Tag: Tun Dr Mahathir Mohamad

  • Dr Mahathir kritik parti anak sendiri

    Dr Mahathir kritik parti anak sendiri

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui anaknya sendiri, lebih mengutamakan parti lain terkait rasuah berbanding terus bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

    Menurut bekas Pengerusi Pejuang itu, beliau hairan kenapa parti diketuai anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai presiden, sanggup bertindak untuk keluar GTA yang mana pemimpinnya langsung tidak terpalit dengan rasuah.

    Katanya, beliau turut mengakui kecewa dengan keputusan Pejuang untuk keluar dari GTA.

    “Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih rasuah menerusi GTA kerana parti yang besar semua terbabit dengan rasuah.

    “Parti kecil yang tinggal sekarang hanyalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN),” katanya pada sidang media, di Putrajaya semalam, lapor Berita Harian.

    Mengulas mengenai reaksi Mukhriz berhubung perkara itu, bekas Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

    “Saya tak tahu, itu pemikiran dia (Mukhriz),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar daripada Pejuang, difahamkan kerana kecew parti itu memutuskan hubungan dengan GTA.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai pengerusinya pada Disember tahun lalu.

  • Dr M beri bayangan sertai PUTRA selepas UMNO, Bersatu, Pejuang

    Dr M beri bayangan sertai PUTRA selepas UMNO, Bersatu, Pejuang

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan beliau akan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan bersedia jika parti itu mahu melantik beliau sebagai penasihat.

    Beliau yang dilapor keluar daripada Pejuang juga menyifatkan jemputan menyertai PUTRA sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.

    “Terima kasih atas jemputan ini dan saya akan meneliti terlebih dahulu sama ada PUTRA ini sesuai atau tidak dengan saya.

    “Setakat ini, saya tidak nampak sebab tidak boleh terima parti ini, saya akan fikir secara mendalam sebelum keputusan dibuat.

    “Saya akan membuat permohonan menjadi ahli dan kalau mahu bagi saya sebagai penasihat parti, saya boleh bagi nasihat,” katanya pada sidang media bersama pimpinan PUTRA di Putrajaya, hari ini.

    Dr Mahathir berharap dapat memberi panduan kepada PUTRA dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk menyelamatkan kaum Melayu di negara ini.

    Beliau bersama 12 ahli lain dilapor keluar daripada Pejuang selepas kecewa kerana parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

    Sementara itu, Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, yakin Dr Mahathir masih memiliki aura untuk memimpin PUTRA.

    “Kita mahu Tun sertai PUTRA. Kami mohon seikhlas hati dan tidak timbul soal Tun mahu memohon sertai PUTRA atau tidak.

    “Kita juga jemput 14 bekas pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk sertai PUTRA.

    “Kita doakan Tun dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali diberi kesihatan berpanjangan dan kami mahu sehidup semati dengan perjuangan Tun,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai Pengerusinya pada Disember tahun lalu.

    Sebelum ini, perwakilan Pejuang mengumumkan menarik diri daripada GTA pada mesyuarat agung kedua parti itu, 14 Januari lalu.

  • Kerjasama PH-BN pelik, jejas kepercayaan rakyat – Dr M

    Kerjasama PH-BN pelik, jejas kepercayaan rakyat – Dr M

    KERJASAMA Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada janji dan pendirian parti politik.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerjasama antara dua gabungan utama yang saling bermusuhan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), meremehkan janji yang dibuat kepada rakyat oleh parti politik, khususnya sepanjang kempen pilihan raya.

    Katanya, kerjasama PH dan BN juga tidak menghormati undi rakyat yang memilih kedua-dua parti itu dalam PRU15 selepas percaya dengan janji dan pendirian mereka yang sebelumnya bertegas menolak satu sama lain.

    “Saya dapati sekarang ini dalam pilihan raya, janji dibuat. Selepas menang pilihan raya, janji diketepikan dan tindakan yang bertentangan dengan janji dilaksanakan.

    “Bermakna kerajaan ini tidak hormati janji yang mereka buat dengan rakyat. Rakyat tentu kecewa kerana mereka menyokong atas sikap dan dasar parti atau calon, tetapi apabila menang mereka ketepikan dasar dan janji mereka.

