersama-sama membina sebuah negeri Melaka tidak mengetepikan kepentingan mana-mana kaum,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, beliau berkata, dalam kenyataan dibuat oleh Idris dan Norhizam hari ini menyatakan perkara yang lain daripada komen mereka semalam.

    “Wallahualam, saya tak nak komen lebih, tetapi saya berhak komen kerana dia telah terpapar dalam media sosial dan juga untuk tatapan umum.

    “Maka saya bercakap untuk melihat antara kenyataan yang dinyatakan semalam dan hari ini bercanggah dengan sifat keperibadian seorang pemimpin,” katanya.

  • Tolak kerjasama Bersatu, UMNO gali lubang kubur sendiri

    Tolak kerjasama Bersatu, UMNO gali lubang kubur sendiri

    ENTAH apa yang bermain dalam fikiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila mengumumkan partinya sudah membuat keputusan muktamad untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Apakah beliau benar-benar yakin bahawa tindakan itu akan menjamin kemenangan UMNO di sebahagian besar kerusi yang bakal ditandinginya?

    Kenyataan populis sebegitu sebenarnya memberi harapan palsu kepada ahli-ahli akar umbi UMNO yang setia dengan parti walaupun selepas mengalami prestasi buruk pada PRU-14.

    Sikap angkuh pucuk pimpinan UMNO boleh menyebabkan ahli-ahli UMNO tidak dapat melihat hakikat sebenar situasi politik negara menjelang PRU-15 yang bakal menyaksikan tentangan yang lebih sengit daripada Pakatan Harapan (PH).

    Memang benar, rejim PH mempunyai rekod prestasi yang sangat corot semasa 22 bulan menguasai pentadbiran negara dahulu, namun dari segi politik mereka masih lagi bersepakat.

    Di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gerak kerja mereka dilihat lebih tersusun dan fokus dalam memanipulasi persepsi rakyat lebih-lebih lagi golongan muda yang mudah terperdaya dengan dakyah palsu pembangkang.

    Melihat kepada keputusan PRU-14, mana-mana gabungan politik yang ingin mematahkan serangan PH dalam kempen PRU-15 mesti bersepakat agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih.

    Dalam hal ini, secara khususnya, UMNO yang di bawah tiket Barisan Nasional (BN) dan Bersatu atau PAS di bawah tiket PN tidak boleh bertembung sesama sendiri.

    Jika ketiga-tiga parti tidak mahu beralah, sokongan daripada pengundi yang tidak memihak kepada PH akan terpecah dua sekali gus mengurangkan kebarangkalian untuk memenangi kerusi yang ditandingi.

    Sifir politik pilihan raya ini amat mudah difahami, namun pucuk pimpinan UMNO seolah-olah tidak mengendahkannya.

    Mungkin mereka masih terperangkap dalam mentaliti ‘warlord’ sehingga menyebabkan mereka menganggap apa sahaja keputusan yang dibuat adalah terbaik untuk parti.

    Malah, pandangan yang berbeza daripada pemimpin-pemimpin parti yang lain serta akar umbi yang mahu melihat parti-parti politik Melayu dan Islam bekerjasama dalam PRU-15 ditolak ke tepi begitu sahaja.

    Ada pemimpin UMNO yang tidak berani menegur keputusan yang di luar semangat Muafakat Nasional (MN) itu semata-mata kerana takut nama mereka tidak akan dicalonkan pada PRU-15.

    Sikap penakut itu mesti diubah kerana tidak guna mereka dapat menjadi calon apabila parti gagal menjadi sebahagian daripada gabungan yang membentuk kerajaan.

    Lebih malang lagi, UMNO terpaksa menjadi pembangkang sekali lagi sekiranya rejim PH berkuasa semula.

    Masih belum terlambat bagi pucuk pimpinan UMNO yang masih berfikiran waras untuk melakukan perubahan drastik dalam usaha membuka semula jalan menuju ke meja rundingan bersama Bersatu dan PN.

    Jika ada pemimpin yang berdepan masalah peribadi termasuk kes mahkamah, nasihatkanlah mereka supaya bercuti agar tumpuan parti untuk menghadapi PRU-15 tidak terganggu.

