Tag: tular

  • Tular pandu berbahaya: Pemandu lori dipenjara 2 hari, denda RM6,000

    Tular pandu berbahaya: Pemandu lori dipenjara 2 hari, denda RM6,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM6,000 terhadap seorang lelaki kerana memandu kereta dengan membahayakan pengguna jalan raya lain dengan kejadian itu tular di media sosial.

    Memetik laporan Berita Harian, Majistret, Fatin Dayana Jalil memutuskan hukuman berkenaan selepas Lim Ching Hong, 26, yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandu digantung selama lima tahun dan kesalahan akan dimasukkan pada lesen terbabit.

    Mengikut pertuduhan, Ching Hong didakwa memandu kenderaan jenis Lexus berwarna perak yang bernombor pendaftaran BQA 1188 dengan membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Syed Putra, di sini, pukul 9.19 pagi, Ahad lalu.

    Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama jika disabitkan kesalahan.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM15,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan ‘diendors’ (dimasukkan) pada lesen memandu.

    Ketika prosiding, pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Nor Hafiz Mohd Wazir, memohon hukuman maksimum atas kesalahan membahayakan pengguna jalan raya, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum kerana tiada pekerjaan tetap dan perlu menanggung keluarga.

    Semalam, media melaporkan polis menyiasat tindakan pemandu kereta itu yang berhenti mengejut hingga dirempuh sebuah motosikal.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, dipetik berkata siasatan awal mendapati suspek dan mangsa masing-masing berada di lorong pertama serta kedua sebelum kemalangan berlaku.

    Suspek dikatakan memandu secara melulu dan berbahaya dengan mengubah haluan ke lorong kedua dan membrek secara mengejut sebelum mangsa yang gagal mengawal motosikalnya melanggar belakang kereta terbabit dan terjatuh.

    Tular video kamera perakam video atau dashcam berdurasi 24 saat menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta memberhentikan kenderaannya secara mengejut di hadapan penunggang motosikal.

  • Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video di aplikasi sosial semalam yang mendakwa seorang anggota polis memeras ugut individu di Bulatan Dato Onn di ibu negara.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengenal pasti individu dan anggota polis terlibat dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Yahaya, siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

    Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222.

    Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi TikTok semalam memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatar belakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.- BERNAMA

  • Promosi baju raya RM1, butik kecoh diserbu ratusan pelanggan

    Promosi baju raya RM1, butik kecoh diserbu ratusan pelanggan

    ANGKARA mempromosikan jualan baju Melayu berharga RM1 bagi 100 pelanggan pertama, sebuah kedai pakaian di Seksyen 7, Shah Alam, diserbu lebih 500 pengunjung sehingga berlaku kekecohan, semalam.

    Video berdurasi 22 saat yang memaparkan orang ramai menyerbu kedai tersebut turut tular di media sosial sejak Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan kira-kira pukul 10.30 pagi Sabtu yang memaklumkan berlaku kekecohan di kedai berkenaan.

    “Kita dimaklumkan kedai terbabit membuat promosi di mana 100 pelanggan pertama akan dapat membeli baju dengan harga serendah RM1, manakala 50 pelanggan berikutnya akan mendapat baju kurta secara percuma.

    “Dianggarkan lebih 500 orang membanjiri kedai berkenaan untuk mendapatkan harga promosi tersebut sehingga berlaku insiden tolak menolak dan kekecohan,” katanya dalam kenyataan, di Shah Alam, pada Ahad.

    Mohd Iqbal menambah, atas faktor keselamatan kerana sudah tidak dapat mengawal bilangan pelanggan, pihak pengurusan kedai tersebut menutup operasi kira-kira pukul 11.45 pagi.

    Menurutnya, setakat ini tiada sebarang laporan dibuat mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

    Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan sebarang promosi terutamanya pada musim perayaan.

    “Peniaga pula diingatkan sentiasa peka dan elak daripada membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai bagi mengelakkan kejadian seperti tidak berulang lagi,” ujarnya, lapor Astro AWANI.

  • Tarawih 10 minit: JAIPk siasat, beri teguran

    Tarawih 10 minit: JAIPk siasat, beri teguran

    SUSULAN video tular sekumpulan jemaah menunaikan solat tarawih dengan cepat di sebuah masjid, semalam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuat siasatan lanjut berhubung bacaan imam dalam solat berkenaan.

    Menurut Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, tindakan lanjut termasuk teguran akan diberikan sekiranya didapati bacaan berkenaan tidak menepati hukum tajwid.