    “Ini memberi gambaran seolah-olah pilihan raya tidak berkesan dalam menentukan pihak yang akan jadi kerajaan berdasarkan janji yang baik. Mereka mungkin lakukan benda yang di luar atau bertentangan janji mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Berita Harian di sini, baru-baru ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibentuk hasil kerjasama luar biasa membabitkan PH dan BN, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain.

    Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas tiada mana-mana parti berjaya mendapat majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi Parlimen dalam PRU15, menyebabkan Parlimen tergantung selama lima hari sebelum Istana Negara mengumumkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

    Dalam PRU15, PH mendapat jumlah kerusi Parlimen terbanyak dengan 82 kerusi, disusuli Perikatan Nasional (PN) yang menang 74 kerusi, BN (30), GPS (23), GRS (6), serta tujuh lagi diperoleh beberapa parti lain dan dua calon Bebas.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang tewas dalam PRU15 di Parlimen Langkawi, turut menyifatkan kerjasama PH dan UMNO sebagai perkara pelik dan mengetepikan pendirian masing-masing.

    “Itu peliklah kerana kita tahu, UMNO dalam mesyuarat agungnya memutuskan tidak sama sekali bersama dengan Anwar atau DAP. Pakatan yang diadakan ini menidakkan dakwaan pendirian mereka. Pendirian mereka ialah tidak akan terima kerjasama dengan Anwar dan DAP.

    “Sekarang ini bukan saja mereka kerjasama, bahkan menyokong musuh mereka sebagai Perdana Menteri dan (UMNO) bekerjasama dengan DAP,” katanya.

  • ‘Saya tidak tikam sesiapa. Saya cuma mahu menyelamatkan negara’

    ‘Saya tidak tikam sesiapa. Saya cuma mahu menyelamatkan negara’

    “Saya tidak tikam sesiapa. Saya cuma mahu menyelamatkan negara”.

    Tun Mahathir kata saya tikam beliau dari belakang. Jenuh saya memikirkan bila masa saya menikamnya.

    Saya pada mulanya tidak mahu melayan tuduhan ini kerana bagi saya ini cerita politik yang telah berlalu. Saya lebih suka mengambil sikap berlapang dada.

    Tetapi saya berfikir semula. Kalau saya tidak jelaskan kedudukan yang sebenarnya, ramai orang akan mempunyai pandangan serong terhadap saya. Mungkin ramai yang tidak tahu cerita sebenar. Jadi, marilah saya ceritakan.

    Pada pagi 24 Februari 2020, iaitu hari Tun Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, saya menemui beliau di rumahnya. Beliau tidak beritahu saya tentang niatnya untuk meletak jawatan.

    Setelah saya pulang ke rumah, saya menerima sepucuk surat daripada Tun Mahathir memaklumkan kepada saya bahawa beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan. Pada masa yang sama, sepucuk surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dihantar ke Istana Negara.

    Saya amat terkejut dengan tindakan Tun Mahathir meletak jawatan. Saya bergegas semula ke rumahnya untuk memujuk beliau supaya menarik balik peletakan jawatannya. Namun beliau berkeras untuk meneruskan niatnya.

    Pada sebelah petangnya, pimpinan Bersatu, PAS, UMNO, GPS dan WARISAN berkumpul di rumah Tun Mahathir untuk memujuk beliau supaya menarik balik peletakan jawatannya. Malangnya, beliau masih berdegil.

    Kenapa Tun Mahathir meletak jawatan?

    Alasan yang diberikan di dalam suratnya kepada saya ialah kerana beliau tidak lagi mendapat sokongan Majlis Tertinggi parti yang mewakili ahli-ahli parti. Sehari sebelumnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH). Beliau meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan keputusan MPT Bersatu untuk keluar PH.

    Sebenarnya, Tun Mahathir telah memulakan gerakan untuk Bersatu keluar dari PH. Tetapi beliau membuat pusingan u di saat akhir apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuaratnya pada 21 Februari 2020 membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

    Sebelum itu, kalau kita masih ingat, beliau telah didesak oleh beberapa pihak di dalam PH supaya berundur untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM-8.

    Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, beliau cuba meyakinkan MPT Bersatu supaya kekal berada di dalam PH. Tetapi MPT Bersatu hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya.

    Keputusan ini dibuat kerana memikirkan Bersatu semakin kehilangan sokongan orang Melayu akibat tindak-tanduk beberapa pihak di dalam PH terutamanya parti DAP yang dilihat gagal menjaga sensitiviti orang Islam dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

    Dalam dua pilihan raya kecil di Semenyih dan Tanjung Piai, calon Bersatu yang bertanding atas tiket PH kalah. Sokongan pengundi Melayu kepada Bersatu ketika itu merosot walaupun kedua-kedua kerusi ini dimenangi oleh Bersatu dalam PRU-14.

    Walaupun kecewa dengan keputusan MPT Bersatu, Tun Mahathir tidak sepatutnya meletak jawatan. Kerana pada masa itu telah ada 138 Akuan Bersumpah Ahli-Ahli Parlimen dari Bersatu, PKR, PAS, BN, GPS, PBS dan WARISAN yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

    Saya adalah salah seorang Ahli Parlimen yang telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

    Maksudnya, walaupun Bersatu keluar PH, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tidak terjejas. Malangnya, Tun Mahathir meletak jawatan juga atas kerelaannya sendiri.

    Apabila seorang Perdana Menteri meletak jawatan, maka menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri baharu mesti dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

    Dengan peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu, saya sebagai Presiden parti telah mempengerusikan mesyuarat khas MPT Bersatu.

    Mesyuarat tersebut telah sebulat suara membuat keputusan untuk mencalonkan semula Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Semua Ahli Parlimen Bersatu telah diarahkan supaya menyokong Tun Mahathir.

    Pada ketika itu, Presiden PAS dan Presiden UMNO mencadangkan supaya saya menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri. Saya tolak pencalonan itu kerana keputusan parti ialah untuk menyokong Tun Mahathir.

    Ketika semua Ahli Parlimen dipanggil menghadap oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, saya telah menyatakan sokongan saya kepada Tun Mahathir.

    Malangnya, Tun Mahathir gagal mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen. Sebahagian besar Ahli-Ahli Parlimen yang menandatangani Akuan Bersumpah menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini telah menarik balik sokongan kepadanya. Oleh sebab itu, menurut Perlembagaan Persekutuan, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

    Seorang lagi calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pun gagal mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

    Negara pada masa itu terumbang-ambing kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen yang lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Pada ketika itulah saya sekali lagi didatangi oleh rakan-rakan dalam parti PAS dan UMNO yang menyatakan sokongan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

    Menurut mereka, inilah satu-satunya cara untuk menyelamatkan negara daripada keadaan yang terumbang-ambing.

    Sebagai tanda hormat saya kepada Tun Mahathir, saya telah menemui beliau untuk meminta sokongannya. Beliau beritahu saya beliau sedia memberi sokongan kepada saya sebagai Perdana Menteri jika saya berjaya mendapatkan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

    Saya beritahu Tun Mahathir,Insya-Allah saya akan mendapat sokongan majoriti.

    Namun, Tun Mahathir membuat pusingan u sekali lagi apabila beliau mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk berlawan dengan saya. Allahuakbar.

    Jadi, cuba saudara dan saudari bayangkan.

    Adakah saya menikamnya dari belakang? Adakah saya khianat?

    Saya buat ini demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara saya. Saya bukan pengkhianat.

    Mengenai sebab Bersatu keluar PH, saya akan ceritakan kemudian.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin
    Pengerusi Perikatan Nasional
    Presiden Bersatu

  • Thomas dilantik kerana ‘tak berat sebelah’, patuh ‘kedaulatan undang-undang’ – Dr M

    Thomas dilantik kerana ‘tak berat sebelah’, patuh ‘kedaulatan undang-undang’ – Dr M

    TAN Sri Tommy Thomas dilantik sebagai peguam negara semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana beliau dikenali “tidak berat sebelah” dan patuh “kedaulatan undang-undang”, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Bagaimanapun, Mahathir berkata, ia adalah sebelum memoir kontroversi Thomas diterbitkan yang menyaksikan beliau disiasat kerana menghasut dan beberapa kesalahan lain.

