Tag: Thailand

  • Mahkamah putuskan Prayut boleh sambung tugas PM Thailand

    Mahkamah putuskan Prayut boleh sambung tugas PM Thailand

    PERDANA Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha kekal mempertahankan jawatannya selepas Mahkamah Perlembagaan negara itu memutuskan tempoh pentadbiran beliau belum melebihi had lapan tahun.

    Ini setelah Mahkamah Perlembagaan hari ini memutuskan penggal Prayut belum tamat dan hanya akan berakhir pada 2025.

    Ini setelah mahkamah mengira tempoh penggal pentadbiran Prayut bermula dari tahun undang-undang berkenaan tempoh pentadbiran Perdana Menteri selama lapan tahun berkuat kuasa iaitu pada 2017.

    Kekecohan itu timbul susulan tindakan perundangan difailkan di mahkamah oleh pembangkang yang mempertikai tempoh pendtadbiran Perdana Menteri yang didakwa sudah melebihi had.

    Susulan itu, bekas ketua junta berkenaan digantung tugas oleh mahkamah sejak 24 Ogos lalu sementara mahkamah meneliti cabaran undang-undang difailkan.

    Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan bertindak sebagai pemangku Perdana Menteri sejak arahan penggantungan tersebut.

    Mengikut Perlembagaan Thailand 2017, seorang Perdana Menteri tidak boleh berkhidmat lebih daripada lapan tahun, namun penyokong dan pengkritik Prayut tidak bersetuju mengenai tempoh sebenar pentadbirannya bermula.

    Bagaimanapun kedudukan Prayut masih belum selamat setelah pilihan raya nasional mesti diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini.

    Sementara itu, susulan keputusan mahkamah, pihak berkuasa Bangkok kini sedang berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya demonstrasi selepas beberapa kumpulan penunjuk perasaan memberi amaran mahu turun ke jalan raya jika Prayut memenangi kes berkenaan.

  • Wanita kes kelima cacar monyet Thailand

    Wanita kes kelima cacar monyet Thailand

    SEORANG wanita tempatan berusia 25 tahun disahkan pesakit terbaharu cacar monyet di Thailand, menjadikan jumlah kes setakat ini mencecah lima orang.

    Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr. Opas Karnkawinpong berkata wanita itu mempunyai sejarah perjalanan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan dipercayai dijangkiti sebelum tiba di sini.

    “Wanita itu mengalami gejala sebelum tiba di Thailand.

    “Setibanya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, wanita itu dikesan mengalami simptom ketara dan ruam di badannya.

    “Dia kemudiannya dibawa ke hospital. 

    “Ujian makmal mengesahkan wanita itu positif cacar monyet,” katanya.

    Pihak berkuasa kesihatan telah mengenal pasti dua penumpang warga asing yang duduk bersebelahan wanita itu dan telah dikategori sebagai kontak rapat.

    “Pegawai kesihatan sedang mengesan para penumpang itu dalam usaha membendung penularan cacar monyet,” katanya.

    Thailand melaporkan kes pertama cacar monyet melibatkan seorang warga Nigeria berusia 27 tahun di Phuket, pada 18 Julai.

    Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri selepas dimaklumkan keputusan ujiannya. 

    Dia kemudiannya ditemui di Phnom Penh dan dirawat di hospital.- BERNAMA

  • Rajapaksa pilih Thailand lokasi perlindungan seterusnya

    Rajapaksa pilih Thailand lokasi perlindungan seterusnya

    PRESIDEN Sri Lanka yang melarikan diri, Gotabaya Rajapaksa, dijangka tiba di Thailand esok bagi mencari perlindungan sementara di negara Asia Tenggara itu.

    Ia destinasi ketiga Rajapaksa selepas melarikan diri ke Maldives dan Singapura sejak bulan lalu susulan rusuhan ganas mendesak pengunduran beliau.

    Menurut sumber yang dipetik agensi berita Reuters, beliau dijangka meninggalkan Singapura dan tiba di ibu negara Thailand, Bangkok, esok.

    Namun Kementerian Luar Sri Lanka enggan mengulas lanjut mengenai maklumat itu, sama seperti jurucakap kerajaan Thailand, Ratchada Thanadirek.