    “Setakat ini belum ada laporan dibuat, namun sekiranya kami dapati bacaan imam tidak menepati hukum tajwid, maka teguran akan diberikan kepada pihak berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Video berdurasi 1 minit 29 saat itu dimuat naik di laman Twitter sejak Jumaat menunjukkan sekumpulan jemaah menunaikan solat tarawih di sebuah masjid di Perak.

    Keadaan itu menjadi pertikaian orang ramai apabila solat lapan rakaat itu didirikan dengan cepat dan hanya selesai dalam tempoh 10 minit.

  • Pekerja kilang sawit korban pertama banjir di Johor

    Pekerja kilang sawit korban pertama banjir di Johor

    SEORANG lelaki warga tempatan menjadi korban pertama banjir di negeri ini setelah ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta, di Jalan GSA Chamek, Paloh, dekat Kluang, tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa yang berusia 20an itu, dipercayai dibawa arus banjir ketika sedang memandu keretanya di lokasi kejadian, kira-kira 7.20 pagi tadi.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.

    “Usaha mengesan mangsa terus dilakukan dan pada pukul 12.20 tengah hari, sebuah kereta jenis Toyota Avanza telah ditemui dengan keadaan ditenggelami banjir.

    “Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai seorang lelaki dan didapati telah meninggal dunia. Mayat tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat menafikan terdapat kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus seperti yang didakwa dalam satu video tular di aplikasi TikTok.

    ”Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian tidak berlaku di negeri Johor dan dipercayai telah berlaku di luar negara.

    “Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat. Mana-mana pihak yang menyebarkan berita atau mesej palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. 

    Video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus itu dipercayai bertarikh 12 Dis tahun lepas, tular di media sosial sejak semalam. – BERNAMA

  • Struktur haram di siar kaki tular dirobohkan MBPG

    Struktur haram di siar kaki tular dirobohkan MBPG

    PENGHADANG laluan pejalan kaki yang dibina seorang pemilik premis di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang hingga tular dalam media sosial sejak semalam akhirnya dirobohkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

    Menurut Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman, MBPG terpaksa mengambil tindakan tegas itu selepas pemilik premis berkenaan enggan mematuhi notis yang diberikan sejak dua minggu lalu.

    “MBPG sudah memberikan dua notis kepada pemilik premis berkenaan. Pertama kita berikan minggu lalu tetapi ingkar sebaliknya terus mengekalkan struktur binaan berkenaan.

    “Kemudian kita berikan notis sekali lagi untuk mengarahkan merobohkan binaan tersebut, namun mereka abaikan dan setelah cukup tempoh 14 hari, kita ambil tindakan tegas, kita robohkan pagi tadi,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara empat PBT Greater JB dan Persatuan Profesional Johor (Decco+) di Ibu Pejabat MBJB hari ini.

    Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

    Mengulas lanjut, Asman Shah berkata, pihak MBPG akan memanggil pemilik premis untuk diberi penerangan berkenaan struktur tambahan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.

    Katanya, pihaknya menyedari terdapat segelintir pemilik premis yang melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) namun enggan terus mengenakan tindakan tegas seperti saman dan sebagainya.

    “Sebagai contoh lokasi berkenaan memang laluan umum, kita tidak pernah galakkan pemilik premis buat seperti itu kerana memang tidak munasabah.

    “Oleh itu, kita juga perlukan maklum balas positif daripada pihak umum, namun biarlah ia adil dan jujur kerana terdapat beberapa permasalahan yang diutarakan adalah di luar bidang kuasa MBPG,” katanya.

    Sebagai contoh kata Asman Shah, aduan kerosakan di Lebuhraya Pasir Gudang kerana berada di bawah seliaan kerajaan Persekutuan.

    “Namun permohonan telah dibuat agar satu kerjasama dapat dijalinkan antara pusat dan kerajaan negeri bagi membolehkan kita membantu kerja-kerja penyelenggaraannya,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • Pemandu treler terlibat kemalangan di Gerik ditahan

    Pemandu treler terlibat kemalangan di Gerik ditahan

    POLIS telah menahan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tular membabitkan beberapa kenderaan di KM69, Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli), 29 Okt lepas.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata kejadian berlaku pada 11 pagi dan lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada hari sama ketika melalui sekatan jalan raya Batu Melintang di Jeli, Kelantan.

    “Lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kemalangan berpunca daripada muatan siling putih yang jatuh daripada sebuah treler semasa melalui selekoh dari arah Gerik ke Jeli lalu menimpa sebuah kenderaan jenis Subaru Forester dan tiga kenderaan lain.