    “Selepas beliau menulis buku itu, beliau mula menyuarakan pendapatnya. Tetapi pelantikannya dibuat sebelum beliau menulis buku berkenaan.

    “Kami tahu pada masa itu bahawa beliau seorang peguam yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang. Jadi, beliau dilantik kerana dikenali untuk hal itu.

    “Beliau tidak berat sebelah memihak kepada kerajaan. Malah, beliau sangat mengkritik saya semasa saya menjadi perdana menteri. Beliau tidak berat sebelah, sebab itu beliau dilantik.

    “Jika saya terpaksa melakukannya sekali lagi, saya akan melantik seseorang yang tidak berat sebelah,” kata Mahathir dalam temu bual dengan The Star.

    Thomas dilantik sebagai peguam negara oleh Mahathir ketika PH berkuasa pada 2018 tetapi meletak jawatan selepas gabungan itu tumbang pada Februari 2020.

    Bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness”, diterbitkan pada Januari tahun lalu. Pasukan petugas itu mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama, iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional serta kenyataan berbaur hasutan.

    Salah satu penemuan pasukan petugas yang didedahkan ialah Thomas, sebagai peguam negara, mahu perdana menteri Mahathir ketika itu “melakukan arahannya dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang” dalam melantik tiga peguam sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

    Laporan pasukan petugas itu juga mengatakan Thomas mempunyai “kepentingan yang kuat” dalam pelantikan hakim, dan tindakannya untuk mendekati Mahathir adalah “percubaan untuk menggunakan pengaruh politik atau eksekutif” untuk melihat cadangan pelantikan itu dilaksanakan.

    Dalam wawancaranya dengan The Star, Mahathir menyangkal dakwaan dalam memoir Thomas bahawa kerajaan Melayu akan menjadi tidak cekap.

    Mahathir berkata Malaysia telah merdeka selama lebih 65 tahun dan kerajaannya telah “didominasi oleh orang Melayu” bagi sebahagian besar dari tempoh itu.

    “Ia (Malaysia) menjadi ‘Harimau Asia’ dan menjadi antara negara berprestasi terbaik dari semua bekas jajahan British.

    “Jadi, anda tidak boleh menyalahkan orang Melayu kerana tadbir urus yang buruk kerana mereka membangunkan negara ini sedangkan British tidak melakukannya. Pada zaman British, Malaysia sangat miskin. Ia hanya membangun selepas merdeka,” kata Mahathir.

  • Hasrat kerjasama Tun M-Anwar hanya ‘retorik’ – Wan Saiful

    Hasrat kerjasama Tun M-Anwar hanya ‘retorik’ – Wan Saiful

    HASRAT kerjasama di antara Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai retorik perpaduan politik.

    Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, kerjasama berkenaan bukanlah benar-benar ikhlas sebaliknya parti yang bersungguh-sungguh mahukan perpaduan ummah adalah Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu dan Pas.

    Malah, Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah melakukan perjumpaan dengan beberapa pemimpin parti-parti politik lain mengajak kepada perpaduan.

    “Saya rasa yang menunjukkan kesungguhan untuk mencapai perpaduan ummah adalah daripada kita yang berada dalam Perikatan Nasional (PN), baik Pas baik Bersatu.

    “Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya dah secara berterusan sebelum ini berjumpa dengan presiden dan juga pemimpin daripada parti parti lain mengajak ke arah perpaduan.

    “Tapi sebenarnya di sebelah parti lain ni, bagi saya, banyak retoriknya. Kesungguhan yang mungkin belum terbuktilah setakat ini.

    “Jadi ini contoh terkini bagaimana ada retorik mengenai perpaduan dan akhirnya yang menolak perpaduan itu bukan kita,” kata Wan Saiful, lapor Astro AWani.

    Wan Saiful mengulas kenyataan Dr Mahathir sebelum ini yang menilai kemungkinan kerjasama dengan PN yang dipimpin Muhyiddin bagi menghadapi PRU-15.