    Lebih baik kalau pemimpin-pemimpin terbabit secara sukarela berundur secara terhormat bagi membolehkan tokoh-tokoh lain yang lebih berwibawa menerajui parti sehingga pemilihan diadakan.

    Pengorbanan mereka itu pasti disanjung tinggi dan dihargai oleh akar umbi UMNO yang semakin bimbang apabila parti membuat keputusan yang diumpamakan seperti menggali lubang kubur sendiri.

  • UMNO patut kaji siapa musuh, kawan sebenar

    UMNO patut kaji siapa musuh, kawan sebenar

    KEPUTUSAN UMNO menolak mentah-mentah kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) memang membingungkan banyak pihak termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).

    Tidak dapat dilihat apa kewajaran yang digunakan oleh UMNO di sebalik keputusan yang bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.

    Langkah semberono yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu boleh membuka jalan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Kebimbangan itu turut disuarakan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dalam laporan media hari ini.

    Beliau menasihatkan agar UMNO mengkaji semula siapakah sebenarnya musuh dan kawan selain jangan menolak kerjasama dengan PN.

    Seperti yang dijelaskan oleh Hashim, perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu dan Islam akan memberi keuntungan kepada PH.

    Sememangnya UMNO perlu memikirkan semasak-masaknya nasihat Hashim tersebut kerana parti itu telah kehilangan banyak kerusi pada PRU-14 dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), PAS dan PH.

    Seorang lagi tokoh ulama PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani pula berpandangan, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya berlapang dada serta menjauhkan sifat tamak dan ego.

    Seperti yang dinyatakan dalam hantaran Facebook, beliau berkata, kedua-dua parti Melayu itu saling memerlukan antara satu sama lain dan mereka perlu berdamai.

    UMNO PAS
    Ahmad Dusuki Abd Rani

    “Belum cukup lagikah pengajaran PRU-14 yang lalu memberi pengajaran kepada semua kita ini?

    “Belum cukup lagikah 22 bulan yang gelap di bawah PH itu menjadi iktibar yang berguna kepada kita semua umat Islam di bumi Malaysia ini?

    “Atau kita perlu ‘tamparan’ dari Allah COVID yang lebih dahsyat dari yang lalu? Atau apa sebenarnya yang menjadi ketamakan kepada semua ini?” soalnya.

    PAS memang berhak menyuarakan kebimbangan ekoran keputusan ‘muktamad’ UMNO menolak kerjasama dengan PN dan Bersatu pada PRU-15.

    Langkah UMNO itu akan meletakkan PAS dalam situasi serba salah sekiranya terpaksa berdepan calon sekutunya dalam MN itu kelak.

    Setakat ini, MN masih lagi wujud walaupun ramai pemerhati politik yang sangsi tentang kemampuannya bertahan selagi UMNO diterajui oleh Ahmad Zahid.

    Beliau dikatakan sering mengambil tindakan yang tidak selari dengan semangat MN sehingga menyebabkan pemimpin-pemimpin PAS rasa tersinggung.

    Mungkin fikiran Ahmad Zahid terganggu dengan kes mahkamah yang dihadapi justeru wajar dicadangkan supaya beliau ‘bercuti’ dahulu supaya pemimpin yang fikirannya lebih rasional dapat mengemudi UMNO bagi menghadapi PRU-15.

  • Kerana nafsu serakah, pemimpin UMNO tergamak tinggal parti

    Kerana nafsu serakah, pemimpin UMNO tergamak tinggal parti

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENGKHIANATAN terhadap parti amat jelas boleh dilihat apabila ada pemimpin UMNO yang tidak tahan dengan nafsu serakah mereka ingin mendapatkan kuasa dan pangkat, kata Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

    Dalam hantaran di Facebooknya, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata, pemimpin seperti itu sanggup melompat dan meninggalkan parti demi mendapatkan kedudukan, yang tidak ubah seperti pelacur politik melacurkan diri demi habuan.

    “Pemimpin seperti ini tindakan mereka tidak senada dengan kata-kata mereka. Katanya kurangkan jurang perbezaan, cari titik persamaan dan seperkara lagi yang sering dilaungkan biduk berlalu kiambang bertaut. (Tetapi) semuanya hanya hipokrit semata-mata.