    Menurutnya pemandu Subaru Forester yang berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan, isterinya yang berusia 31 tahun cedera parah dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan manakala mangsa lain hanya cedera ringan.

    Hari ini, tular menerusi laman Twitter @isusemasaviral, rakaman video kemalangan berdurasi 16 saat mengenai kejadian dan perkongsian keadaan isteri mangsa yang hamil anak pertama pasangan itu. – BERNAMA

  • Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM

    Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM

    POLIS sedang menyiasat satu video berunsur fitnah terhadap seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas di Petaling Jaya di sini yang tular di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu pada 6.30 petang semalam.

    “Klip video dimuat naik pemilik akaun @goodmorninglim memaparkan seorang pegawai polis sedang bertugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas berhampiran lampu isyarat Jalan PJS 3/44 bagi mengesan pemandu yang menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

    “Video tersebut turut disertakan dengan kapsyen menyindir iaitu “05/12 Look got people here (Lihat ada orang di sini) cari makan” dan emoji muka ketawa bersama karung wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata perbuatan individu memuat naik video klip tersebut boleh mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas polis selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan fitnah dan penyalahgunaan media sosial.

    “Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

    Semalam, tular di media sosial satu video berdurasi 25 saat dimuat naik individu berkenaan yang memaparkan seorang anggota polis trafik sedang menjalankan tugas berhampiran lampu isyarat di Petaling Jaya beserta kapsyen berunsur negatif. – BERNAMA

  • Video tular: Lelaki berkuda bawa bendera tiada kaitan ekstremis, pengganas

    Video tular: Lelaki berkuda bawa bendera tiada kaitan ekstremis, pengganas

    POLIS mengesahkan bendera yang dipegang sekumpulan lelaki berkuda sebagaimana video tular adalah bendera parti politik dan kalimah syahadah.

    Malah ia tiada kaitan dengan mana-mana gerakan ekstremis dan pengganas.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular berdurasi 20 saat memaparkan kejadian sekumpulan leaki berkuda sambil memegang bendera di media sosial.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Kubang Semang, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan dirakam pada 19 November lalu.

    “Polis kontinjen Pulau Pinang mengesahkan antara bendera dipegang adalah bendera parti politik dan juga bendera kalimah syahadah.

    “Siasatan lanjut juga mendapati ia tiada kaitan dengan mana-mana gerakan ekstremis dan pengganas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Shuhaily memberi amaran kepada orang ramai segera menghentikan spekulasi yang tidak memberikan manfaat dan boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

    Katanya, kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Kesalahan tersebut juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Sebelum ini tula video di media sosial menunjukkan sekumpulan penunggang kuda memegang bendera parti politik dan kalimah syahadah yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.

  • Gambar ‘Kabinet Perpaduan’ tular, Anwar sebagai PM, tiga TPM termasuk Zahid

    Gambar ‘Kabinet Perpaduan’ tular, Anwar sebagai PM, tiga TPM termasuk Zahid

    GAMBAR ‘Kabinet Perpaduan Malaysia 2022’ tular di media sosial hari ini ketika hari berkempen berbaki hanya beberapa hari sebelum kemuncak demokrasi di Malaysia mengambil tempat pada 19 Nov ini.

    ‘Kabinet perpaduan’ itu memperlihatkan kerajaan campuran yang dibarisi pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Turut mencuri tumpuan ialah tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang masing-masing oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

    Seramai 27 nama pemimpin PH dan BN turut disenaraikan sebagai Menteri dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di antara kedua-dua gabungan tersebut.

    Turut tertulis pada gambar itu, ‘Kabinet Bayangan Kerajaan Perpaduan Malaysia 2022 – 2027’, lapor Astro Awani.

    Penularan gambar berkenaan dipercayai susulan ketika ini hangat diperkatakan tiada gabungan parti mampu memenangi majoriti mudah bagi membentu kerajaan kelak.

    Susulan daripada itu juga, terdapat dakwa-dakwi daripada pemimpin-pemimpin politik sendiri yang mengatakan wujud perbincangan dan percaturan di belakang tabir antara tiga gabungan besar iaitu PH, BN dan Perikatan Nasional (PN).

    Bagaimanapun, umum mengetahui bahawa gambar berkenaan adalah palsu kerana kesemua pemimpin daripada BN, PH dan PN telah menyatakan pendirian masing-masing.

    Sebarang kerjasama membentuk kerajaan campuran antara mereka dilihat mustahil sebelum keputusan PRU15 diperoleh Sabtu ini.