    Rajapaksa belum dilihat di khalayak umum sejak meninggalkan Sri Lanka dan kerajaan Singapura mengesahkan beliau tidak diberi sebarang keistimewaan atau imuniti ketika berada di republik itu.

    Pada 14 Julai lalu, Rajapaksa menaiki penerbangan dari Maldives ke Singapura berikutan pergolakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, berpunca faripada krisis ekonomi terburuk melanda Sri Lanka dalam tempoh tujuh dekad.

    Tekanan ekonomi yang menyelubungi negara kepulauan itu memaksa ribuan rakyat negara itu tunjuk perasaan sehingga bertindak menyerbu kediaman dan pejabat rasmi presiden.

    Semalam, ratusan rakyat Sri Landa berhimpun bagi menentang tindakan keras kerajaan dan penggunaan undang-undang darurat terhadap penunjuk perasaan yang berlangsung secara aman.

    Ia bagi menuntut jawapan kepada krisis ekonomi terburuk menekan negara itu.

    Bekas Perdana Menteri, Ranil Wickremensinghe, dipilih oleh Parlimen untuk melengkapkan penggal lima tahun Presiden disandang Rajapaksa sehingga 2024.

    Bagaimanapun, masih ramai yang tidak berpuas hati dengannya dan mengatakan beliau disokong Ahli Parlimen yang kekal setia kepada Rajapaksa bagi melindungi bekas pemerintah itu termasuk keluar daripada bertanggungjawab.

  • Terlalu miskin, warga emas ini nekad mencuri untuk dipenjarakan

    Terlalu miskin, warga emas ini nekad mencuri untuk dipenjarakan

    SEORANG lelaki warga emas di Thailand mencetuskan kegemparan di negara itu selepas dia mencuri dari sebuah farmasi bagi membolehkannya dipenjarakan.

    Ini kerana,lelaki berusia 60 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Phichit mendakwa dia terlalu miskin untuk menyara kehidupannya.

    Oddity Central melaporkan, insiden luar biasa itu dilaporkan berlaku di sebuah farmasi di wilayah Chonburi, selatan Bangkok 29 Julai lalu.

    Phichit ditangkap kerana mencuri tiga buku sabun bernilai 17 baht oleh pekerja farmasi.

    Premis itu mempunyai amaran yang sangat jelas terhadap kegiatan mencuri dengan penjenayah berisiko didenda sehingga 30 kali ganda nilai barang yang dicuri dan juga hukuman penjara.

    Bagaimanapun, dalam kes Pichit, pekerja farmasi bersedia melepaskan warga emas itu malah seorang awam yang berada di premis berkenaan bersedia membayar denda untuknya.

    Namun lelaki itu enggan dan sebaliknya meminta pekerja itu menghubungi polis.

    Phichit menuntut dia ditangkap kerana jenayah dilakukannya, membuatkan pekerja farmasi tidak mempunyai pilihan lain melainkan menghubungi polis.

    Semasa soal siasat, Phichit mendakwa dia lebih rela menghabiskan masa di penjara kerana dia akan diberi makan secara percuma tiga kali sehari.

    Malah dia mendakwa dapat bergaul dengan orang lain tidak seperti keadaan hidup di jalanan, tanpa pekerjaan dan berisiko untuk kelaparan malah mungkin mati.

    Bagaimanapun tidak jelas bagaimana polis memilih untuk menangani kes Pichit.

    Namun kisah warga emas itu menjadi peringatan tentang keadaan teruk yang dialami ramai rakyat Thailand pada masa ini, dengan inflasi mencecah paras tertinggi sejak 2008.

  • 13 maut kebakaran kelab malam di Thailand

    13 maut kebakaran kelab malam di Thailand

    SEKURANG-kurangnya 13 orang terbunuh manakala 35 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam penuh sesak di daerah Sattahip, wilayah Chonburi, Thailand awal pagi ini.

    Menurut Yayasan Penyelamat Sawang Rojanathammasathan, kebakaran di kelab malam Mountain B itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi.

    Lapor Bangkok Post, rakaman video menunjukkan orang ramai berlari menyelamatkan diri dan menjerit ketika api sedang marak.