  • PRU-15: Pilih Melayu penjenayah atau Melayu bebas kes jenayah

    PRU-15: Pilih Melayu penjenayah atau Melayu bebas kes jenayah

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi, orang Melayu boleh memilih antara ‘Melayu penjenayah’ dalam UMNO atau Melayu yang bebas daripada kes jenayah.

    Hal ini kerana, Dr Mahathir Mohamad percaya orang Melayu hanya ingin diperintah oleh kerajaan yang didominasi oleh kaum itu.

    “Orang Melayu ingin diperintah oleh Kerajaan yang didominasi Melayu.
    “Dalam PRU-15, orang Melayu boleh pilih antara Melayu penjenayah dalam UMNO dan orang Melayu yang bebas dari kes-kes jenayah dari parti Pejuang serta rakan-rakan yang semuanya Melayu,” katanya di Facebook hari ini.

    Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sehubungan itu menjelaskan, masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama parti berkenaan.

    Menurutnya, Pejuang mewakili empat parti politik Melayu iaitu Pejuang, Putra, Iman dan Berjasa serta ramai orang Melayu yang tidak dibenar aktif dalam politik.

    “Masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama dalam agenda Pejuang.

    “Keluhuran undang-undang akan dihormati. Kuasa tidak akan disalah guna. Rasuah akan diperangi, kos sara hidup akan diturun. Negara akan dipulih sehingga kembali menjadi Harimau Asia,” tambahnya.

    Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, GTA yang ditubuh pada Ogos lalu telah menyatakan pendirian untuk meletakkan 120 calon di seluruh negara pada PRU-15 dengan lebih 30 peratus adalah calon muda.

  • PM kali ketiga: Kalau orang nak juga, takkan saya nak tolak – Tun Mahathir

    PM kali ketiga: Kalau orang nak juga, takkan saya nak tolak – Tun Mahathir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa dirinya tidak mempunyai masalah untuk diangkat menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga sekiranya terdapat desakan kuat daripada rakyat untuk beliau kembali memimpin negara.

    Begitu pun menurut Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, seboleh-bolehnya beliau mengharapkan perkara itu tidak berlaku.

    “Tak taulah desakan kuat… Tetapi setakat ini saya masih boleh berfungsi, bergerak, bercakap berunding dan buat semua perkara.

    “Walaupun umur saya lebih, tetapi saya masih lagi boleh bekerja dan kalau orang nak juga (dirinya jadi Perdana Menteri), takkanlah saya nak tolak?

    “Itu pun kalau nak jugalah… Tetapi seboleh-bolehnya, tidaklah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama Jentera Pilihan Raya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan GTA di Pejabat Pejuang Langkawi di Kedah, hari ini.

    Sementara itu beliau menyifatkan pembentangan Bajet oleh kerajaan dalam tempoh hanya beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan hanyalah untuk membeli undi daripada rakyat.

    Menurutnya, tindakan tersebut hanyalah untuk memberikan duit kepada semua orang.

    “Itu Bajet untuk membeli undi tetapi nak kita nak bahaskan pun tak bagi. Biasanya apabila Bajet dikemukakan, parti lawan akan ada peluang beri pendapat tetapi kali ini tak bagi peluang langsung untuk dibahaskan dan tiba-tiba saja bubar Parlimen.

    “Jadi apa perlunya kemukakan bajett walaupun kita tahu Parlimen mungkin dibubarkan? Ini jelas merupakan Bajet politik, Bajet pilihan raya dan kita juga perlu tanya mengapa buat Bajet kalau lepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan buat bajet lagi satu?” katanya.

    Ditanya pandangannya mengenai kenyataan dibuat bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Langkawi bagi menentang beliau di Langkawi dalam PRU nanti, Mahathir berkata, beliau ‘okay’ saja dengan perkara itu.

    “Kalau dia nak bertanding, bertandinglah… Saya ‘okay’ saja kerana ini negara demokrasi dan demokrasi membenarkan siapa saja yang nak bertanding.

    “Kalau ada 100 orang nak bertanding di Langkawi pun, ‘okay’,” katanya.

  • Warganet kritik hasrat Dr M bertanding, gesa bersara

    Warganet kritik hasrat Dr M bertanding, gesa bersara

    PENGUMUMAN Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) dikritik hebat warganet yang meminta bekas perdana menteri itu hanya menjadi mentor kepada pemimpin pelapis.