    “Jika ada pemimpin seperti ini ia perlu dijauhkan kerana mereka tidak ada sifat setia kepada parti dan mereka tidak boleh buat kawan, kerana sifat seperti ini mereka bila-bila masa boleh tikam belakang dan mengkhianati perjuangan yang telus,” katanya merujuk dengan perkembangan semasa yang berlaku di Melaka.

    Kata Mohamad Ali, sebagai ahli dan pemimpin UMNO, mereka wajib berjuang untuk membela untung nasib rakyat, agama dan negara. Malah perjuangan yang dibawa wajar mengenepikan kepentingan peribadi semata-mata.

    Menurut beliau, perjuangan yang dibawa perlu telus dan ikhlas agar segala matlamat perjuangan untuk rakyat tercapai, selain agama Islam terbela dan kedaulatan negara terus unggul disamping tanah yang berdaulat terus membangun dengan pesat.

    “Akan tetapi apabila perjuangan itu berteraskan kepentingan peribadi untuk mendapatkan kuasa, kedudukan dan laba, maka perjuangan itu akan terpesong sehingga mewujudkan akhlak dan peribadi yang tidak baik.

    “Seperti mempunyai sikap hasad dengki, berhati busuk, menipu, memfitnah serta sanggup menjadi pengkhianat dengan mengkhianati parti sendiri,” katanya.

    Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu turut mengakui, perkara yang berlaku semalam menyebabkan beliau sukar melelapkan mata, tetapi bukan kerana takut atau gusar namun memikirkan mengenai erti sebuah perjuangan di dalam arena politik pada masa kini.

    “Dari pagi sampai ke malam, seusai urusan kerja di Kuala Lumpur, saya pulang ke Melaka. Setiba di Melaka saya mendapat berita yang sangat tidak enak untuk didengari, malah saya menerima banyak panggilan daripada sahabat saya serata negeri,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Sulaiman Md. Ali terus kukuh dan stabil dalam memberi fokus kepada pembangunan dan kemajuan negeri Melaka demi keselesaan rakyat.

    “Buat semua ahli dan pemimpin UMNO, bulatkan tekad agar terus setia bersama UMNO, ketepikan mereka yang mengkhianati parti. Kita terus melangkah memperjuang agama, bangsa dan negara,” katanya.

  • PAS mesti jadi ejen penyatuan UMNO, Bersatu

    PAS mesti jadi ejen penyatuan UMNO, Bersatu

    SETAKAT ini masih belum nampak sebarang tanda UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Situasi itu agak membimbangkan bagi orang Melayu dan umat Islam kerana kegagalan kedua-dua parti tersebut bekerjasama bakal memberi ruang kepada Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

    Mereka tidak sanggup lagi hidup menderita seperti yang dialami selama 22 bulan regim PH menguasai negara selepas PRU-14 dahulu.

    Cukuplah sekali sahaja PH memerintah negara dan majoriti rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam pasti tidak mahu mimpi ngeri itu berulang.

    Malangnya, pemimpin-pemimpin Melayu seolah-olah masih tidak sedar tentang malapetaka yang bakal menimpa bangsa dan ummah sekiranya mereka masih terus bercakaran sesama sendiri.

    Semua mahu menegakkan benang masing-masing dan tidak mahu beralah dalam usaha mencapai kata sepakat bagi memperkukuhkan strategi melawan PH.

    Mungkin ego yang sangat besar dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan menyebabkan mereka bersikap tidak rasional dan tidak matang.

    Keadaan yang merugikan orang Melayu dan umat Islam ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Api yang mula membakar mesti dipadamkan.

    Dalam hal ini, PAS dilihat boleh memainkan peranan sebagai ejen penyatuan dua parti Melayu yang serumpun tetapi tidak sehaluan itu.

    Komitmen itu telah ditegaskan sebelum ini oleh Naib Presidennya, Idris Ahmad dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Kesediaan PAS menjadi ‘pendamai’ dalam hubungan UMNO dan Bersatu yang agak dingin itu seharusnya disambut baik oleh kedua-dua parti.

    PAS selama ini telah menunjukkan teladan yang baik dalam menjaga hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

    Dalam banyak perkara, PAS sentiasa bersedia untuk berkompromi dan memilih jalan perdamaian dalam menangani sebarang isu yang timbul bersama sekutu-sekutu politiknya.

