Tag: tular

  • ‘Aku sudah sah Islam’- Pesakit Covid

    ‘Aku sudah sah Islam’- Pesakit Covid

    SEORANG pesakit COVID-19 yang memeluk Islam di katil hospital tempatnya menerima rawatan, melahirkan kegembiraan dengan agama baharunya itu.

    “Aku sudah sah Islam,” kata Laimi @ Nur Laila Tinggi, 66, yang berketurunan Dusun dan dilahirkan dalam agama Kristian dari Beluran.

    Itulah reaksinya selepas memeluk agama Islam, seperti yang dikongsikan oleh anak sulungnya Firdaus Fringco Abdullah, 45.

    Sebuah video berdurasi dua minit yang memaparkan Nur Laila mengucap dua kalimah syahadah ketika terbaring di atas katil dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan, di hadapan tiga jururawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini, tular sehingga mengundang tanggapan netizen bahawa dia memeluk Islam tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

    “Kami (keluarga) membuat panggilan video minggu lepas dan pada masa itu ibu menyatakan niatnya (untuk memeluk Islam) yang menyentuh hati kami,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

    Firdaus berkata beliau membuat hantaran dalam Facebook untuk menjelaskan tanggapan yang timbul mengenai keadaan ibunya ketika menerima rawatan di HDOK.

    “Saya rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan hal itu menerusi Facebook kerana ibu saya masih mempunyai saudara-mara yang bukan Muslim.

    “Ibu pernah menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam kerana empat daripada lima anaknya serta beberapa adik-beradiknya juga telah memeluk Islam,” katanya.

    Firdaus berkata beliau telah menghubungi seorang pegawai di hospital itu memohon sekiranya ibunya boleh dibimbing untuk mengucap dua kalimah syahadah di atas katil hospital dan kira-kira 4 petang 9 Sept lepas ibunya sah bergelar saudara baharu.

    Beliau berkata Nur Laila yang menghidap penyakit buah pinggang dan telah melengkapkan vaksinasi COVID-19, dimasukkan ke hospital pada 4 Sept dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

    “Alhamdulillah, ibu saya semakin pulih dengan tiada lagi batuk dan dia juga boleh merasa makanan sekarang.

    “Ibu tidak ditidurkan dan tidak dirawat di unit rawatan rapi,” katanya.

    Firdaus berkata ibunya belum lagi dibenarkan keluar dari hospital dan masih dalam pemantauan berikutan keadaan buah pinggangnya.

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dan kakitangan kesihatan atas dedikasi mereka dalam merawat pesakit COVID-19 termasuk sepanjang rawatan ibunya di HDOK itu.

    “Mereka (hospital dan kakitangan kesihatan) wajar diiktiraf sepanjang masa. Perkhidmatan mereka melangkaui tugas yang bukan hanya perubatan tetapi juga kemanusiaan,” katanya.- BERNAMA

  • Dakwaan layanan berbeza, Masjid Putra beri penjelasan

    Dakwaan layanan berbeza, Masjid Putra beri penjelasan

    MASJID Putra di Putrajaya sentiasa berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

    Penjelasan itu diberi susulan rakaman video yang tular dalam media sosial mendakwa berlaku layanan berbeza terhadap jemaah tertentu dalam menentukan kuota solat Jumaat di masjid berkenaan.

    Kenyataan penuh masjid berkenaan adalah seperti berikut:

    Masjid Putra Putrajaya merujuk sebuah video yang tular mengenai layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat pada 10 September 2021 di Masjid Putra.

    Ingin dijelaskan bahawa pengurusan kehadiran jemaah di masjid ini sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di masjid ini telah ditetapkan seramai 300 orang.

    Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang dtetapkan.

    Tidak dapat dinafikan, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran para jemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan sejak pukul 11 pagi untuk menunaikan solat
    Jumaat.

    Apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak
    dapat memasuki masjid.

    Pihak masjid memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.

    Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

    Justeru, kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan
    khidmat yang diberi.

    Sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra. Pihak Masjid Putra memohon kemaafan atas kekhilafan yang berlaku dalam hal ini.

  • Dakwaan MCMC sekat akses portal berita antarabangsa tidak benar

    Dakwaan MCMC sekat akses portal berita antarabangsa tidak benar

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan berhubung satu mesej di aplikasi WhatsApp, yang kononnya agensi itu menyekat akses kepada artikel terbitan portal berita antarabangsa.

    MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan pengguna internet di Malaysia.

    Kenyataan itu menyatakan, penelitian mendapati pautan-pautan (URL) berita dari portal seperti Nikkei Asia, Yahoo News!, Reuters, Al-Jazeera, The Guardian dan Washington Post secara sengaja atau kebetulan diubah suai atau dipendekkan.

    “Tindakan itu sekali gus menyebabkan sebarang klik pada pautan-pautan tersebut akan membawa pengguna ke halaman yang menunjukkan seperti artikel tersebut tidak lagi wujud. 

    “Penelitian turut mendapati artikel-artikel berkenaan masih wujud, boleh diakses dan tidak dipadamkan atau diturunkan oleh portal-portal berita berkenaan seperti yang didakwa,” menurut kenyataan tersebut.

    Sehubungan itu, MCMC menggesa orang ramai untuk sentiasa menilai intipati sebarang mesej yang diterima, dan berhenti berkongsi berita belum ditentukan kesahihannya.- BERNAMA

  • Video pegang pistol tular, 3 remaja ditahan

    Video pegang pistol tular, 3 remaja ditahan

    Oleh: Bernama

    POLIS menahan tiga remaja lelaki selepas tular rakaman video menunjukkan salah seorang daripadanya memegang senjata menyerupai pistol, ketika mereka berada di hadapan sebuah rumah di Ipoh, semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengesan rakaman video ketiga-tiga remaja berusia 20 hingga 22 tahun itu melalui aplikasi Whatsapp, pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

    “Perbuatan tiga remaja tersebut telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat terhadap keselamatan awam.

    “Bertindak atas maklumat, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berjaya menangkap dua remaja yang terlibat, serta merampas satu senjata tiruan yang menyerupai senjata api jenis pistol semi-auto pada kira-kira pukul 2.30 petang.

    “Ketika ditahan, kedua-dua remaja tersebut sedang berkeliaran menaiki motosikal di Jalan Kampung Paloh, manakala seorang lagi remaja yang terlibat telah ditahan pada kira-kira pukul 7 petang,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

    Beliau berkata ketiga-tiga remaja itu mengaku telah membeli pistol tiruan berkenaan dan berkumpul di hadapan sebuah rumah semalam sambil meminum arak, dan salah seorang daripada mereka mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki dengan dirakam oleh rakan yang lain sebelum video ditularkan.

    Mior Faridalathrash berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen yang sah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang aksi dan perbuatan yang boleh mengganggu gugat keselamatan awam, dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

    Katanya pihak polis turut berterima kasih kepada pihak masyarakat yang memberikan maklumat dan kerjasama, dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.- BERNAMA