    Pengguna Facebook Rizan Radzi berkata, sudah tiba masanya pemimpin berusia 97 tahun itu memberi peluang kepada calon lebih muda untuk mewakili Parlimen Langkawi.

    “Kalau aku orang Langkawi, malu ada wakil rakyat seusia ini, seolah-olah Langkawi tak ada tokoh yang boleh diketengahkan. Memalukan,” kata Harun Mesra Indah dalam laporan Free Malysia Today.

    Uda Salleh pula berpendapat, pengundi di Langkawi perlu memilih calon lebih muda yang mampu membawa perubahan dan berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat kawasan itu.

    “Tun M sudah tak relevan lagi dalam konteks pembangunan negara.”

    Tidak kurang juga ada yang menasihati beliau agar berlapang dada untuk bersara kerana jasa dan pengorbanan Mahathir membangunkan Malaysia sebelum ini tetap diingati rakyat.

    “Alangkah baiknya andai Tun M berlapang dada, menjadi pemimpin mentor di belakang kerajaan yang dipilih rakyat, saya yakin Tun akan lebih disanjung.

    “Sedih rasanya melihat Tun diherdik di Dewan Rakyat, sedangkan Tun sangat banyak jasanya pada kami rakyat bawahan,” kongsi Zull Saiddin.

    Bagaimanapun, seorang lagi netizen Adi Roza menyifatkan PRU-15 sebagai garisan penamat Mahathir dalam arena politik tanah air.

    “Nampaknya atuk (Mahathir) akan bersara sebagai Ahli Parlimen dengan kekalahan dalam pilihan raya.”

    Terdahulu, Mahathir yang juga pengerusi Pejuang berkata, beliau akan mempertahankan Langkawi pada PRU-15.

    Bekas perdana menteri itu memenangi kerusi Parlimen tersebut pada PRU14 pada 2018 di bawah Pakatan Harapan (PH)

    Pada 8 Mac lalu, Mahathir berkata beliau kekal dengan pendirian untuk tidak bertanding pada PRU15 berikutan faktor usia dan tahap kesihatannya yang belum pulih, selain memberi laluan kepada calon lebih muda.

    Bagaimanapun, pada 30 Jun, Mahathir membuat pusingan U dengan menyatakan beliau sedia mempertahankan kerusi Langkawi sekiranya Pejuang tidak memiliki calon lain untuk bertanding di kawasan berkenaan.

  • Sudah-sudah Tun, berehatlah

    Sudah-sudah Tun, berehatlah

    KETUA Bahagian BERSATU Tasek Gelugor, Azmi Alang percaya, adalah tidak wajar sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

    Memetik laporan portal BeritaBersatu, beliau berkata sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir berehat dari kancah politik.

    “Dulu kita telah bertungkus lumus untuk dia jadi perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    “Kenapa dia letak jawatan, kalau nak jadi perdana menteri,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang memaklumkan sedia untuk kembali dilantik menjadi perdana menteri bagi kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.

    Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sebenarnya mahu memilih untuk berehat dan hanya memainkan peranan sebagai penasihat.

    Namun, katanya jika terus menerima desakan, beliau tidak keberatan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

    Sementara itu, Azmi berkata beliau menyanjung Dr Mahathir sebagai bekas perdana menteri yang membawa kemakmuran pada negara sebelum ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata bukan masanya lagi untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri lagi.

    “Masa dia untuk rehat. Tidak perlu campur aduk politik.

    “Duduk di rumah dengan anak cucu. Buat amal ibadat, sudahlah,” katanya.

    Dalam pada itu, Azmi berkata pengaruhi Gerakan Tanah Air (GTA) di Pulau Pinang tidak memberi impak yang besar kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

    Katanya, sokongan PN kuat dan tidak terganggu dengan parti-parti baru.

    “Parti baru ini, apa saya temgok setakat setengah jalan sahaja.

    “Takkan boleh nak goyang PN. Bagi pendapat saya, PN Pulau Pinang tak ada masalah dengan kehadiran GTA,” katanya.