    Pendekatan sedemikian tidak menjadikan PAS dianggap lemah, malah sebaliknya menjadikan parti tersebut dilihat semakin matang dalam berpolitik.

    Kematangan yang ditunjukkan oleh PAS itu sepatutnya dicontohi oleh UMNO dan Bersatu dalam mencari titik persamaan yang boleh mempertautkan kedua-dua parti.

    Rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam sentiasa memerhatikan perangai mereka yang tak ubah seperti kanak-kanak berebut gula-gula yang sebenarnya cukup untuk semua orang jika dibahagikan secara adil dan saksama.

    Justeru, PAS perlu meyakinkan pemimpin-pemimpin UMNO dan Bersatu bahawa tiada siapa pun yang akan menang dalam pertelagahan yang memperlihatkan sifat kebudak-budakan mereka.

    Jika PAS berjaya menyempurnakan misi mendamaikan UMNO dan Bersatu, insya-Allah gabungan yang menyaksikan kerjasama ampuh ketiga-tiga parti politik boleh menang selesa dalam PRU-15.

  • UMNO tolak kerjasama, Bersatu tak terhegeh-hegeh

    UMNO tolak kerjasama, Bersatu tak terhegeh-hegeh

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah bertoleransi dan banyak berkorban hingga sanggup memberi jawatan Menteri Besar kepada UMNO di Johor dan Perak termasuk jawatan Perdana Menteri.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, jika semangat setiakawan tersebut tidak dihargai, maka wajar Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menentang UMNO di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, khususnya di Johor.

    Malah, beliau menegaskan Bersatu juga tidak akan terhegeh-hegeh sekiranya UMNO tetap dengan pendirian tidak mahu bekerjasama dengan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

    “Pada PRU-15 nanti, Bersatu akan bersama parti yang mahu bekerjasama dengan kita sahaja, kalau UMNO tidak mahu apakah daya. Kita harapkan gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan dalam PN. Sebelum ini semua sudah kita lakukan atas semangat PN, apa lagi UMNO mahu.

    “Kalau UMNO memilih untuk tidak bersama PN, kemungkinan besar undi Melayu akan berpecah, jadi terpulang kepada UMNO. Masalah tidak mahu bergabung dengan Bersatu dan PN ini kita lihat atas pengaruh ‘kluster mahkamah’ yang semakin terdesak.

    “Saya lihat Perdana Menteri tiada masalah untuk bekerjasama tetapi kluster mahkamah ini yang buat hal atas kepentingan diri,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Amal di Permas Jaya, hari ini.

    UMNO Bersatu Che Zakaria Mohd Salleh
    Che Zakaria Mohd Salleh memberikan ayam, telur, gula dan sayur kepada orang ramai yang membeli empat barangan itu dengan harga RM10 pada Program Jualan Amal di Permas Jaya, Pasir Gudang, pada Selasa. – Gambar: Warta Rakyat

    Jumaat lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu masih belum jelas dengan hala tuju UMNO sama ada akan terus bersama-sama dalam PRU-15 atau parti itu mempunyai pilihan lain.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRU-15 jika mereka memilih untuk bersama.

    “Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan menentang mereka pada PRU akan datang. Ini adalah prinsip kita yang mana saya rasa ia sememangnya diterima oleh semua ahli Bersatu,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Sementara itu, ujar Che Zakaria, Bersatu adalah parti paling ideal dan relevan dalam PRU-15 terutama kepada orang Melayu dan bumiputera untuk membuat pilihan sekaligus menggantikan UMNO.

    “Bersatu konsisten dengan perjuangan asal penubuhannya iaitu menolak kleptokrasi dan amalan rasuah. Kita bukan sahaja mempertahankan hak dan kepentingan bumiputera tetapi semua kaum di negara ini.

    “Jika mahu bekerjasama memikirkan penyelesaian masalah rakyat, mari kita duduk bersama-sama. Sebaliknya jika masih dengan perangai lama, mengejar projek, kekayaan dan mementingkan diri sendiri, ini kita perlu tolak,” ujarnya.

  • PRU-15: UMNO ambil risiko besar calon semula Najib

    PRU-15: UMNO ambil risiko besar calon semula Najib

    UMNO mungkin terpaksa berdepan pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Pekan sekiranya parti itu mencalonkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beberapa penganalisis politik membuat andaian tersebut berdasarkan kemungkinan Najib gagal dalam rayuannya di mahkamah selepas PRU-15 diadakan.

