UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) merehatkan sementara seorang pensyarah yang didakwa mengherdik pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer riba seperti dalam video yang tular.

Menurut UiTM, tindakan itu diambil terhadap Prof Dr Roshana Takim mulai hari ini sementara menunggu siasatan dalaman terhadap isu tersebut selesai.

Katanya, keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Pengarah UiTM dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” kata UiTM dalam kenyataan media, hari ini/

Baru-baru ini, tular dalam media sosial rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah memperlekeh penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba serta meminta penuntut sama menyuruh kakaknya menggadai emas bagi membeli peralatan tersebut.

Susulan itu, satu dokumen dalaman UiTM, iaitu laporan kronologi siasatan berhubung kejadian itu turut tersebar dan institusi pengajian tinggi awam itu telah membuat laporan polis semalam bagi melindungi mahasiswa dan kakitangannya.

Pada masa yang sama, UiTM memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja atau sebaliknya sehingga boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti tersebut serta menggugat keselamatan warganya.

“UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran yang mengelirukan,” jelasnya.

UiTM sentiasa cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan warga akademik dan pelajarnya.

Dalam konteks itu, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.

“Penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Penyarah (PRO-PENS) yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here