Tag: tatatertib

  • Iring anak ahli Parlimen: 2 anggota trafik dikenakan tatatertib

    Iring anak ahli Parlimen: 2 anggota trafik dikenakan tatatertib

    DUA anggota trafik dikenakan tindakan tatatertib selepas mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipetik Berita Harian sebagai berkata, tindakan itu diambil di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    Menurutnya, Polis Pulau Pinang sebelum ini membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

    “PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat.

    Mei lalu, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

    Polis memaklumkan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia membabitkan kesalahan menggunakan media sosial.

    Klip video mengenai kejadian yang tular di media sosial sejak 7 Mei lalu itu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki oleh orang awam.

  • Tiada pendakwaan OCS, 3 anggota kantoi berhibur dalam balai

    Tiada pendakwaan OCS, 3 anggota kantoi berhibur dalam balai

    SEORANG ketua balai polis (OCS) di Selangor dan tiga anggotanya dikenakan tindakan tatatertib atas kesalahan berhibur di sebuah balai polis di sekitar Kajang, Julai lalu.

    Memetik laporan BH, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tindakan itu diambil setelah siasatan dijalankan oleh Bukit Aman.

    Walau bagaimanapun, katanya, tiada pendakwaan dikenakan terhadap OCS dan tiga anggota polis terbabit.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, keputusan tidak mendakwa atas pertuduhan jenayah itu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya.

    “Saya dimaklumkan ujian air kencing kali kedua yang dijalankan untuk pengesahan pakar patologi mendapati pegawai terbabit negatif penyalahgunaan dadah.

    “Mereka juga sudah dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard COVID-19,” jelasnya.

    Beliau menambah empat anggota polis itu masih tertakluk kepada siasatan tatatertib yang sedang dijalankan, yang mana mereka menghadapi pertuduhan mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    “Mereka diarah mengemukakan surat representasi kepada semua pertuduhan berhubung kesalahan mereka sebelum keputusan lanjut dibuat,” katanya.

    Pada 21 Julai lalu, media melaporkan seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan selepas menjadikan bilik di sebuah balai polis di daerah Kajang sebagai lokasi berhibur.

    Serbuan kira-kira pukul 6 petang itu dibuat JIPS Bukit Aman susulan maklumat awam.

    Suspek ditahan ketika sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam bilik di tingkat dua balai berkenaan.