PERDANA Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha kekal mempertahankan jawatannya selepas Mahkamah Perlembagaan negara itu memutuskan tempoh pentadbiran beliau belum melebihi had lapan tahun.

Ini setelah Mahkamah Perlembagaan hari ini memutuskan penggal Prayut belum tamat dan hanya akan berakhir pada 2025.

Ini setelah mahkamah mengira tempoh penggal pentadbiran Prayut bermula dari tahun undang-undang berkenaan tempoh pentadbiran Perdana Menteri selama lapan tahun berkuat kuasa iaitu pada 2017.

Kekecohan itu timbul susulan tindakan perundangan difailkan di mahkamah oleh pembangkang yang mempertikai tempoh pendtadbiran Perdana Menteri yang didakwa sudah melebihi had.

Susulan itu, bekas ketua junta berkenaan digantung tugas oleh mahkamah sejak 24 Ogos lalu sementara mahkamah meneliti cabaran undang-undang difailkan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan bertindak sebagai pemangku Perdana Menteri sejak arahan penggantungan tersebut.

Mengikut Perlembagaan Thailand 2017, seorang Perdana Menteri tidak boleh berkhidmat lebih daripada lapan tahun, namun penyokong dan pengkritik Prayut tidak bersetuju mengenai tempoh sebenar pentadbirannya bermula.

Bagaimanapun kedudukan Prayut masih belum selamat setelah pilihan raya nasional mesti diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini.

Sementara itu, susulan keputusan mahkamah, pihak berkuasa Bangkok kini sedang berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya demonstrasi selepas beberapa kumpulan penunjuk perasaan memberi amaran mahu turun ke jalan raya jika Prayut memenangi kes berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here