    Memetik laporan Malaysia Now, pensyarah sains politik, Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pencalonan Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan itu harus dilihat dari sudut undang-undang.

    Menurut beliau, Najib telah disabitkan bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

    “Sekiranya Najib tidak dapat mengubah keputusan dan tidak mendapat pengampunan diraja, maka ada kebarangkalian plihan raya kecil perlu diadakan semula sekiranya Najib berjaya mempertahankan kerusi Pekan pada PRU-15.

    “Walaupun UMNO yakin boleh menang kerusi Pekan, dalam konteks hendak menjadi kerajaan, Umno harus mendapat jumlah kerusi yang jitu untuk membentuk kerajaan. Pengundian semula (kerusi Pekan) tidak akan membantu UMNO,” katanya.

    Pada Julai tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Dalam satu temu bual bersama Reuters baru-baru ini, Najib menyatakan hasrat untuk dicalonkan semula pada PRU-15.

    Pada PRU-14, beberapa ahli politik dibatalkan pencalonan atau tidak mencalonkan diri berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapi.

    Antaranya bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang ketika itu berhadapan perbicaraan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), dan bekas ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang hilang kelayakan bertanding apabila pegawai pengurus pilhan raya membatalkan kertas pencalonannya ekoran satu kes mahkamah.

    Mujibu menambah, selain sudut memenangi kerusi, aspek reputasi negara juga perlu diambil kira oleh UMNO. Saya tidak fikir pencalonan Najib ini bagus dari sudut integriti.

    “Sekiranya Umno mengekalkan golongan yang digelar kleptokrat, ia menghantar isyarat yang tidak baik tentang hala tuju negara,” jelasnya.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, dua faktor utama yang akan menentukan pencalonan Najib ialah Presiden UMNO yang akan menandatangani watikah calon demgan melihat keboleh menangan Najib, dan faktor perundangan.

    “Jika merujuk kepada budi bicara pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya pada hari penamaan calon, keadaan ini masih berisiko dan terdedah kepada bantahan calon lain yang mungkin tidak berpuas hati dengan pencalonan beliau,” jelasnya.

    Beliau berpandangan, pencalonan semula Najib dilihat sebagai strategi menarik semula segmen undi protes yang memberi undi kepada pembangkang pada PRU14 lepas.

    Namun katanya, imej Najib bakal memberi kesan kepada pengundi di kawasan campuran yang undi bukan Melayu menjadi penentu.

    Selain itu, Hisommudin berkata, UMNO perlu memberikan justifikasi sekiranya Najib dan kumpulan kluster mahkamah benar-benar dicalonkan semula.

    “Sebarang keputusan dan riskio perlu dinilai oleh strategis UMNO bagi memberikan formula kemenangan kepada parti Melayu itu,” katanya.

  • UMNO (Baru) hilang semangat perjuangan bela Melayu

    UMNO (Baru) hilang semangat perjuangan bela Melayu

    AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat semalam membangkitkan tentang ‘UMNO yang hilang’.

    Beliau meluahkan kekecewaan tentang apa yang berlaku dalam UMNO sejak ia ditubuhkan semula di bawah entiti baharu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas ‘UMNO asal’ diharamkan pada 1988.

    Secara ringkasnya, tokoh politik veteran yang lebih mesra dengan gelaran Ku Li itu berpandangan, UMNO yang ada sekarang tidak sama dengan UMNO yang ditubuhkan oleh Almarhum Datuk Onn Jaafar pada 11 Mei 1946.

    UMNO yang asal memang benar-benar memperjuangkan dan membela nasib orang Melayu sebelum dan selepas negara mencapai kemerdekaan.

    Kesan penjajahan selama 446 tahun menyebabkan orang Melayu hilang kuasa sehingga menjadi melukut di tepi gantang di tanah air sendiri.

    Melihat kepada nasib anak bangsa yang menyedihkan itu, timbul kesedaran dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO asal iaitu Datuk Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein dan Almarhum Tun Hussein Onn untuk menebus maruah orang Melayu yang tercalar.

    Mereka semua sangat komited dalam menjayakan misi mulia itu sehingga sanggup mengetepikan status bangsawan semata-mata untuk membela nasib orang Melayu melalui UMNO.