    Ada di antara pengunjung berlari dengan badan mereka sedang terbakar.

    Sembilan lelaki dan empat wanita terbunuh dalam kebakaran itu.

    Ketua Polis Phlu Ta Luang, Kolonel polis, Wuttipong Somjai berkata, kesemua mangsa dipercayai adalah warga Thailand.

    Menurut Komander Polis Chon Buri, Mejar Jeneral Polis Atthasit Kitjahan berkata, kira-kira 40 orang cedera dalam kebakaran itu dengan lapan daripada meecur teruk.

    Premis itu baru dibuka sebulan lalu dan terkenal dalam kalangan belia.Kebakaran dipercayai berlaku semasa pengunjung sedang menikmati muzik mencetuskan situasi berasak-asak.

  • Tujuh butir bom meletup di Narathiwat

    Tujuh butir bom meletup di Narathiwat

    Oleh TUWAEDANIYA MERINGING

    PENGEBOM meletupkan sekurang-kurangnya tujuh butir bom di dua lokasi di Narathiwat di selatan Thailand pagi Jumaat, tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

    Ketua Polis Daerah Narathiwat, Pol Mej Jeneral Waesamae Salae berkata, dalam kejadian pertama pada 7.30 pagi (waktu tempatan), empat bom jangka buatan sendiri meletup di tepi jalan di Jalan Yingo-Raman.

    Kira-kira sejam kemudian, tiga bom yang diletakkan di tepi jalan meletup berhampiran lokasi letupan pertama.

    “Skuad pemusnah bom mengambil masa kira-kira lima jam untuk memeriksa dan membersihkan tempat kejadian,” katanya pada sidang media hari ini.

    Media tempatan melaporkan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan itu, berikutan diketepikan daripada perbincangan antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand. – BERNAMA

  • Ahli politik Thailand didakwa hina institusi diraja

    Ahli politik Thailand didakwa hina institusi diraja

    Oleh LINDA KHOO HUI LI

    SEORANG ahli politik terkenal Thailand berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun kerana menghina raja dan melanggar Akta Jenayah Komputer ketika siaran langsung menerusi Facebook pada Januari, 2021.

    Thanathorn Juangroongruangkit, 43, ketua parti politik yang telah dibubarkan iaitu Parti Future Forward (FFW) mengkritik rancangan perolehan vaksin COVID-19 kerajaan.

    Dia dituduh atas kesalahan lese-majeste (derhaka) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, serta melanggar Akta Jenayah Komputer dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.

    Thanathorn, kini pengerusi Pergerakan Progresif, dibenarkan ikat jamin 90,000 baht dengan seorang penjamin pada Isnin.

    Dalam satu kenyataan, Thanathorn berkata kritikannya ditujukan kepada kerajaan Thailand dan bukannya institusi diraja.

    “Kritikan saya adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya.

    Semasa siaran langsung di Facebook, Thanathorn menuduh kerajaan melakukan kesalahan dalam mengendalikan perolehan vaksin dan memihak kepada syarikat biofarmaseutikal dimiliki Raja Maha Vajiralongkorn.

    Thanathorn telah diharamkan terlibat dalam politik selama 10 tahun pada 2020 susulan tindakannya memberi pinjaman kepada bekas parti pembangkangnya. – BERNAMA

  • Guru agama mati ditembak atas motosikal

    Guru agama mati ditembak atas motosikal

    Oleh TUWAEDANIYA MERINGING

    SEORANG guru agama maut ditembak ketika menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah awal pagi Ahad di Pattani, selatan Thailand.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12:30 pagi (waktu tempatan) hari ini, lelaki berusia 52 tahun itu merupakan guru agama di sekolah agama Al-Islamiah Wittaya.

    Ketua Polis Daerah Nong Chik, Pol Kol Komkrit Srisong berkata polis menemui sekurang-kurangnya 10 kelongsong peluru di tempat kejadian yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut digegaskan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi.

    Komkrit berkata, polis mempercepatkan siasatan akan motif kejadian dan menjejaki suspek. – BERNAMA

  • Dua beranak sebak bertemu semula di sempadan Malaysia-Thailand

    Dua beranak sebak bertemu semula di sempadan Malaysia-Thailand

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAKAPAN erat dengan deraian air mata menjadi permulaan kepada pertemuan kembali dua beranak.