    Segala-galanya berubah apabila UMNO berada di bawah cengkaman Dr Mahathir mulai 28 Jun 1981 hingga 31 Oktober 2003 di mana parti orang kampung itu mula beransur-ansur menampilkan imej korporat dan elitis.

    Ramai yang mula melihat UMNO sebagai lubuk duit. Lebih tinggi jawatan dalam parti, lebih besar habuan yang bakal diterima.

    Perkembangan yang kurang sihat itu telah mengakibatkan gejala perebutan kuasa yang parah dalam UMNO sehingga membawa kepada episod pengharaman parti terbesar orang Melayu tersebut pada 4 Februari 1988.

    Dr Mahathir seterusnya menubuhkan UMNO (Baru) yang lama-kelamaan disebut sebagai UMNO sahaja. Mereka yang malas mengkaji sejarah mungkin terkeliru sehingga menyangka ia adalah parti yang sama dengan yang ditubuhkan oleh Datuk Onn.

    Malangnya UMNO (Baru) yang masih kekal sehingga hari ini sudah lari daripada matlamat perjuangan asal iaitu membela nasib orang Melayu dan bumiputera yang semakin tercicir dalam arus pembangunan negara yang pesat.

    Ramai pemimpin UMNO lebih berminat untuk memenuhkan kantung sendiri kerana bagi mereka, wang adalah kuasa. Mereka memerlukan wang yang banyak untuk merebut atau mempertahankan jawatan dalam parti.

    Akibatnya, sebahagian besar kepimpinan UMNO di segenap peringkat tidak lagi diisi oleh mereka yang benar-benar ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

    Jawatan-jawatan penting di peringkat bahagian dan Pusat seolah-olah menjadi milik mutlak mereka yang kaya-raya dan mempunyai kabel besar.

    Golongan muda yang berpendidikan tinggi tidak diberi tempat yang sewajarnya dalam parti jika mereka bukan berasal dari keluarga yang kaya dan berpengaruh.

    Jika mereka masuk UMNO, peranan mereka hanyalah sekadar sebagai ahli jawatankuasa biasa di peringkat cawangan yang khidmat mereka cuma diperlukan untuk mengangkat barang dan menguruskan mesyuarat.

    Ada juga permohonan keahlian daripada mereka yang berkelulusan tinggi ‘diperam’ oleh ketua cawangan yang takut kedudukan mereka akan terancam.

    Lama-kelamaan, generasi intelektual muda Melayu semakin tidak akrab dengan UMNO dan ramai yang memilih untuk menceburi politik bersama PAS, PKR malah DAP.

    UMNO pula mengalami ketandusan cerdik pandai di peringkat akar umbi dan situasi ini menyebabkan mereka mudah dimanipulasi oleh pucuk pimpinan yang lebih berminat mengejar agenda peribadi.

    Rakyat termasuk orang Melayu sendiri sudah mulai hilang keyakinan terhadap UMNO (Baru) yang dilihat masih belum insaf selepas menerima tamparan yang amat pedih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Keadaan semakin buruk di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan gagal mengembalikan reputasi UMNO yang tercalar serta memberi hala tuju yang jelas terhadap parti.

    Ramai yang berharap agar pemimpin-pemimpin UMNO yang lain khususnya Datuk Seri Mohamad Hasan bertindak segera untuk membaiki segala kepincangan dalam parti dan membebaskannya daripada penguasaan kluster mahkamah.

    Namun apa yang diharapkan itu masih belum berlaku. Sedangkan masa semakin suntuk kerana PRU-15 dijangka akan diadakan seawal-awalnya tahun depan.

    Mungkin Ku Li sangat bimbang melihat apa yang berlaku dalam UMNO sekarang sehingga mendorong beliau meluahkan hasrat untuk menghidupkan semula UMNO asal.

    Kita tidak pasti sama ada beliau akan menubuhkan parti baharu atau melancarkan gerakan pemulihan dalam UMNO. Semuanya masih samar-samar lagi.

    Apa yang pasti, gelombang penolakan terhadap kluster mahkamah sudah bermula. Jika mereka masih bersikap angkuh dan enggan menerima kenyataan, kelak UMNO akan menerima padahnya.