    Noor Asyikin Bunnawi, 31, dan ibunya, Siti Zubaidah Abdullah, 62, setelah lima bulan terpisah akibat penutupan sempadan negara sebelum ini.

    Sebaik sahaja bertemu berhampiran pintu sempadan tanah air, dua beranak itu saling berdakapan dalam tempoh cukup lama hingga masing-masing seperti hilang kata-kata dek kerana terlalu gembira dapat berjumpa.

    Menurut Noor Asyikin, ibunya sebelum ini mendapati kebenaran khas untuk pulang ke kampung halaman di Trang, Thailand pada Oktober lalu dengan ditemani emak saudaranya, Pawana Che Wa Abdullah, 67, kerana neneknya meninggal dunia.

    “Selepas itu ibu dan kakaknya itu tidak dapat pulang kembali ke tanah air kerana sempadan negara ditutup. Sejak itu saya terlalu rindukan ibu kerana ibu sememangnya tinggal bersama dengan saya dan kami tidak pernah berjauhan.

    “Kami sebelum ini berusaha dengan pelbagai cara untuk membawa ibu kembali ke Malaysia tetapi tidak berjaya. Justeru apabila dapat kembali bertemu dengannya hari ini, sukar untuk saya gambarkan perasaan itu,” katanya.

    Tambah jururawat di Hospital Shah Alam itu, dia tidak lena tidur malam tadi kerana bimbang jika terdapat sebarang masalah yang menghalang ibunya untuk keluar dari Thailand dan melangkah ke negara ini.

    “Saya sebenarnya risau kerana ibu sudah tiga kali terpaksa menangguhkan temu janji di Institut Jantung Negara (IJN) kerana terkandas di Thailand.

    “Kini saya cukup seronok dapat kembali bersama dengan ibu termasuk menyambut ketibaan Ramadan dengannya di sini,” katanya.

    Dalam pada itu, Siti Zubaidah berkata, dia juga tidak dapat tidur nyenyak semalam kerana tidak sabar untuk bertemu dengan tiga anak dan lima cucunya yang amat dirindui.

    “Selama ini saya ternanti-nanti berita bila agaknya kedua-dua negara hendak membuka pintu sempadan bagi membolehkan saya kembali bersama anak dan cucu.

    “Saya bersyukur dapat kembali bersama mereka kini. Ada beberapa barangan yang saya bawa untuk mereka antaranya baju dan mainan buat cucu-cucu,” katanya.

  • Elak guna ejen nikah Siam, pesan Timbalan Menteri Agama

    Elak guna ejen nikah Siam, pesan Timbalan Menteri Agama

    PASANGAN yang mempunyai hasrat untuk berkahwin tidak perlu mencari sindiket perkahwinan di negara jiran sebaliknya menggunakan saluran betul yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan wilayah.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pasangan yang menggunakan khidmat sindiket atau ejen perkahwinan di negara jiran, akan berhadapan dengan pelbagai masalah dalam jangka masa panjang.

    “Perkara ini penting supaya perkahwinan itu tidak berbangkit dengan pelbagai isu dan masalah di depan hari kepada kedua-dua pasangan.

    “Gunalah saluran yang betul dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan (Malaysia), kerana kita telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan lengkap, tidak perlu mencari sindiket perkahwinan di negara jiran,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Seragam Sekolah di Dataran Lemang, Manik Urai, di Kuala Krai hari ini.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan selepas Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan membuka semula sempadan negara bermula 1 Mac ini, ejen-ejen nikah Siam tidak menang tangan menerima tempahan pasangan yang mahu berkahwin di Thailand.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pasangan perlu memikirkan keabsahan perkahwinan mereka apabila menggunakan khidmat sindiket perkahwinan di negara jiran.

    “Perlu juga fikir dari sudut berpanjangan contoh daripada aspek pendaftaran anak dan sebagainya sekiranya perkahwinan itu tidak sah apabila menggunakan ejen atau sindiket perkahwinan. Gunalah jurunikah yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri dan wilayah,” katanya. – BERNAMA